REFLEKSI-PENULISAN

Mencatat, Menyentuh, Menginsafkan - Perjalanan Sebuah Pena

July 25, 20255 min read

1. PENGENALAN

"Khazanah ilmu, pengalaman dan kisah hidup yang mampu memberi pengajaran tidak wajar dibawa pergi bersama saat kita meninggalkan dunia ini.”

Dari kata-kata itu, saya menemui keberanian. Keberanian yang membuka hati saya untuk melangkah ke hadapan dengan lebih bermakna.  Ia menjadi detik penting yang mendorong saya untuk mula menulis dan berkongsi di blog.


Selalunya kita mendengar orang berkata, harta dan wang tidak boleh kita bawa pergi apabila tiba masa kita meninggalkan dunia ini. Memang benar. Namun, hakikatnya harta dan wang itu masih boleh dinikmati oleh waris yang kita tinggalkan.


Sebaliknya, ilmu, pengalaman dan kisah hidup yang pernah kita lalui,  jika tidak dikongsi atau dirakam akan lenyap bersama jasad yang kembali ke tanah. Tiada siapa dapat ‘mewarisi’ apa yang terkandung di dalam benak dan hati kita, melainkan kita berusaha menjadikannya sesuatu yang nyata.


Jauh di sudut hati, saya tahu bahawa saya memiliki banyak kisah. Kisah perjuangan, kenangan dan pengalaman yang ingin diceritakan. Ia bukan sekadar untuk dikenang, tetapi untuk dihayati oleh mereka yang pernah melalui jalan yang hampir sama dalam dunia pendidikan ini.


Dengan menggunakan kisah benar, saya memulakan penulisan blog ini dengan harapan dapat berkongsi pengalaman, mencatat kenangan dan menyentuh hati pembaca. 


Tanpa disedari, saya menemui keseronokan dalam menulis. Segala yang tersimpan di fikiran akhirnya dapat diluahkan dan diabadikan sebagai cerita.  


Kini setelah selesai menghasilkan sepuluh buah entri, saya ingin menilai semula perjalanan ini, bukan hanya dari sudut isi, tetapi juga dari sudut pertumbuhan diri sebagai seorang penulis.

2. TEMA DAN FOKUS PENULISAN

Sepuluh blog yang telah saya hasilkan banyak mengetengahkan tema seperti :

  • Pengorbanan dan perjuangan guru

  • Perjalanan kerjaya pendidikan

  • Kisah-kisah menyentuh hati dalam dunia persekolahan

  • Kenangan peribadi yang menyimpan hikmah dan nilai


Tanpa disedari, tema-tema ini mencerminkan minat saya terhadap nilai-nilai kemanusiaan, penghargaan terhadap jasa dan keinginan untuk memberikan suara kepada kisah-kisah yang biasanya tidak diceritakan. 

Saya juga cuba mengangkat kisah guru-guru yang pernah berkhidmat bersama saya, sebagai satu bentuk penghargaan dan cerminan terhadap nilai perjuangan dan kemanusiaan dalam dunia pendidikan yang sering tidak diberi perhatian.


Melalui catatan ini, saya mahu pembaca melihat bahawa dalam diam dan senyap, ramai  pendidik yang telah berbakti dengan penuh keikhlasan – tanpa meminta pujian, tanpa menuntut balasan.

3. KEKUATAN PENULISAN SAYA

Melalui penulisan ini, saya dapati kekuatan saya terletak pada :

  • Kejujuran emosi dalam menyampaikan cerita

  • Bahasa yang bersahaja tetapi menyentuh

  • Naratif yang menghidupkan semula kenangan

  • Unsur kecindan yang menceriakan cerita


Saya juga berasa selesa menulis dalam gaya penceritaan yang reflektif, di mana setiap kisah membawa mesej tersirat dan ruang tafsiran kepada pembaca. 


Penulisan saya banyak berkisar tentang dunia pendidikan, justeru mereka yang berkerjaya dalam bidang ini menjadi sasaran pembaca utama saya. Namun begitu, saya percaya bahawa mereka yang mengenali saya – sama ada dari dekat atau jauh – juga boleh merasai apa yang saya tulis. 


Ini kerana dalam setiap kisah yang dikongsi, terselit nilai-nilai kehidupan yang boleh dipraktikkan dalam pelbagai konteks dan situasi.

