KEJAYAAN BUKAN DIWARISI TETAPI DIUSAHAKAN
ANAK GURU : KEISTIMEWAAN ATAU KEBETULAN
“Wah, anak Cikgu Ahmad dan anak Cikgu Chong tiap-tiap tahun naik pentas dapat anugerah pelajar terbaik”, bisik seorang ibu dalam satu majlis penganugerahan pelajar cemerlang. “Mana tidaknya mereka pelajar terbaik, mereka anak cikgulah,” sahut seorang ibu yang lain.
Senario seperti ini mungkin satu kebiasaan dalam majlis sedemikian. Namun persoalannya, adakah pencapaian cemerlang anak-anak guru ini sekadar kebetulan atau adakah ia satu hakikat yang berasas?
(Tangkapan Skrin Daripada Salah Satu Group Telegram Tahun 2018)
Sehingga kini, masih ada segelintir ibu bapa yang beranggapan bahawa anak-anak guru lebih bertuah kerana menerima didikan dan perhatian yang lebih baik berbanding anak-anak daripada keluarga bukan guru. Namun, sejauh manakah benarnya tanggapan ini?
Ada kemungkinan anak-anak guru mendapat kelebihan dari segi pendedahan awal kepada ilmu, bimbingan akademik yang berterusan serta nilai-nilai disiplin yang diterapkan oleh ibu bapa mereka.
Persekitaran keluarga yang menitikberatkan kepentingan pelajaran juga memainkan peranan dalam membentuk sikap dan pencapaian mereka.
Namun begitu, tidak semua anak guru cemerlang dan tidak semua pelajar cemerlang merupakan anak guru. Kejayaan seseorang pelajar dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti sikap dan motivasi diri, sokongan keluarga, persekitaran sosial serta usaha berterusan dalam pembelajaran
(Latar Belakang Pekerjaan Ibu Bapa Bukan Penentu Kejayaan Anak)
ANAK GURU JUGA MANUSIA BIASA
Pada pandangan saya, pernyataan bahawa anak guru sentiasa cemerlang boleh diperbahaskan. Secara jujurnya, saya sendiri pernah melihat anak-anak guru yang lemah dalam akademik, sama seperti pelajar lain.
Saya juga pernah menyaksikan seorang anak guru yang lemah dalam subjek Matematik tetapi dia kelihatan tenang walaupun tidak membawa kalkulator semasa menduduki kertas Matematik dalam peperiksaan awam.
Mungkin pelajar ini sudah putus asa atau beranggapan ada kalkulator pun tidak memberi apa-apa makna kepadanya. 😢
Situasi seperti ini menimbulkan beberapa persoalan yang serius. Siapakah yang harus dipersalahkan? Adakah guru, pelajar itu sendiri atau ibu bapanya?
GURU PUN ADA HADNYA
Persoalan seterusnya, adakah masyarakat beranggapan bahawa anak-anak guru lebih bertuah kerana mempunyai “guru” di rumah untuk memantau pelajaran mereka?
Pada pandangan saya, tanggapan ini tidaklah benar seratus peratus. Hakikatnya, seorang guru tetap seorang ibu atau bapa apabila berada di rumah, bukan lagi seorang pendidik seperti di dalam bilik darjah.
Realitinya, selepas seharian mengajar dan bercakap di hadapan murid-murid di sekolah, seorang guru pastinya keletihan apabila pulang ke rumah. Maka, untuk mengulang kembali tugas mengajar kepada anak-anak sendiri bukanlah sesuatu yang mudah atau ringan.
Sebagai contoh, saya sering kali tidak mampu membantu anak-anak menyiapkan kerja rumah. Tanya soalan Matematik, saya bukan guru Matematik. Tanya Sejarah, saya sendiri sudah lupa banyak fakta penting. Tanya Fizik pula, saya hanya mendapat kepujian rendah dalam SPM.
Lebih malang lagi, jika mereka bertanya soalan yang saya anggap terlalu mudah. Saya mungkin akan hilang sabar dan memarahi mereka.
Anehnya, saya menyedari bahawa kesabaran saya terhadap anak-anak sendiri jauh lebih rendah berbanding kesabaran saya terhadap murid-murid di sekolah. 🤣
Maka, tidak hairanlah anak-anak saya lebih gemar bertanya kepada guru mereka sendiri. 🤣
TERIMA KASIH, CIKGU
Sebagai seorang guru, adakah anak-anak saya juga semuanya pandai-pandai belaka? Terus terang, saya bersyukur kerana dikurniakan tiga orang anak yang saya anggap mempunyai prestasi akademik yang baik.
Bagi saya, kejayaan mereka bukanlah satu kebetulan, tetapi hasil daripada didikan yang konsisten di rumah dan lebih penting lagi, di sekolah.
Sejujurnya, saya lebih selesa memberi penghargaan kepada guru-guru mereka. Mereka inilah yang banyak mencurahkan usaha, masa dan kesungguhan dalam mendidik anak-anak saya.
Ada guru yang sanggup mengadakan kelas tambahan tanpa mengira hari dan masa, semata-mata untuk memastikan pelajar mendapat peluang memperbaiki keputusan peperiksaan.
