.

Kelas Hujung Ujian Kita, Di Sana Tertulis Nilai Sebenar Seorang Guru

September 26, 20256 min read

LULUS 'CUKUP MAKAN' PUN SUDAH CUKUP MANIS

Tiada yang lebih manis bagi seorang guru selain melihat pelajar-pelajar dari kelas paling hujung - kelas yang selalu dipandang sepi dan kadang-kadang menjadi tempat 'buangan' berjaya lulus 100% dalam subjek yang diajar.

Kelas hujung ini macam-macam ragam. Ada yang datang sekolah seminggu sekali ikut angin monsun, ada yang pilih bercuti rehat setiap Isnin dan Jumaat, ada juga yang hadir tubuh saja, minda entah ke mana.

Masalah disiplin, masalah keluarga, tak minat belajar, malas - semua ada. Kadang-kadang cikgu pun terpaksa jadi kaunselor separuh masa, pelawak separuh masa dan 'polis bantuan' apabila perlu. 🤣

Ramai juga guru kalau boleh mahu elak kelas seperti ni - bukan sebab tak sayang, tapi sebab ia betul-betul mencabar. Mahu tarik minat budak-budak yang tak minat ini ibarat suruh kucing minum air limau. 🤣

Tapi, antara suka atau tidak, lambat-laun tetap juga dapat kelas macam ini. Ada yang dapat sebab ikut giliran, ada juga yang memang rela hati - cikgu jiwa besar, katanya. 😊

Yang menarik, apabila kita betul-betul usaha dan pelajar mula buka hati, walaupun sikit, itu sudah cukup buat kita tersenyum. Dari tak tahu baca, sekarang boleh jawab soalan. Dari suka buat bising, sekarang dah pandai angkat tangan tanya soalan.

Dan apabila akhirnya semua lulus, walaupun ada yang ‘cukup makan’, hati cikgu rasa penuh - puas, bangga dan terharu.

Tidak semua pelajar dalam kelas ini nakal atau malas. Ada yang baik, tapi terlalu lemah. Ada yang rajin, tapi selalu kena tenggelam dengan masalah peribadi. Dan sebab itulah, apabila mereka berjaya, walaupun sedikit, rasanya tak tergambar. Itulah hadiah paling indah buat seorang guru.

RANCANG MAHU MENGAJAR, TERSANGKUT JADI KAUNSELOR

Bayangkan, guru sudah semangat datang sekolah. RPT sudah disusun, RPH sudah lengkap, bahan bantu mengajar pun sudah print warna-warni - siap beli dari Shopee pakai duit sendiri. 🤣

Tapi baru nak mula suku jam, tiba-tiba ada drama mini meletup. Ada pelajar buat bising, ada yang tak pasal-pasal bergaduh, tidak kurang juga ‘mood’ tak baik dan ada yang asyik termenung di luar tingkap.

Ada yang tak sampai 5 minit baru lepas waktu rehat, minta kebenaran mahu ke tandas. 😡

Masalah disiplin ini bukan eksklusif untuk kelas hujung saja. Dalam kelas pandai pun, kalau muncul seorang dua ‘watak utama’ yang suka cari publisiti, boleh rosak satu kelas. Akhirnya, guru pun ajar seadanya, janji sempat habis topik.

.

(Pelajar Terlibat Dalam Program Persediaan Peperiksaan)

APABILA SEORANG BERMASALAH, SEKELAS TERKENA TEMPIASNYA

Sepanjang saya menjadi pentadbir sekolah, isu pelajar bermasalah di bilik darjah memang tak pernah berhenti. Kalau bukan dalam mesyuarat rasmi, mesti keluar juga ceritanya masa makan di kantin atau masa terserempak dengan guru di koridor.

Guru-guru sebenarnya masih boleh terima kalau ada pelajar yang kurang minat belajar. Mereka faham, tidak semua pelajar punya semangat dan kemampuan yang sama.

Tapi yang paling mencabar dan kadang-kadang paling menyakitkan kepala - ialah pelajar yang bukan saja tak mahu belajar, tapi siap ganggu cikgu mengajar dan kawan-kawan lain yang mahu belajar.

Bayangkan, cikgu dah susun pelan pengajaran cantik-cantik, semangat pun tengah tinggi. Tapi baru nak mula, diganggu pelajar yang bising, menyampuk atau sengaja buat kacau.

Ketenangan kelas pun hilang macam itu saja. Akhirnya, bukan seorang yang terkesan. Satu kelas terbabit sama.

Sebagai pentadbir, ini antara isu yang perlu ditangani berulang kali. Ia bukan sekadar soal disiplin, tapi soal menjaga ekosistem pembelajaran yang sihat dan adil untuk semua pelajar.

.

(Pelajar Fokus Menduduki Peperiksaan)

APABILA CIKGU TERGANGGU, PENTADBIR TAK BOLEH BUAT TAK TAHU

Masalah guru mengajar dalam kelas yang penuh dengan pelajar bermasalah bukanlah masalah kecil dan bukan semata-mata masalah guru sahaja.

