.

Mereka Bukan Guru, Tapi Jiwa Mereka Juga Mendidik

September 05, 20255 min read

WIRA DI SEBALIK TABIR SEKOLAH

Di institusi pendidikan yang digelar sekolah, individu yang sering disebut-sebut kerana populariti, keunikan atau kehebatannya biasanya terdiri daripada kalangan guru, pelajar dan tidak kurang juga golongan pentadbir sekolah.


Namun, di sebalik kesibukan sekolah mengurus hal ehwal pendidikan anak-anak bangsa, sering kali kita terlupa akan kewujudan insan-insan penting yang bekerja di belakang tabir. Mereka menjadi tulang belakang kepada kelancaran urusan harian sekolah.


Mereka inilah yang dikenali sebagai Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP). Dahulu mereka dikenali sebagai Anggota Kumpulan Sokongan (AKS) atau lebih mudah dipanggil Kakitangan Bukan Mengajar (KTBM). 


Keberadaan mereka bukan sahaja tertumpu di Pejabat Sekolah, malah turut kelihatan di Makmal Sains, Makmal Komputer, Stor & Bengkel, Asrama dan Bilik Percetakan.


Ada kalanya kehadiran mereka di kawasan sekolah disalahertikan oleh pelajar, lalu secara tidak sengaja mereka turut menerima gelaran “cikgu”. Tidak mengapa - sesekali dipanggil cikgu, dapat juga merasa tempias aura seorang pendidik! 😄


Sepanjang saya berada di Sekolah A, saya berpeluang mengenali ramai AKP. Ada di antara mereka yang telah bersara lebih awal daripada saya dan ada juga yang berpindah ke sekolah lain. Masing-masing meninggalkan kenangan yang cukup bermakna dan sukar dilupakan.

.

(Barisan Pentadbir Bersama AKP 2015)


SOKONGAN YANG TIDAK TERTULIS DALAM MANUAL

Boleh dikatakan, kehadiran saya di Sekolah A banyak dipermudahhkan oleh seorang hero yang mungkin tidak ramai menyedari peranannya. Siapakah hero ini dan mengapakah hero ini pula yang begitu dekat di hati seorang pengetua?


Individu yang saya maksudkan ialah Encik Faidey Fadzley. Beliau merupakan antara kakitangan paling lama berkhidmat di Sekolah A dan sepanjang hampir satu dekad, saya sangat bertuah kerana mendapat seorang anggota kumpulan pelaksana (AKP) yang begitu banyak membantu saya dalam pelbagai urusan sekolah.


Secara rasmi, beliau telah melalui beberapa perubahan jawatan dan gred sepanjang tempoh perkhidmatannya. Kini, beliau memegang jawatan sebagai Pembantu Khidmat Am H1, dengan tugas utama yang lebih tertumpu kepada pengurusan aset dan stor sekolah serta urusan logistik berkaitan.


Namun begitu, beliau tidak menghadkan dirinya hanya kepada skop tugas tersebut. Asalkan ada keperluan di mana-mana bahagian sekolah, Encik Faidey sentiasa bersedia tampil membantu tanpa banyak soal.


Tidak sukar bagi saya untuk memohon bantuannya dan inilah antara sikap beliau yang sangat saya hargai. Beliau adalah antara individu pertama yang saya cari sekiranya menghadapi sebarang masalah di sekolah. 


Tambahan pula, hasil kerjanya sangat berkualiti, teliti dan penuh dedikasi. Beliau juga tidak pernah berkira soal masa asalkan khidmatnya diperlukan, beliau akan hadir dengan rela hati.

.

(Membaiki Paip Graviti Yang Pecah)


LANGKAH TANPA BUNYI, BAKTI TANPA SEMPADAN

Sekolah yang saya pimpin ini sering berdepan dengan gangguan bekalan air. Hampir setiap bulan, pasti ada episod ketiadaan air dan hal ini amat merungsingkan saya. 


Dengan lebih 1,500 orang pelajar, 300 penghuni asrama serta lebih 50 orang guru dan ahli keluarga yang tinggal di Flat Guru, masalah air menjadi antara perkara yang paling meresahkan dalam pengurusan harian sekolah.


Namun, berkat sumbangan daripada Wakil Rakyat Daerah Kemabong, sekolah akhirnya berjaya memperoleh satu kemudahan penting - bekalan air graviti. Usaha ini tidak berdiri sendiri. Dengan kerjasama erat PIBG dan ibu bapa, paip-paip disusun, dipasang dan disambungkan dari kawasan sungai sehingga ke kawasan sekolah.


Sekurang-kurangnya, bekalan air graviti ini menjadi penyelamat di saat-saat genting, apabila tiada air dari sistem paip utama. Namun, seperti sistem lain, ia juga tidak lari daripada cabaran seperti paip pecah, sambungan rosak dan aliran tersekat. Masalah tetap timbul.


