MAAFKU DALAM KEJUJURAN, BELAJARKU DALAM KESILAPAN
MENGINSAFI BICARA, MENYEMAI HIKMAH
Pernahkah anda merasa kesal setelah meluahkan kata-kata yang kemudiannya anda anggap tidak sepatutnya diucapkan? Pernahkah terlintas di fikiran, alangkah baiknya jika kata-kata itu dapat ditarik semula?
Benar, lidah itu lebih tajam daripada pedang. Ada ketikanya, mulut kita bergerak lebih pantas daripada fikiran kita. Kata-kata yang terlepas tanpa pertimbangan boleh meninggalkan luka yang dalam, sama ada kepada orang lain mahupun kepada diri sendiri.
Sebagai manusia, kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, terutama sekali kesilapan yang tidak disengajakan. Namun, kesilapan yang diinsafi dan dijadikan pedoman adalah guru yang paling berharga. Yang penting, jadikan ia iktibar dan jangan benarkan ia berulang.
Sekiranya kesilapan itu berulang, maka itu tandanya kita belum benar-benar belajar. Lebih baik lagi, jika kita mampu belajar daripada kesilapan orang lain. Ini kerana ia adalah pengajaran yang tidak mendatangkan kesan luka kepada kita.
(Mempengerusikan Mesyuarat Guru di Bilik Gerakan Sekolah)
MASA ITU AMANAH - MENDIDIK TEPATI WAKTU
Loceng sekolah berdering menandakan waktu perhimpunan sekolah bermula. Semua pelajar sepatutnya segera bergerak ke dewan sekolah dan beratur dalam barisan yang kemas dan teratur.
Namun begitu, pergerakan mereka agak perlahan dan tidak tersusun sehingga menyebabkan masa perhimpunan terganggu. Ia sekali gus menjejaskan waktu pembelajaran yang menyusuli selepas perhimpunan.
Guru bertugas mingguan telah beberapa kali mengingatkan pelajar melalui pembesar suara, “Tolong beratur dengan segera dan pastikan barisan anda lurus.” Namun, keadaan masih tidak banyak berubah.
APABILA NIAT DISALAHTAFSIR
Ketika tiba giliran aku berucap, aku mengambil kesempatan menegur dengan nada tegas namun penuh keprihatinan.
Aku berkata, “Pelajar-pelajar sekalian, setiap pagi adalah permulaan kepada hari yang baharu. Cara kamu memulakan hari mencerminkan disiplin diri dan sikap terhadap pembelajaran. Jika lembu-lembu di ladang pun boleh beratur dengan tertib untuk ke stesen penyusuan, tanpa diawasi dan dikawal, saya yakin kamu sebagai insan yang berakal, mampu bertindak jauh lebih baik. Jadilah pelajar yang bertanggungjawab dan bijak menghargai masa.”
PENGAJARAN TENTANG KEPEKAAN KOMUNIKASI
Idea untuk bercakap tentang lembu yang pandai beratur itu timbul apabila pada minggu sebelumnya, aku berpeluang melawat sebuah Ladang Ternakan Lembu. Aku benar-benar kagum melihat bagaimana ratusan ekor lembu mampu beratur masuk ke kandang penyusuan dengan teratur, tanpa perlu diawasi oleh sesiapa pun.
Seperti biasa, aku meneruskan tugas di pejabat tanpa memikirkan kata-kata yang aku ucapkan semasa perhimpunan tadi. Namun pada suatu hari datang seorang guru dan dia menyampaikan sesuatu yang mengejutkan. Katanya, seorang pelajar meluahkan rasa tidak senang terhadap ucapan aku.
“Pengetua tidak patut cakap kami ini lembu,” ujar pelajar itu kepada guru kelasnya.
Aku tersentak. Aku tidak pernah berniat melabelkan mereka sebagai lembu. Aku juga tidak pernah menyebut bahawa mereka adalah lembu. Ucapanku hanya satu perbandingan untuk menyampaikan mesej tentang kepentingan disiplin dan susunan agar pelajar dapat berfikir dan mengambil iktibar.
