LEBIH DARI SEKADAR PAKAIAN : AURA SEORANG GURU
KEYAKINAN ITU KECANTIKAN SEBENAR
“Pelajar-pelajar perempuan suka cara aku bersolek. Mereka sering memuji pakaian yang aku pakai. Pernah suatu hari, aku terserempak dengan seorang bekas pelajar. Walaupun aku sudah tidak mengingati namanya, dia masih mengingati aku. Katanya, hingga ke hari ini, kata-kata yang pernah aku ucapkan masih menjadi sumber inspirasinya.”
Aku pernah berkata kepada sekumpulan pelajar perempuan: ‘Kita semua bukan tidak cantik, cuma kita belum ada duit.’
Begitulah cerita seorang bekas guru di bawah bimbinganku ketika kami bertemu dalam satu program di sekolah. Guru itu tidak menyangka kata-katanya yang diucapkan secara bersahaja telah meninggalkan kesan mendalam dalam diri pelajar tersebut — membangkitkan semangat untuk belajar dan berjaya sepertinya.
Pendek kata, pelajar itu mahu menjadi cantik dan yakin seperti gurunya. Aku memahami perasaan pelajar yang datang daripada keluarga susah. Mereka sering memandang rendah terhadap kemampuan diri. Walaupun secara semula jadi mereka cantik, keyakinan diri sering luntur kerana mereka fikirkan bahawa wang adalah penentu segala-galanya.
Namun, guru itu membuktikan bahawa keyakinan dan usaha juga mampu menyerlahkan kecantikan sebenar.
PENAMPILAN GURU, AURA DI DALAM KELAS
Sebenarnya, tidak kira guru lelaki mahupun perempuan, kedua-duanya mempunyai daya tarikan tersendiri. Guru yang berpakaian kemas serta menjaga penampilan diri dengan baik sering dinanti-nantikan kehadirannya di kelas oleh para pelajar.
Daya tarikan sebegini mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih ceria dan bersemangat. Walau bagaimanapun, aku tidak bermaksud membuat kesimpulan bahawa guru yang bergaya semestinya lebih hebat dalam mengajar.
Situasinya mungkin berbeza di sekolah lain. Jika pelajar boleh mencipta “Anugerah Guru Paling Bergaya” sempena sambutan Hari Guru di sekolah dan pemenangnya ditentukan melalui undian pelajar, sudah tentu anugerah itu mempunyai keistimewaannya tersendiri.
Persoalannya, adakah pakaian dan penampilan diri mempunyai kaitan secara langsung dengan prestasi kerja seseorang guru? Perkara ini sukar diputuskan kerana ia bersifat subjektif dan melibatkan pelbagai faktor lain yang turut mempengaruhi kualiti pengajaran serta pembelajaran di dalam kelas.
Cukuplah sekiranya seorang guru berpakaian kemas, beretika dan komited terhadap tugas mendidik. Namun, guru yang berdedikasi dilengkapi penampilan ceria dan menarik, lazimnya memiliki aura yang lebih positif berbanding guru yang sama komited tetapi berpenampilan selekeh.
APABILA PENAMPILAN MENJADI PENILAIAN
Bagaimana pula ceritanya jika guru berpakaian selekeh di sekolah? Pernah pada suatu hari, aku bertanya kepada anak buahku. Kebetulan, sekolahnya baru sahaja menerima seorang pengetua lelaki yang baharu.
Dengan nada bersungut, dia berkata, “saya tidak suka pengetua baharu itu. Tengoklah cara dia berpakaian - selekeh sahaja, botak pula tu.” Itulah pengakuan jujur seorang pelajar apabila melihat pengetua baharunya di sekolah.
Rupa-rupanya, ada pelajar yang membuat tanggapan awal terhadap seseorang berdasarkan cara berpakaian dan penampilan diri. Aku tidak menyalahkan anak buahku kerana ketika itu dia masih di tingkatan dua dan belum berfikiran matang.
