.

HIKMAH YANG LAHIR DI LUAR ZON SELESA

December 05, 20256 min read

MENINGGALKAN ZON SELESA

Apabila saya menerima berita pertukaran ke SMK Kemabong pada penghujung tahun 2010, pelbagai reaksi timbul daripada orang di sekeliling saya. Kebanyakannya menunjukkan reaksi negatif, seolah-olah pertukaran itu merupakan satu keputusan yang salah dan boleh menjejaskan perjalanan kerjaya saya.

Masih segar dalam ingatan saya beberapa kata yang dilontarkan ketika itu:

“Kamu gilakah Puan Lian, mahu pergi ke sekolah itu?”

“Bagus-bagus sudah di sini, kamu mau pergi sana cari hal kah?”

Walaupun pelbagai tanggapan negatif diterima, saya tidak sedikit pun terganggu. Saya tahu keputusan ini dibuat atas kehendak sendiri — saya memohon pertukaran itu dengan penuh kesedaran selepas pengetua sekolah tersebut bersara.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa sekolah itu juga yang saya pilih?

SMK Kemabong menjadi pilihan kerana saya ingin mencabar diri sendiri — untuk memimpin sebuah sekolah yang masih berjuang mencapai kecemerlangan.

Dua buah sekolah yang saya pimpin terdahulu sudah berada pada landasan yang kukuh dan boleh dikatakan saya sudah berada di zon yang amat selesa. Namun saya ingin menguji kemampuan saya dalam suasana yang berbeza — sekolah yang memerlukan suntikan semangat dan hala tuju baharu.

Mungkin kerana itulah ramai yang tidak percaya dengan keputusan saya. Sejujurnya, keselesaan tidak seharusnya menjadi alasan untuk berhenti mencabar diri.

BIL AIR BULAN OGOS 2011 – UJIAN KEGILAAN SAYA

Walaupun saya sedar bahawa sekolah yang saya pilih itu mempunyai pelbagai masalah, saya tetap memberanikan diri untuk berkhidmat di sana. Saya yakin dengan pengalaman yang saya miliki, saya mampu membawa perubahan positif dan membantu sekolah ini bangkit semula.

Daripada pengurusan fizikal sekolah sehinggalah kepada pengurusan murid, banyak pembaharuan diusahakan bagi memajukan sekolah ini. Namun, selepas beberapa bulan bertugas, saya sama sekali tidak menyangka akan berhadapan dengan sesuatu di luar jangkaan.

Pada suatu hari, saya menerima bil air bulan Ogos 2011 — lima bulan selepas saya mula bertugas, dengan jumlah yang mengejutkan, RM92,283.35, disertai amaran akhir bahawa bekalan air sekolah akan dipotong sekiranya bayaran tidak dilakukan segera.

Ketika itu, barulah saya benar-benar memahami kata-kata yang pernah dilemparkan kepada saya sewaktu menerima surat pertukaran dahulu. Ya, mungkin mereka betul — saya memang “gila” kerana memilih sekolah ini. Gila kerana sanggup menerima tamparan hebat dalam bentuk *bil air sebesar harga sebuah Toyota Vios baharu! 💧🚗😅

BANTUAN DI SAAT GENTING

Saya sedar saya tidak boleh berdiam diri walaupun ketika itu saya benar-benar buntu memikirkan jalan penyelesaian. Maka, dengan penuh tekad, saya mengambil langkah berani menghubungi terus Pengarah Pendidikan Sabah ketika itu, Datuk Dr Hj Muhiddin Hj Yusin.

Saya menjelaskan keadaan sebenar — tentang bil air yang mencecah hampir seratus ribu ringgit dan kebimbangan bahawa bekalan air ke sekolah akan dipotong jika bayaran tidak dibuat segera.

Barangkali rezeki saya, atau mungkin saya benar-benar melangkah dengan niat yang betul, kerana hanya dengan satu panggilan telefon, Datuk Muhiddin terus meluluskan peruntukan penuh bagi menyelesaikan bil tersebut.

Sehingga hari ini, saya masih menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada beliau atas keprihatinan dan tindakan pantas yang menyelamatkan keadaan sekolah ketika itu.

Saya masih teringat lagi, kerani sekolah yang membawa cek pembayaran sebanyak RM92,283.35 ke Jabatan Air Tenom sempat berseloroh, “Kayalah Jabatan Air Tenom. Kalau begini tiap-tiap bulan, cukup sekolah kita saja yang bayar bil!” 😄

DI SEBALIK BIL AIR YANG MELAMBUNG

Selesaikah masalah air selepas itu?

Rupa-rupanya tidak juga.

Walaupun bil air yang tinggi telah diselesaikan, masalah sebenar masih belum berakhir. Saya sedar saya tidak boleh hanya berdiam diri. Saya perlu mencari punca utama yang menyebabkan bil air melambung tinggi dan memastikan perkara yang sama tidak berulang.

Hasil siasatan mendapati antara sebab utama ialah tunggakan lama serta kebocoran pada paip-paip bawah tanah yang sudah uzur. Menyedari bahawa masalah ini memerlukan tindakan segera, saya sekali lagi memberanikan diri untuk membuat panggilan kedua kepada Pengarah Pendidikan Sabah ketika itu.

