.

CIKGU SEPANJANG HAYAT

May 13, 20266 min read

GURU - DAHULU, KINI DAN SELAMANYA

Jika seorang calon menghadiri temu duga perguruan, soalan yang hampir pasti ditanya ialah, “Mengapakah anda berminat untuk menjadi seorang guru?” Sudah tentu calon akan bersedia dengan pelbagai jawapan yang meyakinkan. Aku sendiri tidak ingat sama ada soalan ini pernah diajukan kepadaku ketika menghadiri temu duga kursus perguruan (DPLI). Jika pernah ditanya sekalipun, aku sudah lupa jawapan yang aku berikan. 😄

Anehnya, aku memulakan dan mengakhiri perjalanan kerjayaku dalam satu bidang yang sama, iaitu bidang pendidikan. Kesetiaanku terhadap profesion ini sangat tinggi.😄 Kata orang, “tidak kenal maka tidak cinta” — begitulah aku memulakan kerjaya ini dan akhirnya jatuh cinta dengannya.

Walaupun pada satu ketika aku tidak lagi menjadi guru sepenuh masa kerana memegang jawatan kepimpinan di sekolah, semangat dan kecintaanku terhadap dunia mendidik anak-anak tetap menebal. Aku amat seronok dan suka mengajar kelas peperiksaan Tingkatan 5. Sedikit pun ia tidak mengganggu tugas pentadbiranku kerana pengurusan masa sentiasa aku utamakan.

Sehinggalah aku berpindah ke Pejabat Pendidikan Daerah sebagai Pegawai SIP+, aku amat merindui laungan dari jauh, “Selamat pagi, cikgu!”. Sesekali, aku mengambil peluang untuk ke sekolah dan menawarkan diri menyampaikan ceramah motivasi kepada pelajar. Aku sedar aku tidak lagi ditugaskan mengajar di kelas, namun dengan cara itu, aku tetap dapat bersama pelajar walaupun hanya untuk beberapa jam.

Program Peringkat Daerah Yang Meninggalkan Kenangan Paling Manis

BIBIT AWAL SEORANG PENDIDIK

Bagaimanakah seseorang calon dipilih melalui proses temu duga? Oleh sebab terdapat pelbagai laluan yang membolehkan seseorang memasuki bidang perguruan, adalah sukar untuk memuktamadkan syarat-syarat yang benar-benar melayakkan seseorang. Namun begitu, antara faktor yang sering dipertimbangkan ialah kelayakan akademik, bakat serta potensi dalam bidang bukan akademik, tahap kesihatan fizikal, kestabilan emosi, kejelasan suara, kemahiran berkomunikasi dan pelbagai aspek lain.

Sepanjang bertugas sebagai pentadbir sekolah, aku mungkin telah menerima ratusan guru baharu. Boleh dikatakan, kebanyakan yang melapor diri pada hari pertama hadir dengan penampilan dan tutur kata yang sangat menepati ciri-ciri seorang guru. Walaupun kita tidak dapat menjangka sama ada ciri-ciri ini akan kekal sepanjang kerjaya mereka, suasana persekitaran sekolah dan pengaruh rakan sekerja sedikit sebanyak mampu membentuk keperibadian seseorang guru, sama ada dalam jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang.

ANTARA KELAYAKAN DAN KEUPAYAAN SEBENAR

Aku pernah mempunyai seorang guru yang mempunyai kekangan pertuturan sejak lahir. Sejujurnya, aku tertanya-tanya bagaimana guru ini dapat melepasi syarat untuk menjadi seorang guru. Keadaan tersebut bukan sahaja menyukarkan dirinya, malah proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas juga tidak dapat berlangsung dengan sepenuhnya kerana pelajar sukar memahami butir bicaranya. Malah, aku sendiri kadangkala menghadapi kesukaran untuk memahami percakapannya.

Pernah juga aku menerima seorang guru yang pada awalnya kelihatan normal. Namun, selepas beberapa minggu, terdapat perubahan ketara pada penampilan, tingkah laku dan cara pengajarannya di kelas. Apabila aku cuba menasihatinya, dia meninggikan suara dan mengeluarkan kata-kata yang tidak rasional serta sukar difahami.

Tidak lama kemudian, guru tersebut menunjukkan tingkah laku yang semakin agresif dan sering mengeluarkan kata-kata berunsur ancaman terhadap guru-guru lain. Akhirnya, atas permintaan ibu bapanya, guru tersebut dipindahkan kembali ke negeri asal untuk mendapatkan perhatian dan sokongan yang sewajarnya.

PENGALAMAN MURID, CERMINAN SEORANG GURU

Jika disorot kembali ketika kita sendiri berada di bangku sekolah, sudah tentu kita dapat melihat dan menilai pelbagai ragam guru yang pernah mengajar kita. Ada antara mereka yang secara langsung mempengaruhi minat dan kecenderungan kita terhadap sesuatu subjek.

