CIKGU CHANG TACK HOUN : Inspirasi di Sebalik Ketegasan dan Keikhlasan
CIKGU CHANG MELAPOR DIRI
Disember 2012 – saya mendapat berita pertukaran saya ke SMK Kemabong (SMKK) diluluskan. Rata-rata pegawai di Pejabat Pendidikan Lahad Datu mengatakan “Habislah, kamu akan berdepan dengan Pengetua yang paling tegas.” Bermacam-macam perkara bermain di fikiran saya pada saat itu.
6 Januari 2013 – Semasa dalam perjalanan ke Tenom, kereta saya rosak. Rasa mahu lagi minta tunda untuk melapor diri. Namun, saya gagahkan diri untuk sampai ke Tenom.
7 Januari 2013 – Dalam keadaan masih penat setelah memandu jauh dari Lahad Datu, saya melapor diri di SMKK kira-kira 7.20 pagi.
Sebelum saya melangkah keluar daripada Bilik Pengetua, terkejut saya apabila Pengetua mengingatkan saya, “Sesi pagi, sekolah bermula 7.00 pagi dan semua guru mesti sampai sekolah sebelum 6.50 pagi”. Dalam hati saya, benarlah kata-kata orang betapa tegasnya Pengetua ini.
Apabila saya keluar dari Bilik Pengetua, Pengetua membawa saya ke Bilik Guru dan mencarikan meja dan tempat duduk untuk saya. Saya terpinga-pinga kerana tidak menyangka Pengetua sendiri menemani saya ke Bilik Guru dan mencadangkan beberapa tempat duduk yang sesuai untuk saya.
Dengan keadaan Bilik Guru yang sangat kondusif, kemas dan tersusun, ia cukup memberi gambaran kepada saya bahawa Pemimpin Sekolah ini bukan calang-calang orangnya. Sebulan dua di SMKK, terlalu banyak perkara yang memang mengejutkan saya secara personal.
Sekolah yang aktif, sibuk dengan pelbagai aktiviti, namun semuanya berjalan lancar dengan komitmen guru-guru yang belum pernah saya lihat sebelum ini. SMKK memang terbaik. Barulah saya memahami, SMKK sebenarnya dipacu dan dipimpin seorang ketua yang sangat berkaliber.
(Cikgu Chang Tack Houn)
TEGAS MENDIDIK, IKHLAS MEMBIMBING
Begitulah catatan panjang yang dititipkan oleh Cikgu Chang dalam sebuah autograf istimewa, hadiah daripada guru-guru SMKK kepada saya sewaktu saya berpindah ke Pejabat Pendidikan Daerah Tenom.
Jujurnya, saya sama sekali tidak menyangka beliau menyimpan pandangan sedemikian terhadap saya sebelum beliau melapor diri di sekolah ini.
Saya terdorong untuk menulis kisah Cikgu Chang kerana tertarik dengan komitmen dan kesungguhan beliau dalam menjalankan amanah sebagai seorang pendidik - baik di dalam bilik darjah mahupun di luar bilik darjah.
Sebagai Jurulatih Kokurikulum di Pusat Kokurikulum Negeri, pengalaman luas beliau telah banyak membantu dalam pelaksanaan aktiviti kokurikulum sekolah, khususnya dalam Perkhemahan Perdana Unit-Unit Beruniform.
Beliau sentiasa memastikan setiap aktiviti yang diadakan dalam perkhemahan mematuhi SOP (Standard Operating Procedure). Ia penting untuk memastikan keselamatan pelajar berada pada tahap optimum.
Selain itu, Cikgu Chang turut memegang tanggungjawab sebagai Ketua Guru Disiplin sesi petang. Di bawah kepimpinan beliau, banyak kes disiplin berjaya diselesaikan secara berhemah, berkat kebijaksanaan dan pendekatan profesional beliau dalam menangani isu-isu pelajar.
