.

Kita Mengajar Bukan Sekadar Dengan Buku, Tapi Dengan Jiwa

October 03, 20256 min read

KERANA SATU MARKAH ITU, AKU BELAJAR MENJADI LEBIH BAIK

Sejak mula menjadi guru, aku tahu, aku tidak mahu menjadi guru yang hanya memuaskan hati pelajar. Atau menjadi guru paling popular, digemari pelajar. Aku mahu menjadi guru yang membina jati diri mereka.

Aku berpegang teguh pada disiplin. Aku tidak mudah memberi markah simpati. Aku percaya setiap kejayaan perlu dibayar dengan usaha, bukan rayuan.

Ada yang kata aku garang, tegas, bahkan kedekut markah. Tapi aku tahu, apabila mereka melangkah keluar dari sekolah, dunia ternyata jauh lebih tegas daripada aku. Dan mereka akan faham bahawa disiplin bukan musuh mereka, tapi bekalan untuk mereka berdiri gagah dalam hidup.

Aku masih ingat ketika aku di Tingkatan Dua, markah Bahasa Melayu hanya kurang satu angka untuk sampai ke gred A. Dengan penuh harapan, aku merayu kepada guru. Namun rayuan itu tidak dilayan.

Waktu itu, aku terasa hati. Tapi rasa itu tidak lama kerana dari kecewa itu lahir tekad. Aku berjanji dalam diam, satu hari nanti, aku akan buktikan bahawa aku mampu.

Dan akhirnya, saat menerima keputusan SPM dan STPM, aku tersenyum. Bahasa Melayu - kertas yang pernah menolakku kini berdiri megah dengan gred A.

Aku sangat berterima kasih kepada guru BM yang tidak menambah satu markah itu. Beliau telah mengajar aku bahawa hidup tidak sentiasa memberi, tetapi menuntut kita untuk berusaha.

Benar, tidak semua pintu dibuka dengan rayuan. Ada yang hanya terbuka apabila kita sendiri menempa kuncinya.

DISIPLIN : WARNA JIWAKU

Perkataan disiplin itu sudah sebati dengan jiwaku. Aku tidak akan memulakan pengajaran selagi kelas belum senyap dan belum bersedia. Aku pantang melihat pelajar tidur sewaktu aku sedang mengajar.

Jika ada yang berbual, aku akan menegur. Jika ada yang menyiapkan latihan subjek lain di dalam kelasku, aku akan tegur juga.

Bagiku, apabila guru sedang mengajar, pelajar perlu memberi sepenuh perhatian. Hanya dengan itu, ilmu dapat disampaikan dan pembelajaran benar-benar berlaku.

Aku juga antara guru yang tidak berkompromi apabila pelajar tidak menyiapkan latihan. Denda? Ya, aku tidak segan menjatuhkan hukuman – kerana aku percaya setiap tanggungjawab yang diabaikan perlu ditegur, bukan dibiarkan.

Walaupun aku menjadi seorang Pengetua, aku tidak menggunakan kedudukan sebagai Pengetua untuk mendidik pelajar di kelas. Di kelas, aku adalah seorang guru. Mengajar seperti guru lain. Tidak ada bezanya.

Tapi aku tidak kisah dengan label yang diberikan - tegas, cerewet, kedekut markah atau keras kepala. Yang penting, aku mahu pelajarku belajar. Aku mahu mereka berjaya.

Biar mereka tidak menyukai aku hari ini kerana ketegasan, asalkan mereka bersyukur esok kerana pernah dididik dengan tegas.

.

(Keputusan Bagi Subjek Yang Diajar Pada Tahun 2013 & 2015)

# lebih kecil GPMP, lebih baik prestasi subjek

APABILA KASIH SAYANG BERWAJAH TEGURAN

Aku percaya, jika niatku untuk mengajar itu betul, maka aku akan mengajar dengan sepenuh jiwa.

Mungkin kerana sifat itulah, aku pernah dilantik menjadi Ketua Guru Disiplin - satu jawatan yang jarang diberikan kepada guru wanita.

Tetapi ketegasan ini sudah sebati dengan diriku. Ia bukan dibuat-buat, bukan dilakonkan. Sama ada sebagai guru, mahupun sebagai Pengetua, aku tetap orang yang sama. 🤣

Pernah satu ketika, aku mengambil tindakan terhadap seorang pelajar lelaki yang sering melanggar peraturan. Walaupun telah diberi amaran, diberi peluang, malah dikenakan tindakan disiplin, dia tetap mengulangi kesalahan yang sama.

Ibunya telah beberapa kali dipanggil ke sekolah. Namun masalah tidak juga selesai. Hingga akhirnya, si ibu pun menyerah kalah. Dia tidak mahu lagi berjumpa dengan pentadbir sekolah. Mungkin kecewa, mungkin sudah putus harapan.

Tetapi bagi aku, tugas mendidik tidak selesai selagi pelajar itu masih datang ke sekolah.