Sebenarnya, dia sekadar membandingkan pengetua baharu itu dengan pengetua sebelumnya. Pengetua terdahulu segak, kemas dan menjadi idola mereka. Perbezaan ketara dari segi gaya berpakaian dan penampilan fizikal di antara kedua-dua pengetua inilah yang menyebabkan pelajar tersebut membentuk tanggapan negatif terhadap pengetua baharunya.
PENAMPILAN CERMINAN PROFESIONALISME
Setiap manusia mempunyai persepsi yang berbeza terhadap pakaian dan penampilan diri seseorang. Tugas seorang guru tidak terbatas di dalam pejabat semata-mata. Sebaliknya, guru sentiasa berada di mata ratusan malah ribuan pelajar setiap hari.
Oleh sebab itu, guru perlu memberi perhatian yang serius terhadap pakaian dan penampilan diri. Seelok-eloknya, pakaian yang dipakai tidak lusuh, tidak pudar warnanya dan tidak kelihatan kusam. Bayangkan jika kemeja berwarna putih yang dipakai bertahun-tahun tidak dicuci dengan betul, akhirnya ia akan bertukar menjadi kelabu dan tampak kurang menyenangkan.
Guru juga boleh menghadiahkan diri sendiri dengan pakaian baharu apabila sesi persekolahan baharu bermula, sebagai tanda semangat untuk kembali ke sekolah selepas bercuti panjang. Atau apabila menerima imbuhan gaji, tidak salah jika sedikit wang dibelanjakan untuk mendapatkan pakaian yang sesuai dengan peredaran masa.
Sesekali memanjakan diri bukanlah pembaziran - sebaliknya satu cara menghargai diri dan menaikkan semangat untuk terus berkhidmat dengan penuh keyakinan dan profesionalisme.
KESEIMBANGAN ANTARA PENAMPILAN DAN PRESTASI
Banyak yang dapat kita pelajari melalui pemerhatian terhadap pakaian dan penampilan seseorang. Aku menghormati setiap pandangan kerana ia bersifat unik bagi setiap individu.
Aku sedar bahawa kisah di atas menggambarkan dua situasi berbeza dan sebenarnya ia tidak mewakili keseluruhan realiti. Hal ini kerana terdapat banyak faktor lain yang berkait rapat dengan cara seseorang berpenampilan.
Setiap insan itu berbeza. Kita tidak wajar menilai seseorang hanya berdasarkan aspek luaran kerana penampilan bersifat subjektif dan tidak menggambarkan keperibadian sepenuhnya.
Justeru, jika anda seorang guru yang sedang membaca catatan ini, gunakan kebijaksanaan dan pertimbangan rasional dalam membentuk pandangan tentang pakaian serta penampilan diri.
Menurut Will Rogers, “You never get a second chance to make a first impression.” Tanggapan awal terhadap seseorang amat penting kerana ia menjadi pintu pertama yang mencerminkan siapa diri kita sebenarnya.
Namun, apa yang lebih utama ialah memastikan pakaian dan penampilan diri yang dijaga dengan baik seimbang dengan prestasi kerja di sekolah. Penampilan yang kemas hanyalah pelengkap kepada imej seorang guru yang berwibawa, bukan ukuran mutlak terhadap kehebatannya.
REFLEKSI
Penampilan seorang guru bukan sekadar soal pakaian atau gaya luaran, tetapi juga cerminan profesionalisme, keyakinan diri dan semangat dalam menjalankan amanah mendidik.
Melalui kisah dan pengalaman yang dikongsi, jelas bahawa cara guru berpenampilan mampu memberi kesan terhadap persepsi pelajar - sama ada membangkitkan inspirasi atau mencipta tanggapan awal yang salah.
Namun, tidak wajar menilai kehebatan seorang guru semata-mata berdasarkan pakaian. Nilai sebenar seorang pendidik tetap terletak pada komitmen, integriti, keikhlasan dan kualiti kerja yang ditunjukkan setiap hari.
Akhirnya, keseimbangan antara gaya, etika dan tanggungjawab adalah kunci untuk mengekalkan aura positif dalam profesion keguruan. Guru yang menjaga penampilan diri dengan baik bukan sahaja memberi inspirasi kepada pelajarnya, tetapi turut menghormati profesion yang dimartabatkannya.
