.

BLOG YANG MENJADI JAMBATAN KENANGAN DAN INSPIRASI

May 22, 20265 min read

REFLEKSI YANG MENGHIDUPKAN IDEA

Masuk bulan Mei 2026, genap setahun aku melibatkan diri dalam dunia penulisan blog. Apa yang pada awalnya sekadar mengisi kebosanan kerana masa senggang yang panjang, akhirnya menjadi ruang untuk aku berkarya. Dalam proses itu, aku mula menyedari bahawa aku memiliki kekuatan dalam penulisan. Idea sering mengalir setiap kali aku mengimbau kembali refleksi masa lalu dan apabila diperhalusi, ia mampu melahirkan hasil yang cukup memuaskan.

Dengan niat dan harapan untuk menyuntik inspirasi kepada pembaca, kebanyakan penulisanku diselitkan unsur pengajaran. Sama ada ditujukan kepada guru, barisan pemimpin pertengahan, kepimpinan tertinggi mahupun masyarakat umum, aku percaya setiap nukilan mampu menjadi bahan bacaan yang mendidik atau sekurang-kurangnya menghiburkan hati.

Sepanjang tempoh setahun itu, aku telah menghasilkan 44 buah blog yang penuh dengan kisah benar - berdasarkan pengalaman sebagai seorang pendidik dan juga kehidupan kini sebagai pesara.

Beberapa rakan yang mengenali penulisanku pernah mencadangkan agar blog-blog ini dikumpulkan dan dibukukan. Niat itu ada tersimpan di hati dan aku berharap suatu hari nanti dapat merealisasikannya melalui sebuah buku yang terhasil daripada kompilasi penulisan ini.

Tangkapan Skrin Daripada Blog cigulian.com

PENULISAN YANG MENGHUBUNGKAN SEMULA SILATURAHIM

Sejujurnya aku tidak pernah meletakkan harapan tinggi ketika memulakan blog. Namun, satu demi satu penulisan yang dihasilkan membawa reaksi yang berbeza setiap kali aku mempromosikannya di akaun TikTok. Tanpa diduga, mesej yang ingin aku sampaikan rupanya sampai kepada individu-individu tertentu - khususnya bekas pelajar, bekas rakan guru dan juga mereka yang pernah menjadi ketuaku.

Antara pengalaman yang paling mengujakan ialah apabila sebuah blog bertajuk “Lawatan Yang Mendidik : Perspektif Baharu Tentang Pemantauan sekolah” diterbitkan. Beberapa minggu selepas itu, watak utama yang aku kisahkan dalam penulisan tersebut, iaitu Datuk Jame Alip, mantan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, menghubungi aku sendiri untuk mengucapkan terima kasih. Lebih menyentuh hati, beliau telah menghadiahkan sebuah buku hasil tulisannya kepadaku sebagai tanda penghargaan.

Tangkapan Skrin Daripada Blog cigulian.com

UKIRAN KATA, LAKARAN KEJAYAAN

Aku turut berasa teruja apabila seorang demi seorang bekas pelajar menghantar mesej yang mengimbau kenangan lama ketika aku menjadi guru dan pengetua mereka. Aku sama sekali tidak menyangka kata-kata motivasi yang pernah aku ucapkan semasa perhimpunan rasmi sekolah dan di bilik darjah masih terpahat dalam ingatan mereka. Malah, mereka mengulang kembali kata-kata itu dan yang lebih mengharukan apabila mereka mengakui bahawa kata-kata tersebut menjadi pendorong dalam perjuangan hidup mereka.

Sesungguhnya, aku tidak pernah terfikir ungkapan-ungkapan itu masih diingati, apatah lagi diungkapkan semula setelah beberapa tahun mereka meninggalkan alam persekolahan dan kini telah melangkah ke alam pekerjaan. Ada di antara kata-kata yang mereka sebutkan tidak aku ingat aku ucapkan. Namun, aku bersyukur kerana kata-kata itu rupanya telah menjadi pendorong kepada mereka menjadi insan yang berjaya.

Aku juga terharu apabila menerima mesej daripada pelajar-pelajar yang dahulu kurang cemerlang dalam pelajaran dan mungkin sedikit nakal. Mereka turut mengucapkan terima kasih atas bimbingan yang pernah diberikan. Pengakuan bahawa mereka kini telah berjaya dalam kerjaya baik di dalam mahupun di luar negara, walaupun sekadar lulusan SPM, benar-benar menyentuh hatiku. Semoga mereka terus melakar kejayaan dalam kehidupan masing-masing.