4. CABARAN DAN RUANG PENAMBAHBAIKAN 

Antara cabaran utama saya ialah :

  • Keyakinan terhadap penerimaan pembaca

  • Keraguan sama ada kisah peribadi sesuai dikongsikan kepada umum

  • Menjaga keseimbangan antara fakta dan perasaan


Pada awalnya, saya tidak selesa untuk menceritakan kisah peribadi – lebih-lebih lagi yang berkait dengan kelemahan atau kekhilafan diri. Tetapi kata-kata yang menggerakkan saya pada awal penulisan blog ini telah memberi kesedaran bahawa kita semua tidak lari daripada keburukan, kelemahan atau kelalaian. 


Di situlah letaknya keindahan realiti kehidupan – bahawa kita bukan sempurna, tetapi kita belajar dan berkembang daripada ketidaksempurnaan itu.


Dari sudut teknikal pula, saya sedar bahawa gaya penulisan saya kadangkala terlalu panjang. Saya kini berusaha menghadkan setiap blog kepada sekitar 1,200 patah perkataan, agar pembaca boleh menghabiskan bacaan dalam masa 4 hingga 5 minit sahaja. 


Dalam masa yang sama, saya juga berusaha memperkemaskan struktur ayat dan isi agar lebih padat, tersusun dan berfokus.


5. PERKEMBANGAN DIRI SEBAGAI PENULIS 

Sejak bersara, saya sebenarnya telah banyak mengurangkan penglibatan dalam aspek akademik. Ia satu kerugian besar – kerana apabila minda kita tidak digerakkan untuk berfikir dan menulis, kita akan merosot secara perlahan-lahan, khususnya dari sudut pengkayaan kosa kata, kejelasan ekspresi dan daya intelektual.


Namun setelah menulis sepuluh entri blog, saya sedar bahawa ruang yang sekian lama tertutup kini terbuka semula. Kreativiti yang pernah terpendam perlahan-lahan bernafas kembali. Rupa-rupanya, belakang parang pun bisa menjadi tajam andai diasah dengan tekun.


Saya mula menyedari bahawa gaya penulisan saya semakin berkembang – bukan sahaja dari segi teknik, tetapi dari segi kedalaman rasa dan kejujuran penyampaian.


Penulisan di blog bukan hanya satu proses dokumentasi, tetapi ia sebenarnya adalah proses penerokaan diri. Ia membuatkan saya belajar untuk :

  • Lebih selesa dalam menceritakan kisah silam saya

  • Lebih teliti dalam menyusun pemikiran dan emosi

  • Lebih terbuka untuk menerima ketidaksempurnaan diri saya sendiri


Saya juga semakin sedar bahawa setiap pengalaman – walaupun biasa, jika ditulis dengan hati yang tulus, boleh menyentuh hati orang lain. Dan di situlah terletaknya keindahan penulisan itu sendiri.

6. PENUTUP

Sepuluh blog ini bukan hanya sepuluh cerita – ia adalah sepuluh helaian hati yang dibuka kepada umum. Dan dari helaian-helaian ini, saya percaya satu perkara - bahawa setiap kisah yang kita lalui, jika dikongsi dengan niat yang betul, mampu menjadi cahaya kepada orang lain.


Masa depan kita sentiasa penuh dengan misteri. Kita tidak tahu bagaimana kemenjadian diri akan terbentuk pada masa hadapan – sama ada dalam penulisan, pemikiran mahupun kehidupan seharian. Namun saya percaya bahawa harapan yang positif dan usaha yang berterusan akan membawa makna dalam perjalanan ini.  


Minat dan keinginan adalah sesuatu yang berada dalam kawalan diri kita sendiri. Jika kita sudah bersedia, jangan bertangguh - mulakanlah apa yang telah lama dihasratkan. Jangan biarkan perkara-perkara di luar kawalan mengganggu langkah kita, kerana penangguhan hanya akan membawa penyesalan di kemudian hari.


Saya berhasrat untuk terus menulis selagi kesihatan mengizinkan - bukan sekadar untuk berkongsi cerita, tetapi dengan harapan setiap catatan ini menjadi warisan peribadi yang dapat dibaca dan dihayati oleh generasi yang akan datang.

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan.  Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Lian Fee Choo

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan. Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Back to Blog