JAUH BERJALAN, LUAS PEMANDANGAN : CATATAN PERJALANAN KE YUNNAN
JAUH BERJALAN, LUAS PEMANDANGAN
Sewaktu aku masih berkhidmat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai seorang pendidik, aku hanya mampu melihat dan mendengar keseronokan orang lain yang melancong ke luar negara - apatah lagi kisah mereka yang sudah menjejakkan kaki ke beberapa buah negara.
Bak kata orang, “Jika anda tidak melancong sekarang, jangan tunggu sehingga tua, ketika kaki sudah tidak kuat. Pada masa itu, walaupun keinginan tinggi, peluang mungkin sudah tiada.” Kata-kata ini seolah-olah menjadi peringatan dan dorongan agar kita tidak menangguhkan niat untuk mengembara.
Bukan aku tidak mahu melancong. Bukan juga kerana aku tidak mampu atau tidak punya masa. Namun, pada ketika itu, melancong bukanlah keutamaan dalam kehidupan aku. Masih banyak perkara lain yang lebih penting untuk dijaga dan diurus. Sebenarnya, aku juga tidak begitu teruja dengan aktiviti melancong seperti orang lain.
Ada yang berkata, jika kita tidak melakukan sesuatu ketika masih sihat dan kuat, kita akan menyesal kemudian hari. Sama ada seseorang itu menyesal atau tidak, semuanya bergantung kepada pilihan dan minat masing-masing. Jika kita memang tidak berhasrat atau tidak berminat untuk melancong, bagaimana mungkin kita akan menyesal kerana tidak melakukannya?
APABILA MASA MENGUBAH KEINGINAN
Siapa yang boleh meramal? Masa mengubah segala-galanya - cita rasa, persepsi dan kemahuan kita. Setelah aku bersara, barulah timbul keinginan untuk melancong. Bukan sekadar untuk berseronok, tetapi untuk mengenali geografi sesebuah negara, memahami budaya masyarakatnya serta mempelajari perkara baharu yang mampu memperluas horizon pemikiran.
Destinasi luar negara pertama yang menarik perhatian aku ialah Yunnan, China, sebuah wilayah di barat daya negara yang terkenal dengan landskapnya yang menakjubkan - daripada pergunungan bersalji, sawah padi berteres, hinggalah ke tasik dan gaung yang dalam. Antara tempat yang aku kunjungi termasuk Kunming, Dali, Lijiang dan Shangri-La, masing-masing menampilkan keunikan dan keindahan yang tersendiri.
Lawatan ke Yunnan kebetulan berlangsung pada penghujung musim dingin, sekitar awal bulan Mac. Cuacanya sejuk, antara -6 hingga 14 darjah Celsius, bergantung kepada kawasan dan waktu. Merasai kesejukan yang mencengkam tulang itu menjadi satu pengalaman baharu dan istimewa dalam hidupku - pengalaman yang tidak pernah aku alami sebelum ini.

(Kedinginan Salji di Shangri-la)
KEINDAHAN YUNNAN YANG MENGAGUMKAN
Boleh dikatakan hampir semua tempat yang aku lawati di Yunnan mempunyai daya tarikan yang tersendiri – seperti Kawasan Pergunungan Salji Jade Dragon, Hutan Batu Shilin, Bandar Lama Lijiang, Kota Dali, Tasik Erhai, Jurang Tiger Leaping, Biara Songzanlin serta kawasan yang digelar “Santorini” Kunming.
Keunikan bentuk muka bumi Yunnan dari segi geografi dan keindahan alam semula jadinya menjadikan setiap destinasi begitu mengagumkan. Bangunan-bangunan lama pula masih dipelihara dengan baik, mengekalkan seni bina tradisional yang sarat dengan nilai sejarah dan budaya.
Satu pengalaman menarik ialah keperluan menggunakan “oxygen can” sewaktu berada di kawasan pergunungan. Pada ketinggian melebihi 3,000 meter dari aras laut, kita dapat merasakan degupan jantung yang pantas dan nafas yang pendek walaupun hanya berjalan perlahan atau menaiki anak tangga. Ia satu pengalaman baharu yang membuatkan aku lebih menghargai kemampuan tubuh manusia menyesuaikan diri dalam keadaan ekstrem.
Kebanyakan tempat pelancongan popular di Yunnan dipenuhi dengan orang ramai, sama ada pelancong asing mahupun penduduk tempatan. Aku agak terkejut melihat jumlah pengunjung yang begitu ramai walaupun bukan pada hujung minggu. Dari situ aku menyedari bahawa populasi China yang begitu besar menjadikan suasana sesak di kawasan pelancongan sesuatu yang lumrah, tidak kira masa atau tempat.

