Dia Diuji, Namun Tidak Pernah Patah. Dia Sahabatku, Inspirasiku, Kekuatanku
PERTEMUAN PERTAMA DI BILIK GURU
Tahun 1999 mencatat satu kenangan yang masih segar dalam ingatan. Pada tahun itu, seorang guru baharu melapor diri di Sekolah A, tempat aku bertugas. Ketika beliau melangkah masuk ke bilik guru, seorang rakan yang duduk di sebelah mejaku berbisik perlahan :
“Pn Lian, adik kamu melapor diri.”
Aku tersenyum mendengar gurauan itu. Namun, secara spontan aku menoleh ke arah guru tersebut dan memerhatikannya lebih lama daripada biasa.
Mungkin gurauan itu berasas. Wajahnya bujur, hampir sama tinggi, tubuhnya juga kurus seperti aku dan dia berkaca mata. Gurauan rakan tadi membuatkan aku terfikir - mungkinkah benar ada sedikit persamaan antara kami?
Namun yang pasti, kami tidak ada hubungan darah. Tapi kadang-kadang persamaan luaran sudah cukup untuk mencipta jalinan awal yang manis.

(Pn Woo Sebagai Guru Sains dan Biologi)
DARI BIDANG BERBEZA, MENUJU JALAN SAMA
Beliau guru opsyen Sains dan Biologi, namun kerana kekangan jadual, beliau turut ditugaskan mengajar Bahasa Inggeris. Walaupun kami berdua bukan guru opsyen Bahasa Inggeris, kami secara tidak langsung menjadi rakan sepanitia.
Hubungan kami pada awalnya sekadar formal antara rakan sekerja. Kami sering berbincang, bertukar bahan dan saling menyokong dalam menguruskan pengajaran harian.
Dari satu gurauan ringan, tercetus satu permulaan yang tidak disangka. Persahabatan itu terus berkembang, bukan sahaja kerana tugasan rasmi, tetapi juga kerana keserasian hati dan nilai profesionalisme yang kami kongsi.
(Mengajar Sebelum Bersara Pada Hari Berikutnya)
DARI RAKAN SEPANITIA KE PASUKAN KEPIMPINAN
Kami berdua berkhidmat di sekolah yang sama hampir sepuluh tahun. Sepanjang tempoh itu, kami menyaksikan perubahan peranan - aku melangkah ke jawatan Pengetua, manakala beliau pula sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.
Sebagai Penolong Kanan, beliau menunjukkan sifat kepimpinan yang amat tinggi. Aku sangat bersyukur mempunyai seorang rakan sekerja yang bukan sahaja bertanggungjawab dan komited, tetapi juga bijaksana dalam membuat keputusan.
Beliau bersikap diplomatik, lemah lembut tetapi tetap tegas apabila perlu. Tutur katanya sentiasa tersusun kemas, namun dalam setiap tindakan, jelas terlihat profesionalisme dan ketajaman fikiran. Beliau juga sangat cekap menangani isu-isu disiplin pelajar secara berhemah dan berkesan.
Pada tahun 2009, aku berpindah ke Sekolah B. Walaupun kami tidak lagi bergelar rakan sekerja, hubungan persahabatan kami tetap erat seperti dahulu.
Kami terus berkongsi cerita, suka dan duka dan saling menyokong dari jauh. Beliau kekal sebagai antara sahabat paling rapat dalam hidupku.
Persahabatan ini menjadi bukti bahawa hubungan yang dibina atas kejujuran, keserasian dan saling menghormati mampu bertahan melebihi tempoh perkhidmatan.
(Penolong Kanan Kokurikulum Yang Sangat Proaktif)
KETIKA TAKDIR MENGUBAH ARAH
Pada tahun 2022, aku menerima satu kiriman WhatsApp - sekeping gambar dirinya di lapangan terbang. Aku menyangka beliau dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kursus. Namun, sangkaanku meleset.
Rupa-rupanya, beliau sedang memulakan perjalanan yang sama sekali tidak dirancang - bukan untuk belajar, tetapi untuk bertarung.
Sebulan sebelum penerbangan itu, beliau diamanahkan untuk membawa sekumpulan ibu dari Tenom ke Hospital JMC Kota Kinabalu untuk pemeriksaan mammogram tajaan LPPKN Sabah. Disebabkan kurang sambutan, maka beliau menawarkan diri untuk mengisi kekosongan tersebut – satu keputusan kecil yang membawa kesan paling besar dalam hidupnya.
Selepas selesai menjalani pemeriksaan, semua ibu diminta menunggu keputusan ujian. Rakan baikku turut menunggu bersama, tenang seperti biasa. Tapi kemudian, dia dipanggil semula oleh jururawat untuk menjalani pemeriksaan kali kedua.
Saat itu, siapa pun akan dilanda rasa gelisah. Debaran mula terasa. Hati mula berbisik doa yang sama. “Ya Tuhan, jauhkanlah aku daripada penyakit itu.”
Panggilan semula untuk pemeriksaan lanjutan jarang membawa berita baik. Ia petanda bahawa sesuatu tidak normal telah dikesan. Hanya Tuhan yang tahu apa yang bermain di fikirannya saat itu.
Hakikat bahawa seseorang yang kelihatan sihat boleh disahkan menghidap kanser menunjukkan betapa rapuhnya kesihatan dan betapa pentingnya kesedaran serta pemeriksaan berkala.
(Bersama Pn Woo Dalam Satu Majlis Sekolah Tahun 2007)
KETIKA UJIAN ITU TIBA
Akhirnya, dengan hati yang tabah dan perasaan yang redha, sahabatku menerima hakikat beliau menghidap kanser payu dara. Kanser bukan sekadar penyakit fizikal, tetapi ujian mental, emosi dan spiritual.
