BAHAGIAN 1 : “GIVE ME ANYTHING, I’LL WORK ON IT!” – KISAH TRANSFORMASI SMK KEMABONG
KATA KERAMAT YANG MENJADI AZIMAT PERJUANGAN
“Give me anything, I’ll work on it!” - inilah kata-kata keramat beliau yang sentiasa bergema dalam memori saya setiap kali berasa lelah dan penat menempuh perjalanan sebagai pendidik serta mempelajari liku-liku dunia pendidikan. Kata-kata ini diungkapkan oleh beliau dalam pertemuan pertama bersama guru-guru di SMK Kemabong.
Beliau bertubuh langsing, tinggi, melangkah dengan penuh keyakinan serta memiliki aura positif yang sentiasa terserlah. Bunyi tapak kasut beliau sahaja sudah cukup membuatkan orang di sekeliling peka akan kehadirannya. Individu yang saya maksudkan ialah Puan Lian Fee Choo, mantan Pengetua Cemerlang SMK Kemabong, Tenom, Sabah.
SMK KEMABONG DALAM LENSA TRANSFORMASI
SMK Kemabong merupakan sebuah sekolah yang terletak kira-kira 200 kilometer dari Kota Kinabalu, iaitu sekitar empat jam perjalanan merentasi Banjaran Crocker. Terletak di zon pedalaman Sabah, daerah Tenom terkenal dengan hasil agrikultur serta kopi yang menjadi kebanggaan masyarakat setempat.
Puan Lian - nama yang pasti terpahat dalam hati seluruh warga SMK Kemabong kerana besarnya impak dan perubahan yang beliau bawa, bukan sahaja kepada sekolah malah kepada masyarakat Kemabong secara keseluruhan. Beliau merupakan pengetua ke-13 dan pengetua wanita pertama dalam sejarah 47 tahun sekolah ini sejak ditubuhkan pada tahun 1974.
Puan Lian mula berkhidmat sebagai pengetua di SMK Kemabong pada 1 Mac 2011. Kehadiran beliau membawa perubahan besar dalam pelbagai aspek, khususnya dalam bidang akademik. Terlalu banyak pembaharuan dan pencapaian membanggakan yang berjaya dilaksanakan sepanjang perkhidmatan beliau di sekolah ini.
ANUGERAH NKRA : BUKTI KEJAYAAN KEPIMPINAN
Pada tahun 2010, SMK Kemabong berada di kedudukan ke-18 daripada 208 buah sekolah menengah di Sabah, namun usaha beliau berjaya meletakkan SMK Kemabong di tangga ke-64 terbaik di Sabah pada tahun 2019. Di bawah pimpinan Puan Lian, SMK Kemabong turut muncul sebagai sekolah menengah terbaik di daerah Tenom pada tahun 2014, setahun lebih awal daripada sasaran yang ditetapkan dalam Visi Sekolah.
Usaha beliau membawa perubahan dari segala aspek berjaya membuahkan hasil pada tahun 2012 apabila beliau ditawarkan Anugerah Tawaran Baharu bagi Pengetua (NKRA New Deals) atas kejayaannya melonjakkan prestasi sekolah dengan cemerlang.
INOVASI SEBAGAI IDENTITI BAHARU SEKOLAH
Puan Lian juga amat menggalakkan pelajar menceburi bidang ko-akademik kerana SMK Kemabong sememangnya sudah dikenali dalam bidang sukan dan permainan. Namun begitu, bidang ko-akademik, khususnya inovasi, masih dianggap baharu pada ketika itu.
Beliau sentiasa menyokong penglibatan murid sehingga SMK Kemabong berjaya memenangi beberapa pertandingan inovasi peringkat negeri seperti SiNDEX dan Pitch Borneo. Kemuncaknya, pasukan sekolah berjaya muncul sebagai Johan Kebangsaan dalam Young Innovators Challenge National Level di Kuala Lumpur pada November 2019.
MENGAJAR DENGAN JIWA, MEMIMPIN DENGAN HATI
Puan Lian sememangnya terbukti sebagai seorang pemimpin pemacu perubahan. Namun, yang lebih mengagumkan, beliau juga merupakan seorang pendidik yang sangat hebat. Beliau amat disenangi oleh para pelajar di dalam kelas. Walaupun memegang jawatan sebagai ketua sekolah, para pelajar tetap berasa selesa dan seronok belajar bersama beliau. Di sebalik kesibukan mengurus hala tuju sekolah, beliau turut menggalas tanggungjawab besar mengajar kelas peperiksaan SPM.
Antara yang paling saya ingat ialah kelas Ekonomi Asas yang beliau ajar sehingga berjaya melahirkan ramai pelajar dengan pencapaian gred A dalam SPM 2013. Beliau juga berjaya meningkatkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi subjek Ekonomi Asas dengan begitu cemerlang.
Selain itu, seorang pelajar PMR 2011 pernah dibimbing secara khas oleh beliau sendiri di pejabat pengetua kerana beliau berazam melihat pelajar tersebut memperoleh gred cemerlang dalam Bahasa Inggeris. Kini, pelajar itu telah berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Awam di UMS dan bertugas sebagai seorang jurutera.