Saya menjelaskan keadaan sebenar — tentang sistem paip bawah tanah yang bocor dan memerlukan peruntukan besar untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Syukur, sekali lagi Datuk Muhiddin mendengar dan memahami keperluan tersebut. Tidak lama kemudian, peruntukan sebanyak RM25,000 diluluskan dan kerja-kerja pembaikan dimulakan pada Disember 2011.

Proses membaiki paip-paip yang pecah dan bocor dijalankan di beberapa kawasan sekitar sekolah. Ia bukan kerja sehari dua, tetapi usaha berterusan dan sistematik demi memastikan bekalan air sekolah kembali stabil.

Syukur, selepas semua kerja pembaikan selesai, bil air kembali normal dan tidak lagi menunjukkan angka yang luar biasa tinggi. Masalah besar yang pernah menggegarkan sekolah akhirnya berjaya ditangani dengan tindakan cepat melalui komunikasi berkesan dan sokongan pihak atasan.

.

(Gotong Royong Memasang Paip Graviti)

ANTARA SUNGAI DAN SEKOLAH

Walaupun isu bil air yang tinggi dan kerosakan paip bawah tanah telah ditangani, hakikatnya gangguan bekalan air yang berulang masih menjadi igauan yang menakutkan.

Kawasan sekolah serta kawasan perumahan berhampiran sering berdepan dengan gangguan bekalan air kerana pam air di loji utama kerap rosak. Tidak kira musim panas mahupun musim hujan, masalah ini tetap berulang dan memberi kesan kepada seluruh warga sekolah.

Pernah suatu ketika, gangguan air berlaku sewaktu peperiksaan SPM dan STPM. Pelajar-pelajar asrama menjadi mangsa paling terkesan — mereka terpaksa keluar dari kawasan sekolah menuju ke sungai berhampiran semata-mata untuk menguruskan diri. Bayangkan kolah air yang kering kontang dan tandas yang tidak dapat dibersihkan.

Dalam usaha mencari jalan keluar, saya pernah bertegang leher dengan pihak Jabatan Air — bukan kerana marah, tetapi kerana keperluan yang amat mendesak. Barangkali kami sama-sama berada dalam tekanan — mereka dengan kekangan operasi dan saya pula dengan tanggungjawab memastikan kelangsungan sekolah.

“KUDA PUTIH” DAN SEMANGAT DI SMK KEMABONG

Justeru, tidak hairanlah pelbagai usaha telah dilakukan bagi mengatasi masalah ketiadaan air di sekolah. Antaranya termasuk sumbangan daripada wakil rakyat untuk memasang paip graviti serta bantuan dana daripada Sabah Credit bagi membina lebih banyak tangki air di asrama.

Pendekata, pengalaman mengurus bil air dan gangguan bekalan air yang berulang merupakan antara cabaran terbesar sepanjang saya berkhidmat sebagai pentadbir di sekolah ini. Saya amat memahami betapa sukarnya keadaan tanpa air — bukan sahaja bagi pelajar, tetapi juga bagi seluruh warga sekolah yang berusaha memastikan kelangsungan aktiviti harian tetap berjalan.

Apa pun, saya amat bersyukur kerana memiliki pasukan guru dan staf sokongan yang sangat memahami dan prihatin. Mereka sentiasa bersedia membantu, terutama apabila berlaku ketiadaan air di sekolah. Ada di antara mereka yang sanggup meminjamkan kenderaan pacuan empat roda (4WD), membawa tangki biru ke sungai berhampiran, mengepam air dan membawanya kembali ke sekolah.

Terima kasih “kuda putih” yang setia berkhidmat setiap kali diperlukan, menjadi simbol kepada semangat kerjasama dan keikhlasan guru-guru SMK Kemabong.

。

(Senario Yang Biasa Kelihatan Ketika Tiada Air)

REFLEKSI

Pengalaman di SMK Kemabong benar-benar mengajar saya bahawa kepimpinan bukan sekadar tentang mengurus sekolah, tetapi tentang mengurus cabaran dengan bijaksana dan berhemah.

Masalah air yang berpanjangan — daripada bil mencecah puluhan ribu, paip bocor hingga gangguan bekalan yang berulang — menjadi ujian yang membentuk saya menjadi lebih tabah dan berhikmah.

Saya belajar bahawa setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Saya juga menyedari bahawa kejayaan sebenar seorang pemimpin bukanlah apabila masalah tidak wujud, tetapi apabila seluruh warga sekolah bersatu hati menghadapinya bersama.

Melihat guru-guru yang sanggup meminjamkan kenderaan dan mengepam air dari sungai untuk kegunaan sekolah membuatkan saya sedar bahawa kekuatan sebenar bukan pada jawatan, tetapi pada semangat kebersamaan dan kasih terhadap sekolah.

Cabaran air itu akhirnya menjadi cerminan nilai kemanusiaan, keikhlasan dan daya tahan yang sebenar.

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan.  Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Lian Fee Choo

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan. Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Back to Blog