NILAI KEABADIAN DALAM TUGAS
APABILA PENGIKTIRAFAN MENJADI KONTROVERSI
Adakah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) itu segala-galanya?
Pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada penjawat awam adakalanya boleh menjadi satu isu yang sensitif jika tidak dilaksanakan dengan adil dan telus.
Ia mampu membawa kegembiraan kepada penerima, namun pada masa yang sama boleh menimbulkan rasa tidak puas hati, kemarahan dan kesedihan dalam kalangan rakan sekerja. Begitu besar sekali impak APC dalam kerjaya seseorang.
Saya masih ingat ketika baru setahun berpindah ke Sekolah B, saya telah diberi APC oleh pengetua sekolah tersebut. Ia merupakan APC pertama yang saya terima selama bertugas enam tahun, termasuk lima tahun di Sekolah A.
Namun, tidak semua rakan sekerja menyambut berita itu dengan gembira. Ada guru yang meluahkan rasa tidak puas hati. “Eh… dia baru sahaja bertugas di sekolah ini, boleh dapat APC? Aku yang sudah lebih 10 tahun pun belum pernah dapat apa-apa,” begitulah kata-kata yang kedengaran.
Ketika saya menjadi Pengetua di Sekolah C, saya pernah memberikan APC kepada seorang guru baharu yang berkhidmat selama satu setahun. Pemberian ini dibuat atas dasar prestasi luar biasa yang diusahakannya dalam tempoh masa singkat.
Saya sedar keputusan sebegini mungkin menimbulkan ketidakpuasan hati, apatah lagi apabila dinilai oleh orang luar yang tidak memahami konteks sebenar. “Pengetua itu dah silap agaknya, baru setahun mana layak?” ujar seorang guru dari sekolah lain.
Namun, sebagai pemimpin, kita harus membuat keputusan berasaskan merit, ketelusan dan keadilan, bukan semata-mata berdasarkan berapa lama seseorang telah berkhidmat. Menilai prestasi hanya berdasarkan tempoh perkhidmatan adalah bertentangan dengan semangat sebenar APC.
Jadi, adakah APC itu segala-galanya? Jawapannya, TIDAK. Tetapi ia tetap mempunyai makna dan signifikan dalam perjalanan kerjaya seseorang.

(Gambar Hiasan)
MEMAHAMI MAKSUD SEBENAR APC
Mari kita kupaskan istilah APC ini. Mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bil. 13 Tahun 2012, APC merupakan penghargaan Kerajaan kepada pegawai perkhidmatan awam yang telah memberi prestasi kerja cemerlang di samping pengiktirafan terhadap mutu perkhidmatan yang tinggi berdasarkan penilaian prestasi tahunan.
Pekeliling ini juga menyatakan bahawa semua pegawai perkhidmatan awam sama ada yang dilantik secara tetap, sementara atau kontrak layak dipertimbangkan untuk APC asalkan telah berkhidmat genap satu tahun pada hari terakhir tahun penilaian.
Oleh itu, berdasarkan peraturan rasmi ini, jelas bahawa pemberian APC tidak bergantung kepada jumlah tahun seseorang berkhidmat, tetapi prestasi cemerlang dalam tempoh penilaian tahunan tersebut.
Namun begitu, kekeliruan terhadap perkara ini sering timbul, khususnya dalam kalangan warga perkhidmatan awam yang menganggap APC sebagai hak bagi mereka yang telah lama berkhidmat.
Salah faham ini akhirnya menimbulkan rasa tidak puas hati dan lebih memudaratkan lagi, ia boleh menjejaskan motivasi kerja dan semangat dalam organisasi.
BEKERJALAH KERANA AMANAH
Kebiasaannya, seorang penjawat awam yang sentiasa menunjukkan prestasi kerja cemerlang boleh menerima APC beberapa kali sepanjang tempoh perkhidmatannya. Maka, tidaklah menghairankan jika ada yang memperoleh APC sebanyak lima atau enam kali sebelum bersara.
Di sekolah, saya sering mengingatkan staf di bawah jagaan saya bahawa APC bukanlah segala-galanya. Jangan terlalu meletakkan harapan terhadap ganjaran ini kerana seandainya kita tidak menerima, kita mungkin akan kecewa.
Ada atau tiada APC, kerja tetap perlu diteruskan dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan.
Tiada gunanya kita marah-marah atau menyimpan perasaan kerana pemberian APC bukan dalam kawalan kita. Malah, kadangkala walaupun kita tidak tersenarai sebagai penerima APC, markah prestasi tahunan kita masih tinggi. Ia tetap satu pengiktirafan.
APC bukanlah satu hak mutlak yang perlu dituntut. Jika ia bukan rezeki kita, terimalah dengan hati yang terbuka. Saya percaya, setiap pentadbir sekolah telah pun meneliti dengan seadil-adilnya sebelum mengemukakan senarai penerima APC.

