DARI SUKU KATA KE DUNIA KORPORAT
TERCICIR DALAM DIAM
Bagaimanakah masa depan seorang pelajar yang menamatkan persekolahan tanpa menguasai asas membaca dan menulis?
Persoalan ini sering bermain di fikiran saya setiap kali berhadapan dengan pelajar yang jauh ketinggalan dalam pelajaran. Ada dalam kalangan mereka yang telah melangkah ke sekolah menengah, namun masih bergelut untuk membaca dan menulis dengan baik.
Kita tidak tahu di mana titik permulaannya. Adakah mereka tercicir ketika di sekolah rendah? Adakah mereka kurang mendapat bimbingan yang mencukupi? Atau mungkin kesibukan kerja ibu bapa yang menyebabkan kurangnya perhatian terhadap perkembangan pembelajaran anak-anak?
Guru yang berhadapan dengan pelajar sedemikian, cabarannya bukan sedikit. Pelajar seperti ini memerlukan perhatian secara individu. Dalam keadaan bilangan murid yang ramai, usaha membantu mereka selalunya menjadi satu perjuangan yang sukar.
DAN KAKAK ITU ADALAH SAYA
Sewaktu saya masih berkhidmat sebagai Pengetua, antara perkara yang kerap saya tekankan ialah kepentingan menamatkan persekolahan sekurang-kurangnya sehingga Tingkatan 5.
Atas sebab itu, dalam satu perhimpunan rasmi sekolah, saya pernah berkongsi kisah seorang pelajar yang sangat lemah dalam kemahiran asas membaca dan menulis, namun akhirnya berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke universiti.
Dengan bantuan dan sokongan ahli keluarga, sedikit demi sedikit dia berjaya mengatasi kelemahannya sehingga akhirnya melakar kejayaan yang tidak pernah dibayangkan oleh sesiapa.
Saya masih ingat ketika sampai ke penghujung cerita tersebut. Dengan nada yang tenang, saya berkata,
"Pelajar yang saya maksudkan itu ialah adik saya sendiri. Dan orang yang membantu mengajarnya membaca dan menulis ialah kakaknya. Dan kakak itu adalah saya."
Sebaik sahaja ayat terakhir itu diucapkan, dewan sekolah bergema dengan tepukan yang gemuruh. Mungkin ada yang tersentuh kerana kisah itu benar-benar berlaku dan watak utama dalam cerita tersebut mempunyai hubungan yang begitu rapat dengan saya.
KERANA SAYA PERNAH MELIHATNYA BERLAKU
Transformasi daripada seorang pelajar yang lemah dalam pembelajaran sehingga akhirnya berjaya ke universiti bukanlah suatu keajaiban. Ia berlaku hasil usaha yang berterusan, sokongan yang tidak pernah putus dan yang paling penting, keinginan yang kuat untuk mengubah nasib diri sendiri.
Ketika adik saya berusia sekitar 13 tahun dan sedang menuntut di sekolah menengah, saya pula baru menamatkan pengajian di universiti. Kebetulan pada waktu itu saya masih belum menerima tawaran pekerjaan, lalu mempunyai tempoh cuti yang agak panjang di rumah.
Masa yang terluang itu saya manfaatkan dengan memberi tuisyen kepada adik-adik sendiri serta beberapa orang anak jiran. Pada mulanya, saya sekadar mahu mengisi masa lapang. Namun, tanpa saya sedari, tempoh itulah yang menjadi titik perubahan penting dalam kehidupan adik saya.
Semasa mengajarnya, saya menyedari bahawa masalah yang dihadapinya bukanlah kerana dia tidak bijak. Sebaliknya, dia masih belum menguasai beberapa kemahiran asas.
Pengalaman itulah yang mengajar saya bahawa di sebalik seorang pelajar yang lemah, tersembunyi potensi yang belum diterokai. Kadangkala mereka hanya memerlukan seseorang yang sanggup meluangkan masa, memahami kesukaran mereka dan percaya bahawa mereka juga mampu berjaya.
SATU PENEMUAN YANG MENGUBAH SEGALANYA
Maka pada suatu hari, dengan niat untuk mengetahui sejauh mana prestasi pembelajarannya, saya membuka beg sekolah adik saya dan meneliti buku-buku latihannya. Saya terjumpa beberapa helai kertas peperiksaan yang telah dikembalikan oleh guru masih tersimpan di dalam begnya.
Satu demi satu saya meneliti keputusan yang diperolehnya. Terus terang, hati saya agak tersentuh. Kebanyakan markah yang diperoleh sangat rendah. Ada yang tidak sampai 20 markah, malah ada juga markah satu digit.
Ketika itu, perhatian saya tertumpu kepada satu subjek iaitu Matematik. Markah yang diperolehnya tidak pula serendah subjek-subjek lain. Saya mula membuka helaian demi helaian kertas jawapannya dengan lebih teliti.
Rupa-rupanya adik saya tidak menghadapi masalah besar dalam mengira. Soalan yang melibatkan operasi asas matematik kebanyakannya dapat dijawab dengan betul. Namun, apabila berhadapan dengan soalan berbentuk penyelesaian masalah, jawapannya dibiarkan kosong.