Namun, ternyata niat yang baik boleh disalah tafsir jika tidak disampaikan dengan cukup berhati-hati.
(Melawat Tapak Pameran Program Young Innovators Challenge Peringkat Daerah)
BELAJAR DARIPADA REAKSI PENDENGAR
Tiba-tiba aku teringat perumpamaan bahasa yang berbunyi “Bodoh seperti lembu”. Aku mula terfikir, mungkin pelajar itu kurang senang apabila aku menggunakan lembu sebagai perbandingan kerana ia dikaitkan dengan istilah bodoh.
Jauh sekali niat aku untuk menyamakan mereka dengan lembu. Sejujurnya tujuan aku menyebut perumpamaan itu hanyalah untuk mendorong pelajar supaya memperbaiki diri. Ini kerana jika haiwan boleh dilihat sebagai lebih "cerdik", apatah lagi manusia yang dikurniakan akal fikiran.
Aku tidak berniat untuk mempertahankan penggunaan perumpamaan itu, kerana aku faham setiap orang mempunyai persepsi yang berbeza terhadap sesuatu ungkapan. Namun aku menerima persepsi yang berbeza itu dengan hati terbuka.
Cerita tentang ‘lembu’ ini telah mengajar aku supaya lebih berhati-hati apabila bercakap di hadapan khalayak ramai.
PELAJAR ITU GURUKU JUGA
Walaupun cerita tentang lembu itu sudah berlaku berpuluh tahun lalu, ia masih segar dalam ingatanku sehingga ke hari ini. Aku sedar bahawa aku hanyalah manusia biasa, tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
Jatuh bangun dalam perjuangan kerjaya, bermula dari seorang guru biasa sehinggalah menjadi seorang pengetua, banyak berpaksikan pengajaran yang aku peroleh daripada kesilapan yang pernah aku lalui. Setiap kali aku tersilap, aku berusaha menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
Hakikatnya, perkara tidak baik yang berlaku sebenarnya boleh menjadi titik tolak yang baik. Apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku, kita diberi ruang untuk belajar daripadanya. Justeru, kita tidak harus takut melakukan kesilapan.
Sebaliknya, kita perlu membenarkan diri untuk tersilap supaya dapat memahami puncanya dan seterusnya mencari jalan membetulkan kesilapan itu.
Tidak kira sama ada pelajar, guru atau pentadbir sekolah, kita semua manusia biasa yang tidak sempurna. Kita juga mempunyai perasaan - mudah marah dan tersinggung apabila disakiti. Oleh itu, kita perlu belajar memaafkan diri sendiri agar dapat membuka lembaran baru dalam hidup.
Mengakui hakikat ini, aku berterima kasih kepada pelajar itu kerana telah menyedarkan aku bahawa aku juga boleh belajar daripada seorang pelajar.
(Ucapan Pembukaan Program Teknik Menjawab Soalan SPM)
REFLEKSI
Kisah ini mengingatkan kita bahawa sebagai manusia dan pendidik, kesilapan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran yang tidak dapat dielakkan.
Namun yang paling penting bukanlah kesilapan itu sendiri, tetapi bagaimana kita menerimanya dengan hati terbuka dan rasa insaf untuk berubah menjadi lebih baik.
Kata-kata, walaupun sederhana, memiliki kuasa besar yang boleh membina atau membinasakan. Oleh itu, kita perlu sentiasa berhati-hati ketika berkomunikasi, terutama dalam situasi beremosi.
Kadang-kadang pelajar yang kita didik bukan sahaja menerima ilmu daripada kita, tetapi ia juga mengajar kita nilai kesabaran, empati dan kerendahan hati. Kesediaan untuk belajar daripada orang lain, tidak kira umur atau kedudukan, menjadikan kita pendidik yang sejati dan insan yang lebih mulia.