.

GURU SIHAT, MURID HEBAT

August 13, 20266 min read

ANTARA SAKIT DAN PENANTIAN

Dalam sebuah majlis perkongsian ilmu mengenai penyakit kanser, seorang doktor pakar mengajukan satu soalan kepada para hadirin. “Siapa di sini yang mempunyai ahli keluarga, saudara-mara, rakan sekerja, sahabat atau sesiapa sahaja yang dikenali menghidap kanser? Jika ada, sila duduk.”

Satu demi satu hadirin duduk sebagai tanda mengiyakan soalan tersebut. Lebih kurang 60 orang hadirin yang hadir, akhirnya, tinggal seorang dua yang masih berdiri. Jelas bahawa setiap individu yang hadir mempunyai sekurang-kurangnya seorang kenalan yang pernah menghidap kanser.

Realitinya pada masa kini, sama ada di hospital kerajaan mahupun hospital swasta, kedua-duanya dipenuhi pesakit. Malah, tempoh menunggu yang panjang di hospital swasta turut menjadi petunjuk bahawa jumlah pesakit semakin meningkat. Seorang rakan pernah berkongsi pengalamannya menunggu lebih daripada empat jam di Unit Gastroenterologi sebelum dapat berjumpa doktor pakar swasta.

Keadaan di hospital kerajaan pula lebih mencabar — selagi penyakit tidak dianggap serius, pesakit terpaksa menunggu tanpa tarikh yang pasti. Justeru kesabaran yang tinggi amat diperlukan apabila berhadapan dengan tempoh menunggu yang begitu lama. Lebih-lebih lagi dalam keadaan tubuh yang lemah, fikiran yang terganggu dan emosi yang tidak stabil, menunggu menjadi satu beban yang amat memenatkan. Tidak hairanlah ada yang memilih untuk pulang ke rumah dengan harapan kesakitan itu akan reda dengan sendirinya.

NIKMAT SIHAT YANG SERING DIPANDANG RINGAN

Ungkapan bahawa kesihatan ialah harta paling berharga bukan sekadar kata-kata indah, tetapi satu hakikat yang sering kita sedari hanya apabila ia mula terjejas. Selagi tubuh masih sihat, kita cenderung mengambil mudah rutin harian — makan tanpa kawalan, kurang bersenam, tidur lewat dan membiarkan tekanan emosi berlarutan.

Hakikatnya, kesihatan bukan sesuatu yang kekal tanpa usaha. Ia perlu dipelihara secara sedar dan konsisten. Apabila kesihatan mula merosot, barulah kita sedar bahawa wang ringgit, pangkat atau kemewahan tidak mampu membeli kembali tubuh yang sihat sepenuhnya. Rawatan mungkin dapat membantu, tetapi ia jarang dapat mengembalikan keadaan seperti sedia kala.

Memberi keutamaan kepada kesihatan bermaksud kita menghargai peluang hidup yang masih ada. Ia termasuk menjaga pemakanan, mendapatkan rehat yang cukup, melakukan aktiviti fizikal, mengawal tekanan serta menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala. Langkah-langkah ini mungkin kelihatan kecil, namun kesannya besar dalam jangka panjang.

Kesihatan yang baik juga membolehkan kita hidup berdikari. Kita dapat mengurus diri sendiri, bekerja dengan produktif, menyumbang kepada keluarga dan masyarakat, serta tidak membebankan orang lain dengan keuzuran yang boleh dielakkan. Dalam erti kata lain, menjaga kesihatan bukan sahaja tanggungjawab terhadap diri sendiri, tetapi juga satu bentuk tanggungjawab sosial terhadap orang di sekeliling kita.

TENAGA GURU, NADI PEMBELAJARAN MURID

Dalam bidang pendidikan, kesihatan seorang guru memainkan peranan yang amat penting kerana tugas mengajar menuntut tenaga fizikal dan mental yang tinggi. Guru perlu sentiasa bergerak dari satu blok ke blok yang lain, mengurus kelas, memantau murid serta melaksanakan pelbagai tanggungjawab harian sebagai pendidik. Tanpa kesihatan yang baik, banyak tugas akan tergendala dan proses pengajaran tidak dapat dilaksanakan seperti biasa.

Berbeza dengan pekerjaan di pejabat yang membolehkan seseorang duduk dan melakukan tugasan ringan ketika kurang sihat, seorang guru tidak mempunyai ruang tersebut. Mereka perlu berjalan dari satu bangunan ke bangunan lain, naik turun tangga, berdiri lama di dalam kelas dan mengajar dengan penuh perhatian. Semua ini memerlukan tahap kecergasan dan daya tahan fizikal yang tinggi.

KESAN DOMINO KETIADAAN GURU DI SEKOLAH

Apabila guru tidak hadir, pelajaran yang dirancang mungkin tergendala. Murid terpaksa menunggu guru ganti atau mungkin tidak ada sesi pengajaran dan pembelajaran, menyebabkan mereka ketinggalan dalam memahami topik tertentu.

Pembelajaran konsisten dan berstruktur yang terganggu, menjadikan murid sukar mencapai objektif pembelajaran. Kurangnya kesinambungan pengajaran dan bimbingan yang stabil boleh menyebabkan prestasi menurun dan sasaran pembelajaran tidak tercapai.

