Bukan Kelas Tambahan Tapi Perhatian Tambahan

TEKNIK 3B

June 20, 20258 min read

GELAK, MENGELUH, MENGAJAR - TIGA SERANGKAI SEORANG GURU

“Saya sudah penat.”
“Saya sakit tengok mereka, bukan sakit badan tapi sakit jiwa!”
“Saya rasa macam tayar pancit – pam pun tak naik-naik!”
“Tak pernah saya lihat pelajar selembik ini, lemau pun kalah.”


“Rasa nak angkat bendera putih setiap kali masuk kelas.”
“Bateri motivasi saya tinggal satu bar saja ni…”
“10 tahun mengajar, tapi ini macam ‘final boss’.”
“Kalau ada jual ubat untuk malas, saya borong satu kotak!”

Memang benar, ada harinya kita rasa hilang semangat. Tapi yang penting, jangan sesekali hilang arah walaupun kompas motivasi kita kadang-kadang senget! 🤣

Cikgu pun manusia….. tapi kadang-kadang cikgu-cikgu ini manusia luar biasa boleh tergelak sambil mendidik, boleh penat tapi tetap bangkit, kata mau putus asa tapi tetap juga tidak putus asa!


RAJIN ITU BUKAN WARISAN GENETIK

Sebagai guru yang sudah lama bergelumang dalam dunia pendidikan, masalah pelajar ‘malas belajar’ ini bukan lagi perkara luar biasa. Ia seperti musim durian, datang setiap tahun tanpa gagal. 🤣

Yang peliknya, mereka bukannya buta huruf. Boleh membaca, boleh menulis, malah boleh menghafal lirik lagu dan nama semua pemain bola sepak dunia. Tapi bila disuruh ulang kaji, terus hilang tenaga macam telefon yang lupa dicas. 

Guru pula terpaksa menjadi jurujual vacuum, memujuk dan meyakinkan,  “Belajarlah, demi masa depan…”  tapi tetap tidak berjaya mendapat ‘jualan’.

Kadang-kadang terfikir, alangkah bagusnya kalau ada pil semangat belajar. Makan sebiji terus rajin buat latihan. Tapi malangnya, setakat ini belum ada farmasi yang menjualnya. 🤣


ANTARA LENSA DAN HARAPAN

Saya berpeluang menghadiri satu Program Motivasi Pelajar SPM di salah sebuah sekolah menengah di Daerah Tenom pada 4 Oktober 2024. Selepas program tersebut selesai, saya berpesan kepada guru yang mengendalikan program agar menghantar beberapa keping gambar semasa program itu berlangsung.

Saya tertarik dengan satu gambar yang memaparkan saya sedang berbual dengan dua orang pelajar daripada kelas paling lemah. Menurut guru mereka, kedua-dua pelajar ini sebenarnya mempunyai potensi, tetapi enggan berusaha sedikit pun untuk lulus.

Beberapa hari kemudian, saya memberitahu guru tersebut bahawa saya ingin menggunakan salah satu gambar itu sebagai gambar profil WhatsApp saya. Saya juga memohon guru berkenaan untuk memaklumkan perkara ini kepada kedua-dua pelajar sebagai tanda mendapatkan keizinan daripada mereka.

Saya menambah kapsyen di dalam Whatsapp saya yang berbunyi, “these boys are very special to me.  All the best in their SPM dan may God bless them.”


JANJI DI SEBALIK GAMBAR PROFIL

“Wah, Madam Lian mau letak gambar kami di profilnya? Malu bah kami, cikgu…” ujar salah seorang pelajar sambil tersipu-sipu.

“Itulah sebabnya kamu kena belajar betul-betul untuk SPM,” balas guru itu sambil tersenyum. “Madam Lian kata dia akan letak gambar itu sampai kamu habis SPM. Dia mahu kamu tahu, dia sedang perhati dari jauh dan doakan yang terbaik. Dia juga harap kamu belajar bersungguh-sungguh. Jangan kecewakan dia, ya.”

“Baiklah, cikgu. Kami janji akan belajar bersungguh-sungguh mulai hari ini!” balas pelajar itu, kali ini dengan nada penuh semangat dan tekad.

Sejak hari itu, salah seorang daripada pelajar itu mula menunjukkan usaha bersungguh-sungguh untuk belajar.   Dia mula rajin bertanya guru topik-topik yang  tidak difahami dan kehadiran ke sekolah juga semakin konsisten.


LANGKAH KECIL, IMPIAN BESAR

Beberapa minggu sebelum SPM menjelang, saya mengirim pesanan kepada guru tersebut, memohon agar pelajar itu terus belajar bersungguh-sungguh dan menghadapi peperiksaan dengan sebaik mungkin. Jangan putus asa dan yakin dengan usaha sendiri.