Apabila cikgu tidak dapat mengajar dengan baik, secara automatik ia juga menjadi masalah kepada pentadbir sekolah. Dan sebagai orang yang bertanggungjawab menjaga iklim sekolah, beliau tidak boleh duduk diam.

Apabila dapat tahu ada guru yang hilang semangat sebab kelas tak terkawal, saya tak tunggu laporan bertulis. Kadang-kadang, saya sendiri turun padang – menjenguk dan memerhati mereka lebih lama dari luar kelas.

Tujuannya bukan nak tunjuk handal, tapi mahu faham sendiri apa yang cikgu-cikgu lalui dan kalau boleh, ‘aura pentadbir’ ini sedikit sebanyak dapat bantu mendisiplinkan pelajar. 🤣

Kalau keadaan masih tak berubah walaupun sudah dirujuk kepada guru kaunseling, saya tak teragak-agak untuk panggil pelajar-pelajar terbabit ke Pejabat Pengetua. Di situlah sesi ‘heart-to-heart’ berlaku - tanya apa masalah, apa yang ganggu mereka dan kadang-kadang hanya dengan diberi perhatian, mereka mula berubah.

Tapi kalau masih buntu, langkah seterusnya - ibu bapa. Kita panggil berbincang, bukan mahu hukum, tapi mencari penyelesaian. Kadang-kadang ibu bapa pun tak tahu perangai sebenar anak mereka di sekolah. Bila semua pihak duduk berbincang, barulah nampak sinar.

Pendek kata, macam-macam cara terpaksa dicuba - asalkan cikgu tak terus hilang motivasi dan pelajar lain tidak terikut-ikut dengan perangai yang merosakkan suasana kelas.

Kalau dibiarkan, masalah ini boleh jadi ‘parasit senyap’ - mula-mula satu dua pelajar, lama-lama satu kelas. Dari gangguan kecil, jadi budaya. Apabila sudah jadi budaya, mahu ubah balik bukan seminggu dua.

.

(Pelajar Sedang Mengikuti Program Persediaan Peperiksaan)

FOKUS PADA YANG MAHU BELAJAR, BUKAN YANG BUAT MASALAH

Keutamaan saya sejak dulu mudah saja - guru masuk kelas dan mengajar dengan baik. Itu prinsip yang saya pegang teguh. Sebab itu juga saya tidak pernah ambil ringan apabila ada isu pelajar yang langsung tak mahu belajar - apatah lagi tingkah laku yang sangat mengganggu guru dan pelajar lain.

Bila saya renung masalah ini dalam-dalam, saya dapati kebanyakan masa, yang buat kacau dalam kelas ini biasanya cuma segelintir saja - mungkin seorang dua atau dalam sekitar 5% daripada keseluruhan pelajar. Tapi disebabkan mereka terlalu 'menonjol', habis 95% pelajar lain yang bersedia mahu belajar pun terjejas.

Jadi, dalam setiap mesyuarat atau sesi perjumpaan, saya akan ingatkan guru-guru :

"Fokus pada 95% pelajar yang mahu belajar. Jangan biarkan 5% yang buat hal merampas seluruh kelas daripada kita."

Sebab kalau guru berjaya kekalkan minat dan perhatian 95% pelajar dalam kelas - itu sudah satu kejayaan besar. Yang 5% lagi - kita akan bantu dari sudut lain. Bukan bermakna kita abaikan mereka, tapi kita jangan benarkan mereka mengganggu hak pelajar lain yang benar-benar mahu belajar.

Kadang-kadang, kita terlalu sibuk memadam api daripada percikan yang kecil - sampai kita lupa ada ladang subur yang sedang tunggu untuk disiram. Maka siramlah yang sedia hidup. Yang terbakar itu, kita bimbing dan rawat - tapi jangan sampai ladang yang besar itu pun hangus sama.

REFLEKSI

Sebagai pentadbir sekolah, saya percaya satu perkara penting - masalah guru di dalam kelas adalah juga masalah kepada pentadbir. Dalam erti kata lain, ia adalah masalah bersama. Kita tidak boleh biarkan guru itu menghadapi masalah ini sendirian.

Kalau guru tidak dapat mengawal kelas atau berdepan tekanan emosi akibat sikap segelintir pelajar, pentadbir sekolah tidak boleh sekadar memandang dari jauh. Beliau mesti tampil memberi sokongan secara moral dan emosi.

Apabila guru tahu bahawa pihak pentadbir sentiasa berdiri di belakang mereka, mereka akan rasa lebih kuat untuk terus berjuang. Guru pun manusia biasa. Mereka perlukan sokongan, bukan sekadar arahan.

Maka, sebarang tanda awal perlu ditangani segera — bukan tunggu sampai ‘meletup’. Kerjasama guru dan pentadbir bukan sekadar perlu, ia adalah wajib.

Tanpa persefahaman ini, sekolah hanya akan jadi bangunan kosong yang penuh dengan kekecewaan. Tapi dengan sokongan menyeluruh, sekolah akan jadi tempat yang subur - agar semangat mengajar terus hidup dan harapan murid terus menyala.

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan.  Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Lian Fee Choo

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan. Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Back to Blog