(Penghargaan Daripada Masyarakat Setempat Tahun 2017)
PENGHARGAAN TIDAK SELALU BERWAJAH SIJIL
Sebenarnya, sewaktu saya masih seorang guru biasa, saya juga pernah mengalami situasi yang mengecewakan. Pengetua di Sekolah A pernah menjanjikan saya APC.
Namun, beliau kemudian memaklumkan bahawa saya tidak dapat diberikan APC kerana kuota telah pun dipenuhi. Beliau perlu mendahulukan pemberian APC kepada seorang lagi guru yang akan berpindah ke sekolah lain. Katanya, “cikgu tunggu, tahun depan giliran cikgu.”
Janji tinggal janji. Tahun berikutnya, pengetua itu pula yang berpindah dan saya tidak menerima APC seperti yang dijanjikan. Pada mulanya, saya memang berasa kecewa kerana telah meletakkan harapan yang tinggi terhadap anugerah tersebut.
Namun sesungguhnya, pengalaman bertahun-tahun telah mengajar saya untuk berfikir dengan lebih matang dan bertindak dengan lebih waras. Apabila saya mengenang kembali saat-saat kekecewaan itu, saya sedar bahawa saya terlalu mengikut emosi.
Mengapa perlu saya kecewa? Saya mengingatkan diri saya, bekerja bukan semata-mata kerana APC. Sebaliknya, saya harus bersyukur kerana penghargaan sebenar bukan terletak pada sekeping sijil atau ganjaran wang tunai tetapi pada dedikasi, amanah dan sumbangan yang telah dicurahkan dalam mendidik anak bangsa.

(Program Dasar Warga Emas Negara di Kampung Belumbung Ulu Tahun 2014)
PENGIKTIRAFAN SEJATI DATANG DARI HATI
Sebenarnya, antara penghargaan yang paling bermakna buat saya sebagai seorang pendidik ialah apabila ibu bapa sendiri mengucapkan terima kasih atas kejayaan anak mereka.
Kata-kata itu, walaupun ringkas, adalah satu bentuk pengiktirafan yang sangat tinggi nilainya, lebih tinggi daripada sebarang sijil atau anugerah rasmi.
Saya masih ingat ketika menghadiri satu majlis perkahwinan bekas pelajar saya, ibu bapanya berulang kali mengucapkan terima kasih kepada saya kerana telah mendidik dan mendisiplinkan anak mereka. “Jika cikgu tidak ajar anak saya masa itu, saya tidak tahu apa akan jadi kepadanya,” begitulah kata ibu itu sambil memegang erat tangan saya.
Itulah penghargaan sebenar. Ia datang dari hati yang ikhlas, bukan semata-mata hasil penilaian atau pemilihan birokrasi.
Kini, apabila saya mengimbas kembali pengalaman itu, saya tidak lagi melihatnya sebagai kekecewaan, tetapi sebagai satu pengajaran berharga dalam membina kematangan, ketahanan emosi dan prinsip dalam profesion keguruan.
Sebagai pendidik, tugas kita tidak seharusnya digerakkan oleh keinginan untuk mendapatkan APC semata-mata. Lapangkanlah dada. Yang penting, masyarakat sekeliling, rakan sekerja, pelajar dan ibu bapa tahu dan menyedari bahawa kita telah berkhidmat dengan cemerlang.

(Penghargaan daripada Masyarakat Setempat Tahun 2020)
REFLEKSI
Pengalaman peribadi saya yang berkisar tentang kegagalan menerima APC walaupun telah dijanjikan, merupakan titik penting dalam perjalanan kerjaya saya sebagai seorang pendidik dan sebagai seorang pemimpin pendidikan.
Ia bukan sekadar kisah kekecewaan, tetapi pengajaran yang sangat berharga tentang nilai keikhlasan, kematangan emosi dan maksud sebenar penghargaan dalam dunia pendidikan.
Pada awalnya, saya meletakkan harapan tinggi terhadap pengiktirafan tersebut, yang dilihat sebagai satu bentuk pengesahan terhadap usaha dan komitmen saya.
Sebaliknya, saya semakin sedar bahawa penghargaan yang benar-benar bermakna tidak semestinya datang dalam bentuk sijil atau anugerah. Ia hadir dalam bentuk kepercayaan pelajar, penghormatan rakan sekerja dan ucapan terima kasih yang tulus daripada ibu bapa.
Dalam kapasiti saya sebagai seorang pemimpin, saya melihat peranan saya bukan sahaja untuk mengenal pasti dan memberi pengiktirafan kepada yang layak, tetapi juga untuk membina budaya kerja berteraskan keikhlasan, ketelusan dan kepercayaan.
Refleksi ini mengingatkan saya dan mungkin juga rakan-rakan pendidik lain, bahawa kita tidak bekerja untuk anugerah. Kita bekerja untuk masa depan anak-anak bangsa