Setelah beberapa siri pemeriksaan lanjut, beliau segera mengambil langkah proaktif untuk memulakan rawatan.
Tidak ada masa untuk berlengah. Beliau memilih untuk melawan penyakit itu dengan penuh keberanian, walaupun di sebalik tenangnya, pasti terselit sejuta rasa gelisah dan ketakutan.
Aku sempat melawatnya di sekolah. Kami bertemu di pejabatnya, tempat yang selama ini menjadi ruang beliau mengatur kerja. Tetapi pada hari itu, suasananya berbeza - sunyi dan sayu.
Aku tidak tahu apa yang harus aku katakan ketika memandang wajahnya. Mulutku seperti terkunci, walaupun hatiku sarat dengan rasa sedih. Aku tahu ini bukan perjalanan yang mudah.
Aku cuba menyuntik kata-kata semangat. Aku mahu kelihatan kuat, tetapi hakikatnya yang paling lemah ketika itu ialah aku. Sambil berbual, mata kami berkaca dan akhirnya tumpah juga air mata. Kami menangis kerana terlalu banyak rasa yang tidak mampu diterjemah dengan kata-kata.
Aku tidak pernah bertanya tentang tahap kanser yang dihidapinya. Bukan kerana aku tidak mahu tahu, tetapi kerana aku takut dengan jawapannya.
Yang aku tahu, aku mahu dia kembali pulih. Aku mahu dia kembali ke sekolah, kembali tersenyum dan kembali menjalani hidup dengan tenang dan sihat seperti dahulu.
(Bersama Pn Woo Dalam Majlis Perpisahan Pengetua)
LALUAN YANG TELAH DIATUR TUHAN
Tiada yang kebetulan dalam hidup ini. Keputusan spontan untuk mengisi kekosongan tempat bagi pemeriksaan mammogram bukanlah sekadar takdir kecil, tetapi petunjuk bahawa Tuhan amat menyayanginya.
Bukankah lebih baik penyakit itu dikesan lebih awal? Kanser, jika dikesan pada peringkat awal, masih berpeluang untuk dirawat dan disembuhkan.
Syukur, beliau kembali sihat selepas menjalani rawatan. Tidak lama kemudian, beliau kembali semula bertugas di sekolah. Sebelum menjalani rawatan, beliau telah beralih dari PK HEM ke PK Kokurikulum
Aku melihat semangatnya begitu luar biasa. Beliau menjadi sangat aktif, terlibat secara langsung dalam memperkasakan pengurusan kokurikulum sekolah. Di bawah kepimpinannya, pelbagai program diperkenalkan dan sekolah mula menerima banyak anugerah dan pengiktirafan.
Beliau terus berkhidmat sehingga bersara wajib pada tahun 2024. Dalam tempoh itu, beliau meninggalkan legasi yang besar - bukan hanya dalam bentuk anugerah dan pencapaian sekolah, tetapi juga dalam bentuk kekuatan dalaman, iltizam dan kecintaan terhadap profesion keguruan.
(Bersiar-siar di Taman Rekreasi Gunung Lang di Perak)
LEBIH DARIPADA SEORANG SAHABAT
Beliau amat gemar melancong dan telah pun menjelajah ke beberapa buah negara. Aku pernah menyertai beberapa perjalanan bersamanya dan setiap kali itu aku kagum dengan semangatnya yang luar biasa.
Beliau tidak pernah mengadu penat. Sentiasa ceria, positif dan terbuka terhadap apa jua kemungkinan masa hadapan. Sikap itu menjadikan beliau seorang sahabat yang menginspirasikan - seorang wanita tabah yang kelihatan lebih kuat daripada ramai yang tidak pernah diuji sepertinya.
Aku berharap persahabatan sejati ini akan terus mekar hingga ke akhir hayat. Jika diizinkan, kami ingin melancong bersama lagi - menambah kenangan indah ke destinasi seterusnya.
Masih terngiang gurauan seorang rakan guru semasa beliau pertama kali melapor diri pada tahun 1999 :
“Pn Lian, adik kamu melapor diri.”
Dan kini, gurauan itu terasa begitu benar. Kerana apabila kami melancong bersama, tidak kurang yang bertanya soalan sama :
“Kamu berdua adik-beradik kah?”
Jawapannya, bukan dari darah yang sama, tetapi dari jiwa yang saling menyatu.
Sempena bulan Ogos ini, bulan kelahirannya, aku ingin mengucapkan :
“Selamat Hari Jadi, sahabatku, Puan Woo Soo Fong. Semoga dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, ketenangan dalam setiap langkah dan kebahagiaan yang berterusan bersama keluarga tersayang.”
(Menaiki ETS ke Negeri Kedah)
REFLEKSI
Persahabatan bukan sekadar hadir dalam suka dan duka, tetapi terbit daripada keikhlasan yang tumbuh tanpa syarat.
Melihat beliau kembali sihat, berkhidmat dengan penuh dedikasi dan akhirnya menamatkan perkhidmatan dengan penuh bermaruah, menyentuh hatiku sebagai seorang sahabat.
Aku bangga pernah berjalan bersama insan sekuat itu. Malah hingga kini, aku masih belajar daripadanya - tentang erti syukur, tentang tidak pernah mengalah dan tentang menghargai setiap hari yang diberi.
Aku percaya, dalam hidup ini kita tidak memerlukan terlalu ramai orang untuk membuat hidup kita bermakna - cukup seorang yang hadir dengan kejujuran, yang tinggal dengan kesetiaan dan yang menyayangi kita seperti keluarga.