Pada ketika itulah saya menyedari punca sebenar yang menghalangnya daripada maju. Masalahnya bukan kerana dia tidak tahu mengira tetapi dia tidak dapat membaca dan memahami kehendak soalan.
Saat itulah saya mula percaya bahawa adik saya sebenarnya mempunyai potensi. Dia bukan tidak mampu belajar. Dia cuma memerlukan bantuan pada asas yang paling penting terlebih dahulu.
HANYA MAHU DIA BOLEH MEMBACA
Dari situlah bermulanya titik kesedaran saya sebagai seorang kakak bahawa adik saya sebenarnya bukan tidak pandai. Justeru saya mengambil inisiatif untuk menjalankan beberapa ujian mudah bagi mengenal pasti tahap kelemahannya.
Saya bermula dengan meminta dia menyebut huruf-huruf A hingga Z dan menulisnya satu persatu di hadapan saya. Dia dapat melakukannya tanpa masalah. Ini memberi petunjuk bahawa dia sudah mengenal huruf dan mampu menulisnya dengan betul.
Kemudian saya memperkenalkan beberapa suku kata yang mudah dan memintanya membacanya satu persatu. Di sinilah saya mula menemui punca sebenar kelemahannya.
Rupa-rupanya dia sukar membunyikan suku kata dengan sebutan yang betul. Walaupun mengenal huruf, dia tidak dapat menggabungkan huruf-huruf tersebut menjadi bunyi yang betul.
Setelah mengenal pasti masalah itu, saya mula membimbingnya daripada peringkat paling asas. Saya mengajar suku kata yang mudah terlebih dahulu, kemudian mengulangnya berkali-kali sehingga dia dapat mengingatinya.
Ada juga masanya saya hilang sabar apabila dia berulang kali tersalah menyebut suku kata yang sama. Saya masih teringat bagaimana saya meninggikan suara sambil berkata,
"Lihat mulut dan bibir saya. Tengok bagaimana bibir saya bergerak. Begitulah bunyinya."
Apabila dikenang semula, saya tersenyum sendirian. Pada waktu itu saya belum lagi bergelar guru dan tidak mempunyai pengetahuan pedagogi. Apa yang saya ada hanyalah keinginan untuk membantu adik saya keluar daripada masalahnya.
PERCIKAN YANG MENYALAKAN SEMANGAT
Selepas kira-kira empat bulan, saya terpaksa berpindah ke tempat lain kerana menerima tawaran pekerjaan. Sejak itu, saya tidak lagi berpeluang mengikuti perkembangan pembelajarannya dari dekat. Apa yang berlaku selepas itu bergantung sepenuhnya kepada dirinya sendiri.
Sesekali apabila saya pulang bercuti, saya bersyukur melihat perubahan yang berlaku dalam dirinya. Dia tidak lagi mengalami kesukaran besar untuk meneruskan persekolahan sehingga di Tingkatan 5.
Kadangkala, seseorang tidak memerlukan bantuan sepanjang perjalanan hidupnya. Ada masanya kita hanya perlu menjadi pencetus kepada perubahan tersebut. Kita hanya perlu menyalakan percikan kecil. Apabila api keyakinan itu mula menyala, mereka sendiri akan mencari kekuatan untuk terus melangkah.
Segala usaha dan kesungguhannya akhirnya membuahkan hasil. Apabila keputusan SPM diumumkan, dia berjaya memperoleh Gred 2 (kelayakan SPM pada ketika itu). Lebih membanggakan, dia kemudiannya menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Politeknik Ungku Omar, Ipoh dalam bidang Diploma Ukur Tanah.
Bagi saya, itulah kejayaan yang sebenar.
PENUTUP : PERMATA YANG BERJAYA DIGILAP
Sedikit demi sedikit, saya mula melihat sinar dalam masa depannya.
Selepas menamatkan pengajian di politeknik, dia berjaya memperoleh keputusan yang baik. Kejayaan itu membuka peluang kepadanya untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Laluan yang suatu ketika dahulu kelihatan begitu sukar kini semakin jelas di hadapannya. Setelah berjaya menamatkan pengajian sebagai seorang siswazah, dia menerima tawaran pekerjaan di sebuah syarikat pembinaan. Hampir sepuluh tahun berkhidmat di syarikat tersebut, dia akhirnya membuat keputusan berani dengan menubuhkan syarikat pembinaannya sendiri.
Syukur, kehidupannya hari ini jauh lebih baik daripada kakaknya yang sekadar menghabiskan hayat dalam dunia pendidikan. 😄
Rupa-rupanya di saat-saat dia masih terkial-kial menyebut suku kata, tersembunyi sebutir permata yang masih belum digilap. Namun bagaimanakah kehidupannya sekarang jika pada waktu itu tiada sesiapa yang membantunya mengenal huruf, membaca suku kata dan membina keyakinan untuk belajar?
Mungkin soalan itu tidak akan pernah terjawab……..
# Setinggi-tinggi tahniah Datuk Seri Lian, atas pengurniaan Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M.). Seluruh ahli keluarga amat bersyukur atas pengiktirafan yang begitu bermakna. Pencapaian ini pastinya menjadi satu detik yang amat membanggakan buat seluruh keluarga, hasil daripada segala usaha, dedikasi dan sumbangan Datuk Seri selama ini. 💐