Tidak lama kemudian, pesanan saya dibalas - bukan melalui kata-kata, tetapi melalui sekeping nota kecil yang ditulis oleh pelajar itu.

Nota itu diletakkan di atas meja guru. Guru tersebut mengambil gambar nota berkenaan dan menghantarnya kepada saya. Tulisannya ringkas sahaja, namun begitu tulus dan menyentuh hati saya. Ia adalah lambang harapan, usaha dan mungkin penghargaan yang tidak terucap dengan kata-kata.

Sehari sebelum peperiksaan SPM bermula, saya sempat mengingatkan pelajar itu sekali lagi agar membuat persediaan rapi, hadir untuk setiap kertas peperiksaan dan menjawab semua soalan dengan sepenuh daya usaha. 


KERANA KITA TIDAK PERNAH BERHENTI PERCAYA

Program motivasi itu sebenarnya diadakan hanya tiga bulan sebelum SPM. Tempoh yang agak singkat itu menimbulkan kerisauan dalam kalangan guru. Ramai menyuarakan bahawa mereka sukar membantu sepenuhnya pelajar-pelajar lemah ini kerana mereka sudah ketinggalan sejak di Tingkatan Empat lagi. 

Usaha untuk membimbing mereka terasa seperti mengejar waktu yang semakin suntuk dan malangnya, perubahan sikap mereka datang agak lewat. Namun begitu, guru-guru tidak berputus asa, begitu juga pelajar-pelajar. 

Tidak dapat dinafikan juga, perjalanan ini bukanlah begitu mudah dan lancar, adakalanya motivasi mereka ibarat graf garis yang turun naik mengikut peredaran waktu. 

Pelajar-pelajar seperti ini perlu diberikan perhatian dan dorongan yang berterusan kerana semangat mereka mudah goyah jika tidak disokong secara konsisten. Guru-guru terus berusaha, berdoa dan berharap agar ada sinar di hujung jalan. 

Cita-cita mereka bukanlah untuk mendapat keputusan cemerlang, tetapi cukuplah sekadar LULUS, walaupun hanya dengan Gred E, asalkan tidak terjatuh ke dalam jurang kegagalan yang seakan telah sekian lama menunggu.

Ketika keputusan SPM diumumkan, janji itu akhirnya benar-benar menjadi kenyataan. Pelajar yang pernah berjanji untuk lulus berjaya membuktikan kesungguhannya. Dia lulus BM dengan Gred D dan Sejarah dengan Gred E. Keputusan Bahasa Inggerisnya Gred D – sesungguhnya satu kejutan kepada guru subjeknya kerana ia di luar jangkaan.

Dia mungkin tidak cemerlang dalam pandangan biasa, tetapi dalam konteks pelajar itu, ia adalah satu kejayaan yang luar biasa. Pelajar ini akhirnya layak mendapat sijil SPM.

Saya sendiri turut merasa bangga dan terharu. Keputusan itu mungkin sederhana, tetapi bagi pelajar yang bertarung dari belakang garisan permulaan, ia adalah kemenangan yang besar. Lebih daripada sekadar gred di atas kertas — ia adalah simbol sebuah janji yang dikota, usaha yang tidak sia-sia dan harapan bahawa masa depan masih terbuka luas untuk mereka yang berani mencuba.

Semoga pelajar ini terus melangkah dengan yakin dalam misi kehidupan yang seterusnya.


TEKNIK 3B

Mari kita berkenalan dengan Teknik 3B.

Saya sendiri tertanya-tanya bolehkah amalan luar biasa ini dijadikan satu teknik? Namun selepas meneliti kembali usaha yang saya lakukan terhadap seorang pelajar, barulah saya sedar bahawa ia sebenarnya boleh dijadikan satu kaedah intervensi yang praktikal dan berkesan, terutamanya untuk pelajar yang lemah. Jika teknik ini dimulakan lebih awal, saya percaya impaknya akan jauh lebih besar.


Apa itu Teknik 3B?

3B ialah singkatan kepada "Bukan Biasa-Biasa".


Ia dinamakan demikian kerana pendekatan ini
bukan amalan biasa.  Ini kerana saya tidak pernah praktikkan amalan ini sepanjang berada di sekolah tetapi kesannya sangat luar biasa. Hanya dengan satu tindakan kecil, keputusan yang dihasilkan adalah di luar jangkaan.

Langkah-Langkah Teknik 3B

Langkah 1: Kenal Pasti Pelajar Sasaran

  • Pilih pelajar yang lemah tetapi berpotensi untuk dibantu.

  • Tidak perlu melibatkan ramai pelajar 

  • Dapatkan maklumat siapa guru yang paling disenanginya. Guru tersebut boleh dijadikan idola atau ‘penyuntik semangat’.

