“NASI MAKAN SAYA” - RENUNGAN SEORANG MANTAN PENGETUA TENTANG LITERASI MURID
KERJASAMA IBU BAPA DAN SEKOLAH DALAM MEMBENTUK MASA DEPAN MURID
Setiap ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah dengan harapan yang tinggi agar mereka menjadi insan yang berilmu, berakhlak mulia dan akhirnya mampu menyumbang kepada masyarakat. Demi merealisasikan impian tersebut, ada ibu bapa yang mengambil pelbagai inisiatif luar biasa — meluangkan masa membimbing pelajaran, menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta sentiasa memberi sokongan moral kepada anak-anak.
Namun demikian, terdapat juga segelintir ibu bapa yang mengharapkan kejayaan anak-anak semata-mata tanpa diiringi usaha yang berterusan dan komitmen yang kukuh. Hakikatnya, kejayaan pendidikan anak-anak bukanlah sesuatu yang datang secara kebetulan, tetapi lahir daripada usaha bersama yang konsisten.
Tanggungjawab mendidik anak-anak bukanlah terletak pada satu pihak sahaja. Ia memerlukan kerjasama erat di antara dua pihak utama, iaitu ibu bapa dan pihak sekolah. Kedua-duanya memainkan peranan yang saling melengkapi dalam membentuk perkembangan akademik, sahsiah dan nilai kehidupan anak-anak.
Walaupun terdapat pelbagai faktor luaran yang boleh mempengaruhi minat dan motivasi anak-anak untuk belajar, hakikatnya mereka menghabiskan sebahagian besar masa di rumah dan di sekolah. Oleh itu, institusi keluarga dan institusi pendidikan perlu berganding bahu bagi memastikan proses pembelajaran dan pembentukan jati diri anak-anak berjalan dengan baik dan seimbang.
Sering timbul persoalan - peringkat persekolahan manakah yang lebih penting bagi seseorang murid — sekolah rendah atau sekolah menengah? Sebenarnya, kedua-dua peringkat ini memainkan peranan yang sama penting dalam membina perjalanan pendidikan seorang anak.
Di peringkat sekolah rendah, murid-murid dididik untuk menguasai kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira. Fasa ini menjadi asas kukuh yang menentukan keupayaan mereka untuk meneruskan pembelajaran pada tahap yang lebih tinggi.
Apabila melangkah ke peringkat sekolah menengah pula, potensi murid mula berkembang dengan lebih luas. Pada tahap ini, mereka bukan sahaja mendalami pengetahuan akademik, malah membina kemahiran berfikir, jati diri serta hala tuju masa depan.
MELANGKAH KE SEKOLAH MENENGAH TANPA ASAS LITERASI
Persoalannya, apakah yang akan berlaku sekiranya seorang murid yang telah menamatkan enam tahun persekolahan di sekolah rendah melangkah ke Tingkatan Satu, namun masih lemah dalam pembelajaran atau lebih ekstrem lagi, tidak mampu membaca dan menulis? Situasi ini pastinya menimbulkan persoalan besar - siapakah yang harus dipertanggungjawabkan terhadap keadaan tersebut?
Secara umumnya, seorang murid yang berkembang secara normal dari segi fizikal dan kognitif seharusnya mampu mengikuti pembelajaran berdasarkan kurikulum yang telah disusun. Namun, sekiranya murid tersebut masih merangkak-rangkak dalam kemahiran membaca serta mengalami kesukaran menulis, maka satu proses diagnosis perlu dilakukan. Langkah ini penting bagi mengenal pasti sama ada murid tersebut tergolong dalam kategori murid berkeperluan khas atau mengalami masalah pembelajaran tertentu, sekali gus menentukan sama ada mereka wajar ditempatkan di kelas atau sekolah pendidikan khas.
Persoalan seterusnya, apakah yang akan berlaku sekiranya murid tersebut terus meneruskan persekolahan di sekolah menengah tanpa penguasaan asas literasi? Sudah tentu murid itu akan berdepan kesukaran besar untuk mengikuti pembelajaran. Hal ini kerana di peringkat sekolah menengah, guru tidak lagi memberi penekanan kepada pengajaran suku kata atau kemahiran asas 3M. Sebaliknya, guru perlu mengajar berdasarkan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan dan semua murid diharapkan dapat mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran tanpa halangan asas.
