GURU OH GURU... PENGETUA PUN ADA CERITANYA
KERENAH GURU YANG HANYA PENGETUA FAHAM
Guru Oh Guru…
Percaya atau tidak, apabila bercakap tentang perangai, sikap, cara bekerja dan pelbagai kerenah guru, sudah tentu setiap pentadbir sekolah mengimpikan guru yang baik, rajin dan komited terhadap tugas. Dalam dunia seorang pengetua, pasti akan ada guru yang sangat berdedikasi, namun ada juga yang kurang memberi komitmen.
Menjadi pentadbir sekolah sebenarnya indah…..kalau semua guru hadir dengan semangat kerja yang tinggi. Justeru bonus paling besar bagi seorang pentadbir bukan pada pangkat atau jawatan, tetapi pada guru-guru yang sanggup bekerja tanpa disuruh atau dipaksa. 😂
Walaupun pada kebiasaannya majoriti guru bersikap profesional, tetapi tidak dapat dielakkan juga wujud seorang dua atau tiga yang sering menimbulkan pelbagai masalah. Ada sahaja perkara yang tidak kena sehingga kadangkala membuatkan kita tertanya-tanya, bagaimana profesion keguruan boleh menjadi pilihan mereka. 😂
ANTARA KOMITMEN DAN HELAH
“Cikgu Alice, tahun depan cikgu akan dilantik sebagai Ketua Pusat Sumber,” kata Pengetua kepada Cikgu Alice.
“Puan Pengetua, saya bercadang memohon pertukaran ke daerah lain tahun depan, jadi rasanya saya kurang sesuai memegang jawatan Ketua Pusat Sumber,” jawab Cikgu Alice.
Namun tahun berganti tahun. Kini sudah lapan tahun berlalu, namun Cikgu Alice masih kekal di sekolah yang sama dan tidak pernah memohon pertukaran seperti yang dikatakannya dahulu.
Mungkin itu hanyalah strategi halus untuk mengelakkan tugasan yang dianggap berat. Namun, kata-kata tersebut secara tidak langsung memperlihatkan kurangnya keikhlasan dalam menerima amanah. Malah, peluang yang diberi sebenarnya mampu menjadi ruang untuk menimba pengalaman baharu, membina kepimpinan dan memperluaskan horizon kerjayanya sendiri.
PENAT PENGETUA MENDENGAR ALASAN
“Cikgu Zack, minggu depan cikgu terlibat dengan kursus selama lima hari di Kota Kinabalu,” kata Pengetua kepada Cikgu Zack.
“Puan Pengetua, saya banyak ketinggalan silibus dengan pelajar. Saya sudah merancang untuk mengadakan kelas tambahan bersama mereka. Bolehkah cikgu lain menggantikan tempat saya?” jawab Cikgu Zack.
Jawapan seperti itu bukanlah sesuatu yang asing didengar apabila ada guru yang kurang berminat atau cuba mencari alasan untuk tidak menghadiri kursus, sedangkan kursus tersebut bertujuan meningkatkan profesionalisme keguruan.
Lebih menarik apabila mereka turut mencadangkan supaya digantikan dengan guru lain. Persoalannya, siapa pula guru yang mahu dijadikan “mangsa” untuk menggantikan tempat tersebut?
Kadangkala ada guru yang terlupa bahawa panggilan kursus bukan sekadar cadangan pihak sekolah, sebaliknya dicalonkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah atau Jabatan Pendidikan Negeri. Mencari pengganti sesuka hati adakalanya tidak menepati kriteria calon yang benar-benar dikehendaki.
Hakikatnya, kursus bukan sekadar memenuhi arahan, tetapi ruang untuk menambah ilmu, memperluaskan jaringan profesional dan memperkasa diri sebagai pendidik.
TINGGAL DUA TAHUN, BUKANNYA DUA BULAN
“Cikgu Nora, dalam Program Perkhemahan Perdana nanti, cikgu akan dilantik sebagai Penyelaras Program. Cikgu buat yang terbaik ya,” ujar Pengetua kepada Cikgu Nora.
“Puan Pengetua, saya akan bersara tidak lama lagi. Lebih baik tugas ini diberikan kepada guru-guru muda supaya mereka dapat menimba pengalaman baharu,” jawab Cikgu Nora.
Dalam hati Pengetua, Cikgu Nora bukannya akan bersara dalam masa terdekat. Masih berbaki dua tahun lagi tempoh perkhidmatannya. Entah mengapa alasan “mahu bersara” sering digunakan untuk menolak amanah dan tanggungjawab.
Sedangkan, bagi sesetengah orang, semakin hampir ke penghujung kerjaya, semakin kuat semangat mereka untuk terus menyumbang dan meninggalkan legasi terbaik sebelum melangkah pergi.
Namun realitinya, ada yang memilih untuk mula “mengundurkan diri” lebih awal daripada tugas dan komitmen. Apa sahaja amanah yang diberikan, semuanya ditolak dengan alasan persaraan yang kononnya sudah terlalu hampir.
PRESTASI GURU MENJADI BAHAN BUALAN
“Tuan Razak, saya dengar Cikgu Lim akan ditukarkan ke sekolah saya bulan depan,” tanya saya kepada rakan sepengetua dari sekolah lain.
“Ya, begitulah yang saya dimaklumkan,” jawab Tuan Razak.