Ketiadaan guru juga membuka peluang kepada murid untuk leka atau kurang fokus. Tanpa pengawasan yang konsisten, disiplin di dalam kelas mudah tergugat dan murid mungkin mengambil ringan terhadap tanggungjawab mereka. Keadaan ini memberi impak negatif terhadap pembentukan tabiat belajar yang baik.

Kadangkala ketiadaan guru di dalam kelas akibat cuti sakit menyebabkan rakan setugas terpaksa memikul beban tambahan dengan mengambil alih kelas tersebut. Jika berlaku sekali-sekala, keadaan ini mungkin tidak menjadi masalah. Namun, apabila ia berlarutan dalam situasi kekurangan guru, keadaan ini boleh menimbulkan kesukaran besar kepada pihak sekolah.

GURU SIHAT MENTAL, MURID SIHAT PEMBELAJARAN

Kesihatan mental juga sama pentingnya dengan kesihatan fizikal. Amat menyedihkan apabila kita melihat seorang guru berada dalam keadaan mental yang tidak stabil. Keadaan ini boleh menjejaskan keupayaannya untuk mengajar dengan berkesan, malah ada kalanya tingkah lakunya menjadi bahan gurauan pelajar.

Seluruh warga sekolah juga akan berasa tertekan sekiranya terdapat staf yang mengalami gangguan mental yang tidak ditangani dengan baik. Bayangkan seorang guru yang tidak stabil emosinya — dia mungkin tidak menyedari kesan datang lewat ke sekolah, tidak sedar bahawa isi pengajarannya menyimpang atau bertindak di luar kawalan sehingga boleh membahayakan dirinya dan orang lain. Keadaan ini memberi implikasi besar terhadap keselamatan, reputasi sekolah dan kesejahteraan murid.

Oleh itu, kesihatan mental tidak boleh dipandang ringan. Sokongan, pemantauan dan intervensi awal amat penting bagi memastikan guru sentiasa berada dalam keadaan emosi dan psikologi yang stabil demi kebaikan bersama.

CERIA DI ALAM PERSARAAN BERMULA DARI KEHIDUPAN MUDA

Namun, tidak kurang juga guru yang jarang mengambil cuti sakit kerana kesihatan mereka baik sepanjang tahun — satu nikmat yang patut disyukuri. Malah, ada guru yang mempunyai rekod cuti sakit yang sangat rendah walaupun telah berkhidmat lebih daripada 20 tahun.

Apabila usia mula menghampiri persaraan, kesihatan menjadi lebih penting. Inilah masanya untuk menikmati kebebasan hidup, melaksanakan hasrat yang tertangguh selama bertahun-tahun. Namun, jika kesihatan tidak mengizinkan, banyak impian terpaksa ditangguhkan. Perlu diingat bahawa alam persaraan bukanlah untuk berehat sepenuhnya, kerana terlalu banyak berehat boleh menyebabkan tubuh mudah diserang pelbagai penyakit.

Oleh itu, untuk memastikan kehidupan ceria di alam persaraan, penjagaan kesihatan perlu bermula dari usia muda, seawal 30-an. Amalan gaya hidup sihat ketika muda biasanya menjamin usia tua yang lebih sihat dan bermakna.

Selain itu, sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki juga merupakan aspek penting yang memberi ketenangan. Walaupun menghadapi tekanan kerja, kita mampu mengawal diri dan mengurangkan gangguan dengan mengekalkan rutin harian di sekolah dan di rumah. Sentiasa mendoakan yang baik dan percaya bahawa setiap usaha yang dilakukan dengan niat betul pasti akan membawa keberkatan dan pahala.

REFLEKSI

Kesihatan, baik fizikal mahupun mental, merupakan harta paling berharga bagi seorang guru. Tanpa kesihatan yang baik, tugas mengajar akan terganggu, murid ketinggalan dan rakan sekerja turut menanggung beban tambahan. Dalam profesion keguruan yang memerlukan mobiliti tinggi, ketahanan tubuh dan kestabilan mental adalah kunci agar proses pembelajaran berjalan lancar dan suasana sekolah harmoni.

Amalan pemakanan sihat, gaya hidup aktif, pemeriksaan kesihatan berkala, serta menjaga kestabilan emosi adalah langkah penting untuk mencegah penyakit dan tekanan yang boleh menjejaskan kualiti hidup. Kesedaran awal terhadap tanda-tanda penyakit dan intervensi segera dapat mengelakkan keadaan menjadi lebih serius.

Kesihatan yang dijaga sejak usia muda menjanjikan kehidupan persaraan yang ceria dan bermakna. Dengan tubuh dan minda yang sihat, guru dapat menikmati hari tua dan melaksanakan impian yang tertangguh. Selain itu, rasa syukur, amalan doa dan sikap positif menjadi pemangkin kepada kesejahteraan fizikal, mental dan rohani, sekali gus membolehkan kita menjalani kehidupan yang lebih seimbang dan bermakna.

Lian Fee Choo

Lian Fee Choo

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan. Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Back to Blog