Di sinilah Encik Faidey muncul sebagai penyelamat tanpa nama. Tanpa disuruh, beliau akan menggerakkan beberapa rakan AKP dan pekerja pembersihan swasta untuk masuk ke hutan, menjejaki laluan paip, menyelusuri tanah lembap, mencari punca kerosakan dan membaikinya. 


Bukan sekali dua, tetapi berkali-kali. Semua ini dilakukan atas dasar kasih kepada sekolah dan ihsan kepada warga yang mengharapkan adanya air.


Saat itulah, hati saya benar-benar tersentuh. Bukan kerana keberaniannya masuk ke hutan. Bukan kerana kecekapan tangannya membaiki paip. Tetapi kerana beliau membantu tanpa diminta, hadir tanpa dipanggil.


Bak kata orang, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Namun sesungguhnya, beban itu menjadi ringan kerana wujud insan yang rela memikul bersama  dalam diam, tanpa keluh, tanpa menagih pujian.

.

(Membaiki Paip Graviti Yang Pecah)

APABILA KERJA JADI AMANAH, SEKOLAH JADI KELUARGA

Apabila sekolah menerima peruntukan untuk kerja-kerja penyelenggaraan, Encik Faidey merupakan individu yang paling banyak membantu saya memantau perkembangan kerja-kerja tersebut. 


Apa-apa kekurangan yang dikenal pasti akan segera dilaporkan kepada saya untuk tindakan penambahbaikan. Kehadiran beliau benar-benar meringankan beban tugas saya, apatah lagi beliau lebih arif dan berpengalaman dalam hal-hal teknikal seperti ini.

Bukan itu sahaja. Apabila timbul keperluan membaiki perabot rosak seperti meja pelajar, Encik Faidey akan segera bertindak. Beliau tidak bekerja sendirian, sebaliknya menggerakkan rakan-rakan AKP yang lain untuk bersama-sama bergotong-royong.

.

(Membaiki Meja Rosak Sewaktu Cuti Sekolah)

Tugas yang pada asalnya kelihatan rumit dan membebankan, menjadi lebih mudah serta cepat diselesaikan hasil semangat berpasukan yang digerakkan oleh beliau sendiri.


Beberapa kawasan sekolah yang sebelum ini kelihatan suram dan tidak terurus -  termasuk dinding yang lusuh, berubah wajah hasil sentuhan tangan Encik Faidey dan pasukannya. 


Menariknya, perubahan ini dicapai hanya dengan menggunakan bahan-bahan lebihan dan terbuang daripada kerja-kerja penyelenggaraan. Inisiatif ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah mencerminkan kreativiti serta keprihatinannya terhadap persekitaran sekolah.


Boleh dikatakan, sifat kepimpinan dan karisma beliau menjadikan rakan-rakan sekerjanya mudah tergerak untuk sama-sama membantu.


Beliau bukan sahaja dihormati, tetapi juga dipercayai. Dan kerana itulah, tugas-tugas sekolah yang mencabar terasa lebih ringan untuk dilaksanakan apabila ada insan seperti Encik Faidey yang menjadi pemangkin tenaga dan semangat kerja berpasukan.


Terima kasih, Encik Faidey.  Doa saya sentiasa mengiringi Encik Faidey – semoga kebaikan yang dicurahkan  berbalas berkali ganda.

.

(Membaiki Pagar Rosak di Belakang Sekolah)


REFLEKSI

Dalam setiap institusi, pasti ada insan-insan yang tidak berdiri di hadapan khalayak, tetapi jasanya menggerakkan keseluruhan sistem tanpa banyak bicara. Di sekolah ini, Encik Faidey adalah salah seorang daripada mereka. 


Beliau bukan sekadar seorang Pembantu Khidmat Am, tetapi pemudah cara, pemantau, penyelesai masalah dan penyambung daya antara warga sekolah.


Apa yang menjadikan sumbangannya begitu besar bukanlah pangkat atau jawatan, tetapi jiwa besar yang dibawanya dalam setiap tindakan. Sama ada memantau kerja penyelenggaraan, membaiki perabot rosak atau menyelusuri hutan mencari punca air graviti yang terputus — semua dilakukan bukan kerana upah, tetapi kerana rasa tanggungjawab yang hidup dalam dirinya.


Melihat kesungguhan beliau menghulurkan bantuan tanpa diminta, saya belajar satu perkara penting iaitu keikhlasan adalah tenaga paling berkuasa dalam sesebuah organisasi. Ia tidak perlu ditulis dalam senarai tugas, tetapi tetap akan bergerak kerana hati yang jujur tidak menunggu arahan.


Sekolah ini mungkin tidak dapat membalas seluruh jasanya, tetapi kenangan dan penghargaan yang tertanam dalam ingatan warga sekolah akan sentiasa mengiringi langkahnya. Benarlah, kadangkala yang tidak terlihat oleh mata, paling dekat di hati.

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan.  Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Lian Fee Choo

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan. Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Back to Blog