“Boleh saya tahu bagaimana orangnya Cikgu Lim?” saya bertanya lagi untuk mengetahui lebih lanjut tentang guru tersebut.
“Tak tahulah macam mana mahu cakap….lebih itu tidak ada, kurang itu banyak,” jawab Tuan Razak secara berseloroh. 😂
Begitulah kebiasaannya reaksi sesetengah pentadbir sekolah apabila dimaklumkan tentang kemasukan guru dari sekolah lain. Prestasi kerja seseorang guru akhirnya bukan lagi menjadi rahsia, malah kadangkala bertukar menjadi bahan cerita yang bernada negatif.
Yang lebih menyedihkan apabila guru yang ingin ditukarkan itu enggan diterima oleh pengetua-pengetua sekolah lain. Akhirnya, namanya “ditolak” dari satu sekolah ke satu sekolah yang lain seperti bola yang tidak mahu disambut sesiapa.
Mungkin guru tersebut tidak mengetahui perkara yang berlaku di belakang tabir, namun hakikatnya keadaan itu cukup memalukan dan secara tidak langsung menggambarkan persepsi negatif terhadap prestasi serta sikap kerjanya sendiri.
Lebih sukar apabila pertukaran itu dilihat sebagai jalan untuk “menyelesaikan masalah” yakni memindahkan guru tersebut ke sekolah lain dengan harapan dia dapat berubah dan memperbaiki diri di tempat baharu.
Mudah bagi pengetua yang berjaya “melepaskan”, tetapi tidak semudah itu bagi pengetua yang bakal menerima. Namun begitu, sebagai pentadbir sekolah, hati perlu sentiasa terbuka dan harapan positif tetap perlu diberikan agar guru tersebut mampu berubah menjadi lebih baik di bawah kepimpinan baharu.
Kadangkala seseorang bukannya gagal kerana tidak mampu, tetapi kerana belum bertemu suasana dan kepimpinan yang sesuai untuk menyerlahkan potensinya.
APABILA GURU MENJADI ASET SEKOLAH
Namun, tidak semua guru bersikap sedemikian. Hakikatnya, dalam dunia pendidikan masih ramai guru yang sanggup memikul apa sahaja amanah dan jawatan yang diberikan, asalkan sesuai dengan kebolehan, kemampuan dan minat mereka.
Sesungguhnya jatuh bangun sesebuah sekolah bukan semata-mata terletak di bahu pihak kepimpinan, tetapi turut bergantung kepada semangat, kesungguhan dan komitmen warga pendidiknya. Guru yang komited terhadap tugas, mengajar dengan penuh dedikasi serta melaksanakan amanah dengan cemerlang sebenarnya banyak berjasa dalam membentuk masa depan anak-anak murid.
Malah, nama guru seperti inilah yang sering disebut-sebut sebagai guru cemerlang dan menjadi kebanggaan sekolah. Jika guru tersebut hendak dipindahkan sekalipun, lazimnya pihak pentadbir akan cuba mempertahankannya, kecuali atas kehendak guru itu sendiri.
REFLEKSI
Dunia pendidikan sebenarnya tidak pernah sunyi daripada pelbagai ragam manusia. Di sebalik gelaran guru yang mulia, terselit pelbagai sikap, cara bekerja dan tahap komitmen yang berbeza-beza. Ada guru yang sentiasa bersedia memikul amanah, sanggup berkorban masa dan tenaga demi sekolah serta murid-muridnya. Namun, tidak kurang juga yang gemar mencari alasan, menolak tanggungjawab dan melihat setiap tugasan sebagai bebanan.
Hakikatnya, menjadi pentadbir sekolah bukan sekadar mengurus sistem, program atau pencapaian akademik, tetapi mengurus manusia dengan pelbagai kerenah dan emosi. Kadangkala seorang pengetua terpaksa menjadi pendengar, pemujuk, perancang malah “penyelesai masalah” kepada sikap segelintir guru yang kurang komited terhadap tugas.
Walau bagaimanapun, pengalaman mengurus pelbagai jenis guru sebenarnya membuka mata bahawa sesebuah sekolah tidak akan mampu berdiri megah hanya dengan kepimpinan semata-mata. Kejayaan sekolah lahir daripada kerjasama dan keikhlasan seluruh warganya. Guru yang komited bukan sahaja membantu mengangkat nama sekolah, malah meninggalkan kesan besar dalam kehidupan anak-anak murid.
Lebih membanggakan, guru-guru seperti inilah yang sentiasa dihargai, disebut-sebut dan dipertahankan oleh pihak pentadbir. Kehadiran mereka menjadi kekuatan kepada sekolah, manakala pemergian mereka satu kehilangan besar. Dalam dunia pendidikan, mungkin tidak semua guru mampu menjadi luar biasa, tetapi sekurang-kurangnya jadilah guru yang boleh diharapkan ketika amanah diberikan.
Nota: Semua watak yang dinyatakan dalam kisah di atas hanyalah rekaan semata-mata dan tidak merujuk kepada mana-mana individu sebenar, sama ada yang masih berkhidmat atau yang telah bersara. Jika terdapat persamaan nama atau situasi, ia hanyalah kebetulan dan tidak disengajakan. Penulisan ini bertujuan sebagai perkongsian refleksi umum tentang pengalaman dalam dunia pendidikan tanpa niat untuk menyinggung mana-mana pihak.