(Bunga Sakura dan Bunga Popi Mekar di Taman)
MENIKMATI RASA DAN RENTAK DI YUNNAN
Makanan di Yunnan juga meninggalkan pengalaman yang istimewa, terutama itik panggangnya yang begitu enak dan lembut. Disebabkan cuacanya yang sejuk, hidangan pedas menjadi kebiasaan dalam diet masyarakat di sana. Antara yang paling terkenal ialah “hot pot”, sajian istimewa yang mudah didapati di hampir setiap tempat - sangat sesuai dinikmati dalam suasana dingin.
Buah-buahannya pula segar, manis dan murah. Bayangkan, lapan biji limau hanya berharga RMB10.00, kira-kira RM6.00 sahaja - boleh dinikmati sepuas-puasnya! Jika dibandingkan, limau bersaiz besar di Malaysia berharga sekitar RM2 hingga RM4 sebiji. Selain buah-buahan, barangan lain seperti pakaian dan kasut juga agak murah berbanding di negara kita.
Satu lagi keistimewaan di China ialah sistem pengangkutannya yang efisien dan teratur. Walaupun jumlah penduduknya ramai, pergerakan tidak menjadi rumit kerana dipermudahkan dengan kehadiran e-basikal yang boleh disewa di serata tempat.
Di kawasan pelancongan utama, kemudahan seperti bas shuttle dan kereta kabel (cable car) disediakan dengan baik, menjadikan pergerakan antara destinasi lebih mudah, selesa dan memendekkan masa menunggu.

(Hutan Batu Shilin)
PELAJARAN DARI SEBUAH PENGEMBARAAN
Hasil daripada pengalaman ini, banyak perkara baharu yang saya pelajari. Antaranya ialah kemudahan membeli insurans perjalanan melalui aplikasi dalam talian. Ia sangat bermanfaat - bukan sahaja pampasan automatik bagi kelewatan penerbangan, tetapi juga menyediakan kemudahan makluman jadual dan perubahan penerbangan terus melalui SMS.
Selain itu, aku turut belajar menyesuaikan diri dengan kaedah pembayaran menggunakan sistem kod QR seperti Alipay, yang sangat meluas penggunaannya di China. Pada awalnya agak kekok, tetapi lama-kelamaan aku mula menyedari kelebihan sistem tanpa tunai ini yang pantas, mudah dan selamat.
Satu lagi perkara yang menarik perhatian ialah kebersihan persekitaran. Kawasan lalu-lalang di kedai, jalan raya dan tempat awam begitu bersih daripada sampah. Di Kota Lama Dali, pekerja-pekerja pembersihan masih bertugas walaupun sudah lewat malam - satu pemandangan yang jarang kita lihat di negara sendiri.
Selain itu, penggunaan kenderaan elektrik seperti kereta dan motosikal juga begitu meluas. Udaranya lebih bersih dan suasananya lebih tenang. Ketika berada di jalan raya, hampir tidak kedengaran kenderaan di sekeliling kerana bunyi enjinnya begitu senyap. Pengalaman ini mendidik kita bagaimana teknologi membantu mencipta persekitaran yang lebih lestari dan selesa.

(Bas Pelancongan di Yunnan)
SALJI PERTAMA DAN SERIBU KEINDAHAN
Pendek kata, pengalaman baharu yang aku peroleh sepanjang lawatan ini benar-benar membuka mata terhadap keindahan dunia luar. Walaupun perjalanannya agak mencabar, aku bersyukur kerana berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi yang menakjubkan.
Meskipun bukan musim dingin, aku berkesempatan melihat dan merasai salji di Lijiang. Pengalaman menyentuh salji buat kali pertama menghadirkan rasa keterujaan. Barulah aku tahu bagaimana rasanya salji yang sebenar - lembut, dingin, tetapi dalam cuaca yang begitu kering, luka kecil di jari pun terasa perit kerana ia mudah merekah.
Bagi pencinta bunga, Yunnan juga menawarkan panorama yang memukau. Pelbagai jenis bunga yang unik, berwarna-warni dan segar menghiasi taman-taman serta kawasan lapang, menjadikan setiap sudut seperti hamparan lukisan alam. Berpeluang bergambar di tengah lautan bunga-bungaan yang indah memberikan satu kepuasan tersendiri, terutama bagi mereka yang menghargai keindahan alam dan seni ciptaan Tuhan.

(Bentuk Gajah Yang Dibentuk Daripada Flora)
PENUTUP : USIA BUKAN PENGHALANG
Aku bersyukur kerana berpeluang melancong ke luar negara selepas bersara. Pada mulanya, aku menyangka sudah agak terlewat untuk berbuat demikian, namun sangkaan itu meleset apabila aku melihat ada juga pelancong yang hampir mencecah usia 80 tahun masih gigih menjelajah dunia. Ternyata, usia bukanlah penghalang, selagi kita masih mampu melangkah dan menikmati perjalanan. 😊
Jika dipanjangkan usia, aku berhasrat untuk terus melancong ke negara lain - bukan sekadar untuk berseronok, tetapi untuk melihat, memahami dan mempelajari keunikan budaya, alam serta kehidupan masyarakat di tempat lain. Benarlah kata orang, “jauh berjalan, luas pemandangan.”
Kepada rakan-rakan yang sudah bersara, selagi kesihatan masih mengizinkan, ambillah kesempatan untuk melancong - sama ada di dalam mahupun di luar negara. Setiap perjalanan membawa pengalaman dan pengajaran baharu, ia bukan sahaja menambah ilmu, tetapi juga memperkayakan jiwa.
