.

KOTA YANG MEMBUAT AKU RASA KECIL TETAPI PENUH KAGUM

June 19, 20266 min read

APRIL TERINDAH DI BUMI BEIJING

Terdetik di hati untuk melancong ke Beijing kerana keistimewaannya yang sukar ditemui di tempat lain. Antara faktor utama yang menarik minat ke Beijing ialah kewujudan salah satu daripada “Tujuh Keajaiban Dunia Baharu” (New 7 Wonders of the World), iaitu Tembok Besar China. Malah, ada yang mengatakan bahawa jika anda tidak melawat destinasi ini, seolah-olah anda tidak pernah benar-benar menjejakkan kaki ke Negara China.

Dahulu, aku hanya mengenali ikon bersejarah ini melalui buku teks sejarah. Kini, aku berpeluang melihatnya sendiri, berdiri megah di atasnya, merakam gambar dan menikmati keindahan persekitarannya. Lawatan yang dilakukan pada bulan April, ketika musim bunga (Mac–Mei), dikatakan sebagai waktu terbaik kerana bunga-bunga sedang mekar sepenuhnya. Suhunya pula sederhana — tidak terlalu panas pada siang hari, manakala pada lewat petang dan malam, suhu menurun sekitar 10 darjah Celsius.

Di tengah-tengah bandar raya Beijing, satu pengalaman baharu yang aku lalui pada musim bunga ini ialah kehadiran debunga yang berterbangan di udara. Debunga ini dikatakan boleh menyebabkan sesetengah individu mengalami alahan pernafasan, sakit tekak dan selsema. Oleh itu, ada ketikanya kami perlu memakai pelitup muka bagi mengelakkan debunga tersebut memasuki saluran pernafasan.

Cantiknya Beijing di Musim Bunga

TEMBOK BESAR CHINA : KEAGUNGAN WARISAN DUNIA

Tembok Besar China sering digambarkan sebagai simbol ketahanan dan perpaduan manusia yang tidak mudah ditundukkan. Keagungannya sering dikaitkan dengan ungkapan Pengerusi Mao : “Sesiapa yang tidak mendaki Tembok Besar bukanlah seorang yang benar-benar gagah.”

Destinasi bersejarah ini mempunyai tiga laluan utama yang boleh diakses, iaitu dari Mutianyu, Badaling dan Simatai. Kami memilih untuk memasuki kawasan ini melalui Gubei Water Town, iaitu pintu masuk utama ke laluan Simatai yang dikatakan lebih asli dan mencabar.

Sebenarnya, Gubei Water Town merupakan sebuah bandar kebudayaan yang menakjubkan di sekitar Beijing. Di sini, terdapat pelbagai bangunan yang dibina untuk mempamerkan seni bina tradisional serta warisan budaya Cina yang kaya.

Apabila berada di bahagian tertinggi Tembok Besar ini, terasa seolah-olah sebuah mimpi menjadi kenyataan. Keunikan binaan tembok yang berusia lebih 2,000 tahun ini membuatkan kita benar-benar menghargai kehebatan seni bina zaman silam yang masih kekal kukuh dan gagah. Yang lebih mengkagumkan ialah Tembok Besar ini akan berseri dengan dereta cahaya pada waktu malam, suatu pemandangan luar biasa yang tidak pernah terlintas di fikiranku.

Menyusuri 2000 Tahun Sejarah di Tembok Besar China

TIANANMEN SQUARE & FORBIDDEN CITY

Tiananmen Square merupakan antara dataran awam terbesar di dunia dan menjadi saksi pelbagai peristiwa penting dalam sejarah moden China. Terletak di tengah-tengah bandar Beijing, dataran ini dikelilingi oleh bangunan-bangunan penting seperti Great Hall of the People, National Museum of China dan Mausoleum Mao Zedong.

“Tiananmen” bermaksud Pintu Keamanan Syurgawi. Ia merupakan gerbang megah yang menjadi pintu masuk utama ke Forbidden City, salah satu tapak warisan dunia UNESCO yang amat berharga. Kawasan ini bukan sekadar ruang terbuka yang luas, tetapi lambang identiti, kedaulatan dan perjalanan sejarah negara China dari zaman empayar hingga ke era moden.

Tidak jauh dari Tiananmen Square terletaknya Forbidden City, iaitu kompleks istana diraja yang menjadi kediaman Maharaja China selama hampir 500 tahun, bermula dari Dinasti Ming hingga Dinasti Qing. Dikenali sebagai kota larangan, kawasan ini suatu ketika dahulu hanya boleh dimasuki oleh keluarga diraja, pegawai istana dan orang-orang tertentu sahaja.

Forbidden City menempatkan lebih 900 buah bangunan dengan seni bina tradisional Cina yang sangat halus dan tersusun. Setiap warna, ukiran, susun atur bangunan dan simbol yang terdapat di sini mempunyai maksud tersendiri, melambangkan kekuasaan, keseimbangan alam dan kepercayaan masyarakat Cina pada waktu itu.