Saya juga pernah menyaksikan guru yang sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk membeli makanan untuk murid-murid yang kelaparan apabila kantin tidak beroperasi pada hujung minggu.
Malah, ada guru yang menitiskan air mata apabila anak muridnya gagal menguasai sesuatu topik, itulah tanda kasih sayang dan keikhlasan mereka.
Lebih menyentuh hati, saya pernah mengenali seorang guru yang menolak permohonan berpindah ke sekolah berhampiran keluarganya, hanya kerana dia mahu terus berbakti kepada anak-anak murid di kawasan pedalaman. Sungguh besar pengorbanan mereka.
Saya bersyukur kerana anak-anak saya berada dalam jagaan dan bimbingan insan-insan mulia seperti ini. Segenap masyarakat seharusnya lebih menghargai jasa guru kerana merekalah tulang belakang kepada kejayaan generasi akan datang.
KEJAYAAN TIDAK MENGENAL SIAPA
Bukan sesuatu yang luar biasa apabila anak-anak petani berjaya mengatasi pencapaian anak-anak guru atau bahkan anak pegawai tinggi.
Walaupun hidup dalam serba kekurangan, terutamanya jika dibandingkan dengan rakan-rakan mereka yang jauh lebih berkemampuan, anak-anak ini tetap cekal dan gigih memanfaatkan sepenuhnya peluang belajar di sekolah.
Sesungguhnya, anak seorang guru sama sahaja seperti anak-anak orang lain. Bezanya mungkin terletak pada cara mereka dibesarkan dan persekitaran didikan yang membentuk sikap serta nilai diri mereka.
Saya berasa amat bangga apabila melihat anak-anak murid saya yang datang daripada keluarga susah tetapi berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM dan STPM. Ada yang mendapat "straight A’s".
Lebih membanggakan, mereka kini telah menjadi doktor, jurutera, guru dan insan berjaya yang menyumbang kembali kepada masyarakat.
Kejayaan sebenar bukan terletak pada status atau pekerjaan ibu bapa, tetapi pada semangat, usaha dan kecekalan anak-anak itu sendiri.
(Pelajar Cemerlang STPM Tahun 2018)
INSTITUSI KELUARGA : AKAR KEPADA KECEMERLANGAN
Satu persoalan yang menarik untuk difikirkan - mengapa ada anak guru yang berjaya dan ada pula yang sebaliknya?
Daripada pengamatan saya sepanjang lebih tiga dekad bergelar pendidik, saya mendapati bahawa kebanyakan anak guru yang berjaya datang daripada keluarga yang diurus dengan baik.
Ini menunjukkan bahawa institusi keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam pertumbuhan dan perkembangan fizikal, mental dan emosi anak-anak.
Sebagai manusia biasa, tidak semua guru mampu mengurus keluarga mereka dengan sempurna. Ada yang sangat prihatin dan menitikberatkan aspek pembelajaran anak-anak, namun tidak kurang juga yang mungkin terlalu sibuk atau kurang memberi perhatian dalam hal ini.
Namun begitu, satu perkara yang saya perhatikan ialah anak-anak guru secara tidak langsung sering diingatkan untuk menjaga maruah dan nama baik ibu atau bapa mereka yang bergelar “cikgu”.
Tanggungjawab ini mewujudkan satu bentuk tekanan positif yang mendorong mereka untuk berkelakuan baik dan berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran.
Inilah kelebihan yang secara halus membentuk anak-anak guru menjadi lebih berdisiplin dan lebih sedar akan tanggungjawab mereka, bukan semata-mata kerana mereka anak guru tetapi kerana mereka dididik dalam suasana yang menjunjung nilai-nilai tersebut.
Kesimpulannya banyak faktor lain yang turut mempengaruhi pencapaian seseorang pelajar, antaranya:
Sikap dan motivasi diri pelajar
Sokongan keluarga secara umum
Persekitaran sosial dan rakan sebaya
Kualiti guru di sekolah
Keupayaan intelek dan minat terhadap pembelajaran
(Pelajar Cemerlang SPM Tahun 2019)
REFLEKSI
Sebagai seorang pendidik, kita perlu sentiasa mengingatkan diri bahawa setiap pelajar adalah seperti anak kita sendiri. Didiklah mereka sebagaimana kita mahu anak-anak kita dididik.
Guru-guru yang sanggup berkorban masa, tenaga dan bahkan wang ringgit demi kebajikan serta kejayaan anak-anak murid mereka sewajarnya dihormati dan dihargai oleh masyarakat.
Kita juga harus sedar bahawa masalah yang dihadapi oleh pelajar bukan semata-mata berpunca daripada persekitaran sekolah. Banyak isu sebenarnya berpunca daripada rumah, sama ada daripada tekanan emosi, kekurangan perhatian atau suasana yang tidak kondusif untuk belajar.
Justeru, kerjasama erat antara pihak sekolah dan ibu bapa amat penting dalam menangani masalah pembelajaran anak-anak. Hanya dengan berganding bahu, kita mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga seimbang dari segi emosi dan sahsiah.