Tegas bukan bererti benci. Kadang-kadang, kasih sayang itu hadir dalam bentuk yang paling tidak digemari.

Sewaktu peperiksaan SPM berlangsung, aku pernah mengingatkan semua pelajar agar tidak meninggalkan kawasan sekolah sekiranya mereka masih mempunyai kertas peperiksaan pada sesi petang.

Kantin sekolah menyediakan makanan dan pelajar dinasihatkan mengulangkaji selepas itu di pusat sumber sekolah.

Pesanku bukan sekadar formaliti . Aku risau jika hujan turun tiba-tiba, mereka mungkin terperangkap di jalan atau tidak sempat kembali ke sekolah tepat pada waktunya.

Aku tahu, musim hujan kadangkala datang tanpa amaran. Sebagai pendidik, resahku bukan pada markah semata-mata, tetapi pada peluang yang mungkin terlepas - hanya kerana mereka tidak berhati-hati.

Malangnya, pelajar ini yang menunggang motosikal sendiri memilih untuk tidak mengendahkan nasihatku. Pagi itu aku sudah menasihati semua calon SPM dengan bersungguh-sungguh, namun petang itu, ramalan yang tidak diucap menjadi nyata. Langit benar-benar mencurah hujan.

Pelajar itu tetap kembali ke sekolah untuk menduduki kertas peperiksaan sesi petang - tetapi dalam keadaan basah. 😭

.

(Disiplin Itu Indah)

DI ANTARA AKU, ANAK ITU DAN DOA IBUNYA

Pada suatu hari, semasa Hari Bertemu Pelanggan, aku terserempak dengan ibu kepada pelajar yang sering bermasalah itu.

Wajahnya kelihatan penat dan sugul. Aku sangka ibu itu mungkin sudah jemu berbicara tentang anaknya denganku. Dengan nada sedih dan penuh kesal, dia datang menghampiriku lalu memohon maaf berkali-kali.

Aku memandangnya dan berkata dengan tenang, “Puan tidak boleh berputus asa. Anak puan masih perlukan bimbingan dan nasihat. Tanggungjawab sebagai ibu tidak pernah tamat.”

Saat itu, dia terus menggenggam tanganku. Lalu berkata, “Saya berdoa agar Tuhan terus memberi kekuatan kepada cikgu untuk terus menegur dan menasihati pelajar-pelajar yang nakal. Terima kasih banyak-banyak cikgu, kerana masih mengambil berat tentang anak saya.”

Kata-kata itu tidak pernah hilang dari ingatan kerana sepanjang perkhidmatan, tidak pernah ada ibu bapa yang mendoakan kekuatan untuk aku. Dalam segala penat menjadi pendidik, itulah antara detik yang menguatkan aku untuk terus bertegas demi kasih.

KESEDARAN ITU HADIAH TERINDAH

Aku tahu aku bukan insan sempurna. Namun dengan kudrat yang ada, aku akan pastikan setiap amanah dilaksanakan sebaik mungkin. Kerana aku percaya, apabila guru memberi yang terbaik, murid juga akan menerima yang terbaik.

Pernah satu ketika, seorang pelajar datang kepadaku. Wajahnya sedih. Dia memohon maaf kerana tidak mencapai sasaran yang telah aku tetapkan untuknya.

Tapi aku hanya tersenyum dan berkata, “Kamu tidak perlu minta maaf, kerana kamu telah pun berusaha.”

Pada aku, nilai kesedaran yang dia miliki jauh lebih berharga daripada sekadar angka dalam peperiksaan.

Kesedaran untuk berubah, untuk berusaha dan untuk memperbaiki diri - itu adalah kemenangan sebenar yang tidak selalu tercatat di atas kertas, tetapi hidup subur dalam jiwa.

REFLEKSI

Sebagai pendidik, kita perlu memastikan amanah dan tanggungjawab sebagai guru dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Tiada yang lebih bermakna selain melihat pelajar kita berjaya.

Kita perlu percaya dan yakin tindakan yang kita ambil untuk membetulkan pelajar yang bersalah itu satu amalan yang mulia. Pelajar akan melakukan yang terbaik jika mereka melihat guru menunjukkan komitmen untuk mengajar bersungguh-sungguh.

Sebagai pendidik, kita memikul amanah yang besar. Setiap langkah kita di hadapan kelas, setiap teguran, setiap hela nafas dalam tugas mengajar - semuanya adalah sebahagian daripada tanggungjawab yang suci.

Biar mereka tidak faham hari ini, tetapi suatu masa nanti mereka akan mengerti - bahawa teguran itu lahir daripada kasih yang tidak mahu mereka tersasar jauh.

Menjadi seorang guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi menyemai nilai, membentuk akhlak dan menegakkan disiplin. Ketegasan bukan lahir daripada marah, tetapi daripada kasih yang mahu melihat pelajar berjaya.

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan.  Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Lian Fee Choo

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan. Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Back to Blog