Aku pernah mempunyai seorang guru yang agak tegas dalam menjalankan tugasnya. Guru tersebut memastikan setiap pelajar telah membuat persediaan awal terhadap topik pembelajaran pada hari berkenaan. Apabila beliau masuk ke kelas, tugasnya hanyalah menyoal tentang topik yang telah ditugaskan sebelum ini. Seorang demi seorang akan disoal tanpa henti. Pelajar yang dapat menjawab dibenarkan duduk, manakala yang tidak dapat menjawab perlu terus berdiri, malah ada yang didenda berdiri di atas kerusi. Di akhir waktu, guru tersebut hanya membuat rumusan terhadap pembelajaran hari itu.

Walaupun kaedah pengajarannya berbeza daripada guru-guru lain pada ketika itu, hakikatnya apabila keputusan SPM diumumkan, ramai pelajar memperoleh keputusan cemerlang bagi subjek tersebut. Jelaslah bahawa pendekatan yang digunakan sesuai kerana beliau menekankan akauntabiliti pelajar terhadap pembelajaran sendiri.

Aku juga pernah mempunyai seorang guru yang sekadar membuka buku teks dan meminta pelajar menggaris ayat-ayat tertentu. Begitulah kaedah PdP yang dilakukan setiap kali beliau masuk ke kelas. Namun, ketika di Tingkatan 5, subjek tersebut diajar oleh guru lain. Walaupun kaedah pengajaran guru ini hanya melibatkan penyalinan nota dan penerangan ringkas, kami tetap memperoleh keputusan cemerlang kerana guru tersebut menekankan isi penting serta teknik menjawab yang betul.

SEBUAH GELARAN, SEBUAH PENGHORMATAN

Benar kata orang, apabila kita pernah menjadi seorang guru, kita akan tetap dipanggil “cikgu” walaupun tidak lagi mengajar atau telah meninggalkan alam pendidikan. Panggilan “cikgu” mungkin kedengaran biasa ketika kita masih berkhidmat, namun apabila kita bukan lagi seorang guru, panggilan itu terasa begitu indah, seolah-olah diri kita masih dihargai oleh masyarakat.

Walaupun aku telah bersara, mereka yang mengenaliku masih memanggil aku “cikgu”. Malah, ketika dalam satu lawatan ke luar negara, rakan-rakan yang baru mengenaliku tidak teragak-agak memanggil aku “cikgu” atau “laoshi” apabila mengetahui bahawa aku ialah seorang bekas guru. Begitu besarnya makna panggilan “cikgu” kepada seseorang yang pernah bergelar pendidik.

Menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021

AURA SEORANG PENDIDIK

Adakah seorang guru mempunyai rupa atau keperibadian tertentu sehingga orang lain dapat meneka kerjayanya? Aku percaya perkara ini memang berlaku kerana aku sendiri telah mengalaminya beberapa kali dan tekaan orang luar tentang kerjayaku ternyata tepat.

Suatu ketika, sewaktu aku membeli barang kemas di sebuah kedai emas, peniaga tersebut memerhati cara percakapanku dan bahasa badanku, lalu bertanya, “Kamu cikgu, kan?” Aku agak terkejut kerana kami langsung tidak saling mengenali. Apabila aku bertanya bagaimana dia dapat memastikan aku seorang guru, jawabnya ringkas, “Saya boleh nampak daripada gaya kamu.” Begitu mudah sekali. 😄

Pernah juga aku ke kedai cermin mata untuk menukar cermin mata baharu. Selepas pemeriksaan mata dan memilih bingkai, peniaga tersebut terus bertanya, “Kamu cikgu, ya?” Sekali lagi aku terkejut dengan pertanyaan itu.

Begitu juga ketika aku berkenalan dengan rakan-rakan baharu semasa melancong. Dalam perbualan santai, timbul soalan tentang pekerjaan. Aku menjawab bahawa aku telah bersara dan tidak lagi bekerja. Namun, salah seorang daripada mereka terus bertanya, “Dulu kamu cikgu, ya?” Apabila aku bertanya bagaimana dia dapat meneka, jawapannya tetap sama, “Boleh nampak daripada gaya kamu.” 😄

Aduh, seolah-olah sudah ada cop kerjaya di dahi! 😄 Pernahkah anda mengalami situasi seperti ini?

REFLEKSI

Keseluruhan kisah ini memperlihatkan bahawa menjadi guru bukan sekadar satu pekerjaan, tetapi satu jiwa yang meresap dalam diri sehingga sukar dipisahkan walau apa jua jawatan yang disandang atau walaupun setelah bersara. Cinta terhadap profesion keguruan tidak bermula dengan jawapan hebat semasa temu duga, tetapi tumbuh perlahan-lahan melalui pengalaman, tanggungjawab dan hubungan dengan murid.

Lebih menarik, gelaran “cikgu” ternyata bukan sekadar panggilan semasa berkhidmat. Ia menjadi satu penghormatan sosial yang melekat sepanjang hayat. Malah, keperibadian seorang guru begitu terserlah sehingga orang luar dapat meneka kerjayanya hanya melalui cara bercakap, bahasa badan dan pembawaan diri.

Jelaslah, guru bukan dilihat pada jawatan, tempat bertugas atau tempoh perkhidmatan, tetapi pada nilai diri, cara berfikir, cara berkomunikasi dan cara membawa diri dalam masyarakat. Seorang guru mungkin bersara daripada tugas, tetapi tidak pernah bersara daripada jiwa pendidik yang telah sebati dalam dirinya.

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan. Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Lian Fee Choo

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan. Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Back to Blog