RESENSI BUKU – EMBRACING IMPERFECTIONS
TAJUK BUKU: EMBRACING IMPERFECTIONS - Women’s Stories of Triumph
PENULIS: LIAN WAI BEE
TAHUN PENERBITAN: 2024
PENGENALAN
Buku ini ditulis dengan niat untuk menyuntik semangat dan menyalakan inspirasi dalam diri pembaca. Ia menghimpunkan kisah empat orang wanita yang gigih mengharungi liku kehidupan — menempuh kepahitan, cabaran yang menguji ketabahan serta saat-saat yang hampir mematahkan harapan. Namun, daripada setiap kejatuhan, mereka bangkit kembali dengan lebih kuat, memperlihatkan bahawa ketidaksempurnaan bukanlah kelemahan, tetapi kekuatan yang membentuk ketahanan diri.
Dalam “Embracing Imperfections”, penulisnya Lian Wai Bee membawa pembaca menyelami perjalanan berani para wanita yang telah menghadapi pelbagai cabaran berat dengan ketabahan dan tekad yang luar biasa. Menerusi kisah benar yang menyentuh hati, tersingkap pengalaman kegagalan peribadi dan krisis kesihatan mental yang sering kali merencatkan suara serta kekuatan wanita.
ISI KANDUNGAN BUKU
Daripada kisah seorang ibu yang mempunyai anak (neurodivergent) yang berusaha menangkis pelbagai salah tanggapan sehinggalah kepada seorang anak perempuan yang terabai mencari jalan keluar daripada kemurungan, setiap naratif dalam buku ini menampilkan pelbagai dimensi cabaran yang dihadapi wanita.
Bab-bab dalam buku ini membincangkan bagaimana mengatasi sindrom penipu (imposter syndrome), membina belas kasihan terhadap diri sendiri serta mengemudi fasa peralihan hidup dengan penuh keyakinan. Di sepanjang perjalanan ini, buku ini menekankan kepentingan menetapkan sempadan diri, menerima ketidaksempurnaan dan memupuk penghargaan terhadap tubuh badan untuk wanita dari semua peringkat usia.
“Embracing Imperfections” merupakan sebuah seruan yang kuat terhadap kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman. Ia menguatkan wanita untuk mengetengahkan suara mereka, tampil dengan keaslian diri dan membina rangkaian sokongan yang bermakna.
Melalui panduan praktikal dan penceritaan yang menyentuh hati, penulis ini menyerlahkan perjalanan menuju penerokaan diri, pemerkasaan serta usaha mencabar norma budaya Asia yang sering mengutamakan anak lelaki berbanding anak perempuan.
Buku ini memastikan setiap kisah wanita didengar dan diraikan, sekali gus memecahkan keheningan dan membuka jalan ke arah dunia yang lebih inklusif serta kesaksamaan gender.
RINGKASAN CERITA
Joyce Moi — Walaupun dilanda kesedihan, beliau meneruskan legasi arwah anaknya, Janet Lee, seorang pelukis yang menghidap epilepsi serta akhirnya meninggal dunia akibat kanser.
Suanne Lai — Mengatasi trauma zaman kanak-kanak dan episod kemurungan, beliau kembali membina keyakinan diri dan memulakan semula kerjaya selepas sedekad bergelar ibu sepenuh masa.
Chen Wai Ling — Mengalami kecederaan tulang belakang yang serius ketika menjaga ibunya yang menjalani rawatan kanser payudara. Mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan, beliau bersama rakan-rakan menubuhkan Impact Zone FitClub bagi membantu orang lain memulihkan kesihatan mereka.
Lolitta Suffian — Pernah terkurung dalam peranan sebagai isteri tradisional, beliau bangkit selepas penceraian dan membina semula kehidupan bersama anak lelakinya, dengan sokongan suami baharu yang membantunya melalui proses pemulihan emosi.
PENILAIAN
Kisah empat wanita hebat ini membuka mata pembaca bahawa hampir setiap daripada kita berdepan pelbagai bentuk cabaran dan kesukaran hidup. Namun, yang membezakan ialah pilihan — sama ada kita membiarkan masalah menguasai diri atau memilih untuk bangkit dan mencari jalan keluar. Keempat-empat wanita ini memilih untuk tidak tenggelam dalam kesedihan, sebaliknya mereka berusaha memulihkan semangat, menguatkan jiwa dan membina kehidupan baharu yang lebih bermakna.
Banyak pengajaran dapat dipetik daripada kisah-kisah benar ini. Ia membuktikan bahawa manusia tidak seharusnya terkurung dalam masalah hidup semata-mata. Dengan jiwa yang kental, keberanian dan semangat untuk tidak menyerah kalah, kita mampu bangkit semula serta membentuk kehidupan yang lebih bahagia dan seimbang.
KESIMPULAN
“Embracing Imperfections” merupakan sebuah karya yang menyentuh hati dan memberi inspirasi melalui himpunan kisah empat wanita yang bangkit daripada dugaan hidup yang berat. Setiap naratif bukan sahaja memperlihatkan kekuatan dalaman dan ketabahan mereka, tetapi juga mengajak pembaca memahami bahawa kesempurnaan bukan syarat untuk bahagia. Sebaliknya, penerimaan terhadap diri sendiri serta keberanian menghadapi kelemahan adalah langkah penting menuju penyembuhan dan pemerkasaan.
Melalui penceritaan yang jujur, padat dengan nilai dan diperkukuh oleh pengalaman hidup sebenar, buku ini menegaskan bahawa cabaran bukan pengakhiran, tetapi peluang untuk berkembang. Ia menyeru kepada keterangkuman, kesaksamaan gender dan penghargaan terhadap suara wanita, sambil mencabar norma budaya yang sering meminggirkan mereka.
Secara keseluruhan, buku ini bukan sekadar rakaman kisah perjuangan, tetapi juga dorongan yang kuat agar pembaca menghargai perjalanan hidup sendiri, membina semula keyakinan dan meraih kekuatan dalam ketidaksempurnaan. Sebuah bacaan yang wajar dihayati oleh sesiapa sahaja yang mencari inspirasi, keberanian dan harapan.