Dengan fizikal yang tinggi dan wajah yang tampak tegas, beliau memang amat sesuai sebagai Ketua Guru Disiplin. Namun, setiap kali Cikgu Chang melemparkan senyumannya yang tulus, ketegasan itu serta-merta menjadi lunak - menampilkan sisi kemanusiaan seorang guru yang bukan hanya tegas, tetapi juga penyayang. 🤣
(Membawa Guru-Guru Menikmati Cabaran White Water Rafting)
PRIHATIN MELEBIHI TANGGUNGJAWAB
Cikgu Chang juga merupakan seorang yang aktif dalam bidang sukan dan permainan. Bola tampar merupakan sukan kegemarannya dan beliau telah berjaya membimbing ramai pelajar ke pertandingan peringkat negeri.
Gaya kepimpinan Cikgu Chang amat disenangi oleh para pelajar kerana beliau sentiasa prihatin terhadap kebolehan dan potensi mereka.
Saya berasa amat senang hati apabila melihat Cikgu Chang sentiasa mengambil inisiatif tambahan apabila berdepan dengan situasi mencabar. Contohnya, ketika sekolah mengendalikan Kejohanan Sukan dan Olahraga peringkat daerah, beliau tampil memainkan peranan penting bagi memastikan trek larian selesa digunakan oleh para atlet.
Disebabkan cuaca petang yang terlalu panas, beliau bersama beberapa orang guru mengambil langkah mencurahkan air di atas trek bagi menyejukkannya. Tindakan ini tidak pun tersenarai dalam Buku Aturcara, namun atas dasar keprihatinan yang tinggi, Cikgu Chang telah melakukan sesuatu yang luar biasa bersama rakan-rakan sejawatnya - demi keselesaan dan kesejahteraan pelajar.
(Cikgu Chang Bersama Rakan Sekerja Di Trek Larian Kompleks Sukan)
MELANGKAUI SILIBUS, MENYEMAI MINAT
Cikgu Chang turut memainkan peranan penting ketika sekolah membuat persiapan untuk Pertandingan SERASI (Sekolah Rakan Alam Sekitar). Tanpa diminta, beliau secara sukarela menawarkan diri untuk melukis mural bagi menceriakan persekitaran sekolah.
Usaha menyiapkan mural ini berlanjutan sehingga malam kerana beliau begitu bertekad untuk memastikan lukisan tersebut siap pada waktunya.
Walaupun mengajar subjek Bahasa Melayu untuk pelajar Tingkatan 2 dan 3, bakat serta minat mendalam beliau dalam bidang seni lukis tidak pernah disia-siakan. Atas inisiatif sendiri, beliau mula mengajar beberapa pelajar melukis. Hasilnya, beberapa orang pelajar berjaya menghasilkan potret yang sangat mengagumkan.
Kini, beberapa dinding dan penjuru sekolah masih dihiasi dengan mural-mural indah hasil tangan Cikgu Chang. Semua usaha ini tidak tertakluk dalam tugasan rasmi beliau, tetapi lahir daripada minat, keikhlasan dan semangat untuk memperindahkan sekolah.
(Melukis Dalam Kegelapan – Dengan Pantulan Cahaya Dari Motosikal)
LENSA SEORANG PENDIDIK KREATIF
Cikgu Chang turut aktif memimpin pelbagai aktiviti untuk guru-guru. Sebagai Pengerusi Kelab Keluarga, beliau pernah membawa rombongan guru ke beberapa destinasi menarik di Sabah, antaranya ke Long Pasia dan Lembah Danum serta menganjurkan aktiviti mencabar seperti white water rafting di Sungai Padas.
Aktiviti-aktiviti sebegini bukan sahaja menyeronokkan, malah mengukuhkan semangat berpasukan dalam kalangan guru.
Pelajar juga amat menyayangi Cikgu Chang kerana beliau sentiasa berusaha membawa pengalaman luar biasa kepada mereka — terutamanya pelajar luar bandar yang jarang merasai aktiviti yang mencabar ketahanan minda dan jati diri.