Mengunjungi Tiananmen Square dan Forbidden City bukan sekadar lawatan pelancongan, tetapi satu perjalanan menyusuri sejarah, memahami tamadun dan menghayati warisan agung sebuah negara yang pernah diperintah oleh empayar yang sangat berpengaruh.

Tiananmen Square – Pintu Keamanan Syurgawi

BIRD’S NEST : SIMBOL CHINA MODEN

Dalam lawatan ini, kami sempat juga singgah di Bird’s Nest atau nama rasminya Beijing National Stadium yang merupakan antara mercu tanda moden paling ikonik di Beijing. Stadium ini dibina sempena Sukan Olimpik 2008 dan reka bentuknya yang unik menyerupai sarang burung menjadikannya terkenal di seluruh dunia. Struktur keluli yang berselirat bukan sekadar elemen seni bina, tetapi melambangkan perlindungan, kekuatan dan kesatuan.

Stadium ini pernah menjadi lokasi upacara pembukaan dan penutupan Sukan Olimpik. Hingga kini, Bird’s Nest kekal sebagai simbol kebangkitan China sebagai kuasa moden yang mampu menggabungkan seni, teknologi dan kejuruteraan dalam satu binaan yang luar biasa.

Berjalan di sekitar kawasan Olimpik ini memberikan pengalaman yang berbeza daripada lawatan ke tapak-tapak bersejarah Di sini, pengunjung dapat merasai denyut nadi Beijing moden — luas, tersusun, futuristik dan penuh dengan semangat kemajuan.

Beijing National Stadium – Mercu Tanda Moden

SUMMER PALACE & TEMPLE OF HEAVEN

Summer Palace : Keindahan Taman Diraja yang Mendamaikan

Summer Palace atau Yiheyuan merupakan taman diraja yang menjadi tempat beristirehat maharaja dan keluarga diraja ketika musim panas. Terletak di pinggir Beijing, kawasan ini memukau dengan gabungan tasik yang luas, bukit menghijau dan seni bina tradisional yang bergabung harmoni dengan alam semula jadi.

Tarikan utamanya ialah Tasik Kunming yang terbentang luas serta Longevity Hill yang menjadi latar landskap utama taman ini. Di sepanjang tasik pula terdapat Long Corridor, laluan berbumbung terpanjang di dunia, dihiasi lukisan tradisional berwarna-warni, menggambarkan kisah sejarah, legenda dan budaya masyarakat Cina.

Berjalan di sekitar Summer Palace menghadirkan suasana yang tenang dan mendamaikan, seolah-olah membawa pengunjung jauh daripada kesibukan kota. Keindahan alam yang digabungkan dengan kehalusan seni bina klasik menjadikan tempat ini bukan sahaja tapak bersejarah, malah ruang untuk menikmati ketenangan jiwa.

Summer Palace – Gabungan Harmoni Seni Bina Traditional & Alam Semulajadi

Temple of Heaven : Tempat Doa Maharaja Memohon Keberkatan

Temple of Heaven atau Tiantan ialah kompleks keagamaan yang amat penting dalam sejarah empayar China. Di sinilah maharaja pada zaman dahulu menjalankan upacara sembahyang dan memohon doa kepada Tuhan agar negara dikurniakan hasil tuaian yang baik serta kesejahteraan rakyat.

Bangunan paling ikonik di kawasan ini ialah Hall of Prayer for Good Harvests, sebuah binaan bulat yang indah dengan bumbung bertingkat berwarna biru. Reka bentuknya penuh simbolik, melambangkan hubungan antara langit dan bumi menurut kepercayaan masyarakat Cina pada ketika itu.

Kawasan ini juga terkenal dengan Echo Wall, dinding unik yang mampu memantulkan suara dari satu hujung ke hujung yang lain, membuktikan kehebatan seni bina akustik zaman silam.

Temple of Heaven – Seni Bina Akuistik Zaman Dahulu

REFLEKSI PERJALANAN DI BEIJING

Perjalanan di Beijing bukan sekadar sebuah kembara pelancongan, tetapi sebuah perjalanan jiwa yang membuka mata dan fikiran serta menghadirkan pengalaman yang berbeza namun saling melengkapi.

Di Tembok Besar, terasa kecilnya diri di hadapan kehebatan binaan manusia ribuan tahun lalu. Di Forbidden City dan Temple of Heaven, terasa betapa tingginya nilai warisan dan adat yang membentuk tamadun. Di kawasan Olimpik pula, jelas terlihat wajah China moden yang maju, tersusun dan berwawasan. Manakala di Summer Palace, ketenangan alam mengajar erti menghargai keseimbangan hidup.

Perjalanan ini mengajar bahawa Beijing bukan sekadar sebuah kota, tetapi sebuah buku sejarah yang hidup — menggabungkan kisah silam, denyut nadi masa kini dan harapan masa hadapan. Pulang dari Beijing, bukan sahaja membawa pulang gambar kenangan, tetapi juga rasa kagum, syukur dan kesedaran tentang keagungan tamadun manusia yang wajar dihargai.

Lian Fee Choo

Lian Fee Choo

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan. Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Back to Blog