ISYARAT PERIUK TUA
APABILA ‘MI MAGGI’ MEMBONGKAR RAHSIA
Baru minggu pertama aku memulakan tugas sebagai Pengetua di Sekolah X, datang seorang pakcik tua dari kampung berhampiran sekolah.
Di tangannya tergantung sebuah periuk kecil berwarna hitam yang sudah uzur.
Yang anehnya, di dalam periuk itu terdapat mi maggi yang masih panas berwap dan beraroma perisa ayam.
Pada ketika itu, jam di dinding pejabat menunjukkan 12.00 tengahari.
Disebabkan Sekolah X merupakan sekolah dua sidang, pelajar sidang petang yang datang awal sering berkeliaran di luar kawasan sekolah sebelum sesi persekolahan bermula.
(Gambar Hiasan)
APABILA PERIUK BERSUARA
Pakcik itu terus melangkah masuk ke pejabat lalu menunjukkan periuk tersebut kepada aku.
Aku benar-benar tergamam. Tanpa berlengah, pakcik itu terus memberitahu kebunnya sering dikunjungi oleh sekumpulan pelajar lelaki.
Rupa-rupanya, makanan dalam periuk itu adalah angkara pelajar-pelajar Sekolah X.
Pakcik tersebut mengadu bahawa pelajar-pelajar ini sering menceroboh kebunnya dan mengotorkan kawasan tersebut. Mereka bersembunyi di situ untuk ponteng sekolah, malah kadangkala tidur di kebunnya. Kehadiran mereka amat mengganggu ketenteraman pakcik itu.
Apabila ditanya sama ada beliau mengenali mana-mana pelajar tersebut, pakcik itu menjawab bahawa beliau hanya sempat merampas periuk tersebut. Pelajar-pelajar tersebut semua berlari lintang pukang.
Sejurus itu, guru disiplin mengambil peluang melawat lokasi tersebut dan dia bernasib baik kerana terjumpa beberapa beg sekolah yang ditinggalkan di situ.
Akhirnya kedapatanlah siapa pelajar-pelajar tersebut.
Sejak hari itu, kebun pakcik itu tidak lagi menjadi sarang ponteng.
PONTENG – ANTARA CABARAN DAN SOLUSI
Sebagai Pentadbir Sekolah, aku amat memahami isu kehadiran pelajar yang dihadapi oleh pihak sekolah dan ibu bapa.
Pelajar tidak berminat hadir ke sekolah.
Tambahan pula, kawasan sekitar sekolah yang dipenuhi kebun buah-buahan dan ladang kelapa sawit menjadi tempat tumpuan pelajar untuk ponteng.
Pelajar Tingkatan 1 dan 2 yang bersekolah pada sidang petang merupakan kumpulan yang terlibat.
Pelbagai inisiatif telah diambil untuk meningkatkan kehadiran pelajar seperti melaksanakan peraturan baharu, mengadakan program kesedaran dan menjemput ibu bapa untuk sesi perbincangan.
Walaupun terdapat sedikit peningkatan dari segi peratus kehadiran, namun ia masih belum mencapai tahap yang memuaskan.
(Program Guru Penyayang – guru mengalu-alukan kehadiran pelajar ke sekolah)
LANGKAH BERANI DEMI MASA DEPAN PELAJAR
Setelah membuat pertimbangan mendalam, pihak sekolah memutuskan untuk menukar sidang - Pelajar Tingkatan 1 dipindahkan ke sidang pagi, manakala pelajar Tingkatan 3 ke sidang petang.
Pada mulanya, segelintir ibu bapa membantah. Namun tanpa percubaan, kita tidak akan tahu keberkesanannya.
Selepas beberapa bulan pelaksanaan, langkah ini mula menunjukkan tanda-tanda positif kerana pelajar Tingkatan 1 tidak lagi dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif daripada pelajar Tingkatan 2.
Tambahan pula kebanyakan pelajar sidang pagi adalah pelajar-pelajar Tingkatan 4, 5 dan 6.
Mereka lebih cenderung menunjukkan kehadiran yang tinggi. Maka, pelajar Tingkatan 1 dapat dibentuk melalui contoh yang baik daripada pelajar-pelajar menengah atas.
Walaupun pelajar Tingkatan 1 yang naik ke Tingkatan 2 pada tahun berikutnya akan kembali ke sidang petang, namun disebabkan mereka ini telahpun dibentuk dengan nilai jati diri yang baik sejak awal, mereka lebih cenderung hadir ke sekolah secara konsisten.
Budaya positif ini berjaya mengurangkan kes ponteng secara keseluruhan.
PONTENG SEKOLAH – USAHA YANG TIDAK PERNAH BERAKHIR
Isu membendung gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar bukanlah suatu tanggungjawab yang boleh digalas oleh satu pihak semata-mata atau disandarkan kepada satu inisiatif baharu sahaja.
Tanpa kerjasama erat, komitmen jitu dan kesungguhan berterusan daripada semua pihak yang terlibat, terutamanya para guru dan ibu bapa, usaha ini tidak akan membuahkan hasil.
Walaupun adakalanya timbul rasa kecewa dan putus asa apabila masalah yang sama berulang saban tahun, namun keteguhan prinsip serta semangat yang tidak tunduk kepada kehendak segelintir pelajar yang memilih untuk meminggirkan tanggungjawab hadir ke sekolah, menyemarakkan lagi iltizam pentadbir dan warga pendidik untuk meneruskan perjuangan ini tanpa mengenal erti jemu.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua guru yang gigih, sabar dan tidak pernah mengenal penat lelah dalam menangani isu ini dengan penuh dedikasi dan keprihatinan.
(Banner Yang Dipamerkan di Kawasan Sekolah)
REFLEKSI
Ada kalanya, keadaan menuntut perubahan yang luar biasa.
Sebagai teraju utama dalam membentuk budaya disiplin, pentadbir sekolah perlu menggembleng kekuatan dalaman dan membangkitkan semangat kebersamaan dalam kalangan guru.
Hanya dengan kesepaduan usaha, kepercayaan yang utuh dan jiwa yang tidak mudah menyerah, kita mampu menangani isu ponteng sekolah serta menyalakan semula semangat hadir ke sekolah dalam diri setiap anak didik.
Sebagai pendidik, kita amat faham bahawa isu kehadiran pelajar bukan sesuatu yang mudah untuk diselesaikan.
Ia bukan sekadar soal angka, tetapi membawa implikasi yang jauh lebih dalam iaitu dari prestasi akademik yang terjejas sehinggalah kepada potensi terjebak dalam gejala sosial seperti merokok, mencuri, menagih dadah dan pelbagai lagi.
Namun, segala usaha ini lahir daripada satu harapan murni — agar anak-anak didik kita bukan sahaja berjaya dalam peperiksaan, tetapi juga terbentuk menjadi insan berguna yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara pada masa hadapan.