Dalam program seperti Kem Kepimpinan Pengawas dan Hari Karnival Sekolah, beliau menganjurkan aktiviti lasak seperti flying fox - memberikan peluang kepada pelajar merasai cabaran yang menyeronokkan dan membina keyakinan diri.
Selain itu, beliau turut mengetuai Kursus Team Building & Bengkel Pengurusan Aktiviti Pendidikan Luar Bilik Darjah untuk staf sekolah yang diadakan di Kem Malanggang, Tuaran. Sepanjang tiga hari dua malam program itu berlangsung, pelbagai pengisian bermanfaat dijalankan.
Guru-guru bukan sahaja memperoleh kemahiran baharu, tetapi juga menjalin hubungan yang lebih erat dengan rakan sejawat, termasuk AKS dan Pengetua.
Minat Cikgu Chang dalam bidang kreativiti dan fotografi juga sangat menyerlah. Beliau sering berperanan sebagai jurufoto sekolah dalam pelbagai program dan majlis rasmi.
Walaupun hanya seorang guru, hasil kerja tangannya dalam bidang fotografi menunjukkan tahap kemahiran yang profesional - menjadikan sumbangannya amat berharga dalam mendokumentasikan kenangan penting sekolah.
(Lukisan Pelajar Hasil Bimbingan Cikgu Chang)
TERIMA KASIH, CIKGU CHANG
Sebenarnya, di setiap sekolah, seharusnya wujud seorang guru yang berkemahiran dalam aktiviti luar bilik darjah seperti Cikgu Chang. Kehadirannya di sekolah merupakan satu aset yang sangat berharga.
Pengalaman serta kemahiran beliau dalam merancang dan melaksanakan aktiviti luar amat membantu, terutamanya apabila sekolah menganjurkan program yang melibatkan kepimpinan, sahsiah dan pembinaan pasukan.
Secara peribadi, saya amat senang dengan keperibadian Cikgu Chang. Beliau seorang yang sangat merendah diri, tidak angkuh, sentiasa ringan tulang membantu dan begitu menghormati barisan pentadbir sekolah.
Sifatnya yang tenang, tidak mudah marah dan sentiasa mesra menjadikan beliau disenangi ramai. Guru-guru muda mahupun senior, lelaki atau perempuan - semuanya mudah mendekati beliau.
Saya berasa amat bertuah kerana pernah bergandingan dengan seorang guru yang serba berkebolehan seperti Cikgu Chang di SMKK. Kehadirannya mungkin tidak selalu menonjol di permukaan, namun sokongan dan sumbangannya amat dirasai di hati.
Terima kasih Cikgu Chang, dari dasar hati saya.
(Kenangan Indah Beraktiviti Di Pusat Ko-Kurikulum Negeri Sabah)
REFLEKSI
Kehadiran seorang guru seperti Cikgu Chang dalam sesebuah sekolah sebenarnya membawa impak yang jauh melebihi tanggungjawab pengajaran di dalam bilik darjah.
Dengan pengalaman dan kemahiran luar biasa dalam bidang kokurikulum, pendidikan luar bilik darjah, seni, serta kepimpinan, beliau bukan sahaja memberi sumbangan secara langsung kepada pelajar, malah menjadi sumber rujukan dan inspirasi kepada rakan sejawat.
Apa yang paling mengagumkan ialah bagaimana Cikgu Chang melaksanakan tugasnya dengan penuh komitmen, kesungguhan dan keikhlasan. Beliau tidak menunggu arahan untuk bertindak, tetapi sentiasa bergerak kerana cintanya terhadap tugas.
Sikap merendah diri, tidak pemarah dan mudah didekati menjadikan beliau seorang guru yang dekat di hati semua — dari pelajar hingga pentadbir. Inilah contoh keperibadian guru sejati yang patut dicontohi oleh generasi pendidik masa kini.