SENTUHAN PEMIMPIN, LAHIR KEJAYAAN LUAR BIASA
Di bawah pentadbiran Puan Lian, SMK Kemabong buat pertama kalinya berjaya melahirkan seorang pelajar SPM yang memperoleh 10A pada tahun 2017. Pelajar tersebut kini melanjutkan pengajian dalam bidang Perubatan. Seorang lagi pelajar cemerlang dengan keputusan 10A turut dihasilkan pada tahun 2019 dan telah melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Marin di Akademi Laut Malaysia.
Terlalu banyak perkara yang menginspirasikan telah dilakukan oleh Puan Lian. Sama ada beliau sedar atau tidak, kami di sekeliling amat merasai impak setiap usaha yang beliau lakukan. Tiga orang bekas pelajar yang saya ceritakan di atas merupakan anak-anak petani dari kampung sekitar Kemabong dan Ulu Tomani. Namun, apabila mereka mendapat sentuhan dan perhatian daripada seorang pengetua yang hebat, maka lahirlah hasil yang hebat.
TEGAS PADA NADA, PRIHATIN PADA JIWA
Dengan nada tegas dan susunan kata yang rapi, Puan Lian sentiasa menyampaikan nasihat serta kisah-kisah pengajaran dalam setiap perhimpunan rasmi sekolah. Beliau juga tidak pernah jemu menekankan kepentingan pendidikan kepada semua pelajarnya.
Ibu bapa serta masyarakat sekitar turut mengagumi kepimpinan Puan Lian. Mereka merasakan Puan Lian begitu dekat di hati kerana keprihatinan beliau dalam menganjurkan pelbagai aktiviti pemuafakatan bersama ibu bapa di kampung-kampung. Beliau juga sentiasa menasihati ibu bapa agar mengutamakan pendidikan anak-anak.
Sejak Puan Lian menerajui SMK Kemabong, bilangan pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam telah meningkat. Saban tahun, puluhan bekas pelajar lepasan STPM dan SPM berjaya menyambung pengajian di universiti awam, termasuk Kolej Matrikulasi, Politeknik dan program asasi — suatu pencapaian yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.
DETIK PERPISAHAN YANG MENGUSIK JIWA
Kejayaan ini telah meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap SMK Kemabong yang kini menjadi platform terbaik untuk anak-anak memperoleh pendidikan berkualiti. Namun, sudah menjadi lumrah kehidupan, yang datang pasti akan pergi.
Pada 10 Julai 2020, Puan Lian menerima surat pelantikan sebagai Pegawai Cemerlang SIPartners + dan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah Tenom. Beliau yang pada awalnya berhasrat menamatkan kariernya di SMK Kemabong terpaksa akur demi memenuhi keperluan yang lebih besar iaitu membimbing dan berkongsi kepakaran dalam pengurusan sekolah dengan para pentadbir sekolah di daerah Tenom.
Berita perpindahan beliau tersebar begitu pantas dan amat memberi kesan kepada seluruh warga sekolah. Ibarat kapal kehilangan nakhoda, begitulah perasaan yang dirasai oleh kami semua. Masyarakat Kemabong turut terkesan sehingga dalam satu majlis perpisahan, setiap mukim menghantar wakil untuk menyampaikan cenderamata kenangan sebagai tanda penghargaan kepada beliau.
Kehilangan Puan Lian di SMK Kemabong meninggalkan satu “lompang” yang besar kerana masih banyak perubahan yang ingin beliau laksanakan sehingga persaraan wajibnya pada tahun 2023. Namun begitu, segala pengalaman serta tunjuk ajar beliau akan terus kami jadikan teladan dan pegangan dalam menggalas amanah sebagai pendidik.
KATA KERAMAT YANG TERBUKTI BENAR
Benarlah kata-kata keramat beliau, “Berilah SMK Kemabong yang ‘kosong’ kepadanya, pasti akan dicemerlangkan mengikut acuannya sendiri.” Disiplin diri beliau dalam menjalankan tugas sebagai pendidik dan pemimpin wajar dijadikan suri teladan. Sesungguhnya, Puan Lian merupakan seorang pendidik yang amat menginspirasikan bukan sahaja kepada murid dan guru, malah kepada masyarakat sekitar Kemabong.
Puan Lian juga berjaya meninggalkan satu legasi hebat yang pasti terpahat dalam memori setiap warga sekolah dan masyarakat Kemabong. Legasi tersebut akan terus menjadi inspirasi kepada orang lain untuk membawa perubahan dan mencipta kejayaan. Terima kasih, Puan Lian Fee Choo.
Jasamu tidak akan mampu kami balas. Semoga Tuhan sentiasa mengurniakan kesihatan yang baik serta kebahagiaan buat puan sekeluarga. Segala tunjuk ajar puan akan kami ingati, manakala legasi yang ditinggalkan akan kami teruskan. Semoga bidang pendidikan ini akan melahirkan lebih ramai lagi insan seperti “Lian Fee Choo” pada masa akan datang, kerana sesungguhnya puan merupakan pencetus inspirasi buat seluruh warga pendidik di Malaysia.”
# Kisah inspirasi di atas adalah hasil ilham dan nukilan Cikgu Hafizi Fazli Bakar pada awal tahun 2021.