Hantaran Mesej Daripada Seorang Bekas Pelajar

NIKMAT YANG TIDAK DIJANGKA DALAM PERSARAAN

Rakan-rakan lama yang telah lama terputus hubungan kini kembali hadir sebagai rakan baharu apabila mereka mengetahui aku aktif menulis blog dan berkongsi di TikTok. Kata-kata semangat serta sokongan yang mereka berikan menyemarakkan lagi motivasiku untuk terus menulis.

Masyarakat yang pernah aku kenali juga meninggalkan komen-komen positif tentang sumbanganku ketika menjadi pengetua. Walaupun ada yang menggunakan nama samaran, namun dari isi mesej yang ditulis, aku dapat mengagak mereka mungkin ibu bapa atau individu yang pernah berurusan denganku semasa masih berkhidmat dahulu.

Pendek kata, melalui penulisan blog ini, aku merasakan dunia persaraan yang pada awalnya terasa kecil menjadi semakin luas. Orang-orang yang pernah hadir dalam hidupku kembali berinteraksi. Persahabatan lama seakan hidup semula dan aku menyedari bahawa apa yang aku peroleh daripada aktiviti ini jauh melebihi jangkaanku.

BLOG SEBAGAI RUJUKAN PENDIDIK DAN PEMIMPIN

Kepada guru-guru yang sedang berkhidmat, bakal guru, bakal pemimpin sekolah, mahupun mereka yang sedang menerajui organisasi, aku berharap penulisanku dapat terus memberi impak positif terhadap corak pemikiran, cara kerja dan penghayatan nilai profesionalisme.

Aku juga berasa teruja apabila mengetahui ada guru yang setia mengikuti blog ini kerana yakin dapat menimba panduan untuk menjadi pendidik yang berjaya. Malah, terdapat juga bakal pemimpin yang aktif membaca perkongsianku dengan hasrat mencedok ilmu pengurusan dan kepimpinan agar dapat menjadi pemimpin yang lebih dinamik dan berkaliber.

Hantaran Mesej Daripada Seorang Bekas Guru

WATAK-WATAK INSPIRASI DALAM BLOG

Blogku turut menampilkan beberapa watak lain seperti guru dan bekas pelajar. Mereka menjadi sebahagian daripada penulisanku kerana aku yakin pengalaman, cabaran dan kejayaan yang mereka lalui wajar dikongsikan sebagai sumber inspirasi kepada umum.

Terus terang, bukan mudah untuk menulis tentang seseorang individu jika kita tidak benar-benar mengenali peribadi, nilai kerja, disiplin dan kesungguhan mereka. Walaupun pada awalnya ada yang berasa segan untuk dijadikan watak utama dalam blog, akhirnya mereka bersetuju dan berasa terharu kerana sumbangan mereka dihargai oleh bekas guru/majikan mereka.

Tangkapan Skrin Daripada Blog cigulian.com

REFLEKSI

Setahun melibatkan diri dalam penulisan blog membuka ruang yang tidak pernah aku jangka dalam alam persaraan ini. Apa yang bermula sekadar mengisi masa senggang, akhirnya menjadi medan untuk aku berkongsi pengalaman, menzahirkan kenangan dan menyampaikan mesej yang lahir daripada perjalanan panjang sebagai pendidik dan pemimpin sekolah.

Melalui penulisan, aku bukan sahaja merangkul kembali kekuatan diri, malah menjalin semula ikatan dengan insan-insan yang pernah hadir dalam perjalanan hidupku - bekas pelajar, rakan guru, rakan lama, malah individu yang pernah menjadi ketuaku.

Setiap mesej yang diterima, setiap komen yang ditinggalkan dan setiap kenangan yang dikongsikan semula oleh mereka, membuatkan aku sedar bahawa kata-kata dan tindakan kita suatu ketika dahulu rupanya meninggalkan kesan yang mendalam dalam kehidupan orang lain.

Harapanku, semoga setiap penulisan yang aku hasilkan dapat terus memberi manfaat kepada guru-guru yang sedang berkhidmat, bakal pendidik, bakal pemimpin, mahupun sesiapa sahaja yang membaca. Jika ada satu ayat, satu kisah atau satu pengalaman yang mampu menyentuh hati dan mencetuskan perubahan positif dalam pemikiran pembaca, itu sudah cukup bermakna buat diriku.

Akhir kata, aku ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang sudi membaca, mengikuti, memberi komen dan menyokong penulisanku. Sokongan kalian menjadi pemangkin semangat untuk aku terus menulis dan berkongsi. Semoga setiap yang dibaca membawa manfaat dan setiap kenangan yang dikongsi menjadi inspirasi dalam kehidupan.

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan. Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Lian Fee Choo

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan. Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Back to Blog