Langkah 2: Ambil Gambar Bersama (Kaedah Lain Boleh Dicuba)

  • Jumpa pelajar tersebut dan ambil gambar bersama.

  • Maklumkan kepada pelajar bahawa gambar itu akan dijadikan gambar profil WhatsApp atau media sosial guru sebagai tanda sokongan.

  • Tindakan ini memberi mesej jelas bahawa guru mengambil berat tentang dirinya. Ia bertujuan menyentuh emosi dan meningkatkan motivasi.

Langkah 3: Pantau dan Beri Semangat

  • Pantau kemajuannya dari semasa ke semasa melalui guru subjek atau guru kelas.

  • Beri kata-kata semangat secara berkala.

  • Tidak perlu bertemu setiap hari, cukup sekadar bertanya khabar dan menyampaikan mesej motivasi secara konsisten.

Langkah 4: Damping Sebelum Peperiksaan

  • Beberapa hari sebelum SPM, beri pesanan penting - hadir semua kertas, jawab penuh dan jangan tinggalkan kertas jawapan yang kosong.

  • Ini penting untuk memastikan pelajar tidak ‘putus asa’ di saat-saat akhir.

Mengapa Teknik 3B Berkesan?

Teknik ini tidak membebankan guru atau pihak sekolah.

  • Tidak memerlukan kelas tambahan yang khusus

  • Tidak menambah tugasan

  • Tiada ganjaran yang dijanjikan

  • Hanya perlukan keikhlasan, kreativiti dan sedikit sentuhan peribadi.

Sebenarnya, saya secara peribadi tidak mengenali pelajar itu. Kami hanya berjumpa sekali semasa Program Motivasi itu. Selebihnya, komunikasi berlaku melalui guru penghubung. Namun, dalam masa 3 bulan sahaja, pelajar itu berjaya membuktikan keberkesanan pendekatan ini.

Jika kaedah ini dimulakan lebih awal, besar kemungkinan akan menghasilkan keputusan yang jauh lebih baik.  Saya yakin dengan keberadaan guru di sekolah bersama pelajar yang disasarkan, implikasinya lebih berkesan.

Itulah keunikan Teknik 3B - praktikal, berkesan dan berharga tetapi berbelanja RM0.00.


KESIMPULAN

Sejujurnya, kepuasan dalam mendidik bukan semata-mata terletak pada pelajar yang berjaya meraih 10A. Bagi seorang guru, melihat pelajar lemah yang akhirnya mampu sekadar LULUS pun sudah cukup menjadi satu kebanggaan, lebih-lebih lagi jika guru tersebut telah berusaha bersungguh-sungguh membimbingnya.


Orang lain mungkin tidak menganggap ini sebagai satu kejayaan besar. Namun bagi seorang pendidik yang benar-benar memahami pelajar seperti ini, inilah kejayaan paling bermakna, yakni kejayaan yang memberikan kepuasan tertinggi dalam karier seorang guru.

Pihak sekolah boleh menyesuaikan teknik ini mengikut konteks dan keperluan pelajar masing-masing. Gunakan kreativiti untuk menawan hati mereka agar mereka sedar bahawa harapan itu masih terbentang luas.

Yang paling penting, yakinlah pada potensi pelajar walaupun ia tersimpan jauh di dasar semangat mereka. Jangan pernah jemu mencuba pendekatan luar biasa kerana adakalanya perubahan besar hanya perlu bermula daripada langkah yang kerdil.


REFLEKSI

Adakalanya kita berasa penat mengajar pelajar yang lemah tanpa menyedari kita menggunakan pendekatan yang sama untuk semua pelajar. Motivasi untuk belajar bagi setiap pelajar sangat berbeza di antara satu sama lain.

Hakikatnya, tidak semua pelajar boleh diubah dengan kaedah yang serupa. Mungkin sudah tiba masanya kita berfikir di luar kotak dan mencuba pendekatan yang bukan biasa-biasa.

Jika dilihat secara zahir, Teknik 3B ini tidaklah kelihatan terlalu istimewa. Namun, mesej penting yang ingin disampaikan ialah pelajar lemah memerlukan lebih sedikit perhatian dan perhatian itu seharusnya  berkualiti dan bermakna.

Bukan semua pelajar lemah ditakdirkan gagal dalam SPM. Berikan sentuhan yang membuatkan mereka rasa dihargai, disayangi dan tidak dipinggirkan. Apabila emosi dan kepercayaan seperti ini dibina, perubahan akan datang secara perlahan-lahan tetapi pasti.

Teknik ini sememangnya Bukan Biasa-Biasa kerana ia telah membuktikan sesuatu yang luar biasa. Pelajar lemah juga mampu berjaya apabila diberi peluang, harapan dan sokongan.

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan.  Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Lian Fee Choo

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan. Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Back to Blog