RENUNGAN SEORANG PENGETUA: APABILA MURID MELANGKAH TANPA ASAS LITERASI
“Nasi makan saya.”
Setiap kali teringat ayat ini, hati saya terasa sayu. Susunan perkataan yang janggal ini mungkin kelihatan lucu pada pandangan pertama. Namun bagi saya, ayat ini membawa makna yang jauh lebih mendalam. Ia pernah ditulis oleh seorang murid semasa guru-guru menjalankan ujian saringan bagi menilai tahap penguasaan pembelajaran mereka. Ayat yang ringkas itu menjadi gambaran betapa masih ada anak-anak yang melangkah ke sekolah menengah tanpa penguasaan asas bahasa yang sepatutnya telah dibina sejak di sekolah rendah.
Sedih tetapi benar. Setiap tahun, apabila kira-kira 280 orang murid melangkah masuk ke Tingkatan Satu di sekolah yang saya pimpin, hampir pasti akan ada 2 – 3% murid yang masih lemah dalam kemahiran asas pembelajaran. Sebagai seorang pengetua, setiap kali berhadapan dengan realiti ini, timbul persoalan yang sukar dijawab—di manakah silapnya perjalanan pendidikan mereka?
Keadaan ini bukan sahaja menjadi cabaran kepada guru Bahasa Melayu khususnya, malah turut dirasai oleh guru-guru mata pelajaran lain. Apabila seorang murid tidak mampu membaca atau menulis, murid hanya mampu bergantung kepada pendengaran untuk memahami pengajaran guru. Tanpa bimbingan dan perhatian yang berterusan, murid ini berisiko untuk terus tercicir.
ADAKAH MASA DEPAN UNTUK MEREKA?
Adakah murid yang menulis “Nasi makan saya” itu mempunyai masa depan yang cerah? Apakah pula perasaan ibu bapa yang saban kali hadir ke sekolah untuk mengambil keputusan tahap penguasaan pembelajaran anak mereka, namun yang diterima hanyalah keputusan yang tidak memberangsangkan? Dan bagaimana pula perasaan guru-guru, sama ada di sekolah rendah mahupun sekolah menengah, apabila melihat anak didik mereka seolah-olah tidak memperoleh manfaat yang sepatutnya daripada institusi pendidikan?
Soalan-soalan ini tidak mudah untuk dijawab. Di sebaliknya tersirat pelbagai kemungkinan sebab dan akibat yang sukar dirungkai secara tuntas. Barangkali ada di antara murid ini yang masih mampu “survive” apabila dewasa kelak. Namun kelemahan dalam membaca dan menulis pastinya menjadi penghalang besar yang membataskan usaha mereka untuk melangkah lebih jauh dalam kehidupan.
Namun begitu, ada satu hakikat yang mungkin tidak ramai sedari. Murid-murid seperti ini tidak semestinya bermasalah dari segi disiplin. Malah, ada di antara mereka yang rajin hadir ke sekolah. Keadaan inilah yang sering menyentuh hati guru. Rasa simpati mendorong guru untuk meluangkan masa tambahan di luar waktu kelas bagi membimbing mereka sedikit demi sedikit.
LANGKAH KE HADAPAN : MENGESAN DAN MEMBANTU LEBIH AWAL
Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengumumkan pelaksanaan Matriks Pembelajaran Malaysia bagi murid Tahun 4. Inisiatif ini bertujuan menilai tahap penguasaan pembelajaran murid pada peringkat awal. Melalui penilaian tersebut, pencapaian murid akan dianalisis secara lebih sistematik agar langkah intervensi yang bersesuaian dapat dilaksanakan kepada murid yang dikenal pasti lemah dalam kemahiran asas.
Usaha mengenal pasti tahap penguasaan murid sebelum mereka melangkah ke sekolah menengah merupakan satu langkah yang amat penting dan wajar dipuji. Dengan pengesanan awal ini, murid yang menghadapi kesukaran dalam pembelajaran dapat diberikan bimbingan dan sokongan yang lebih tersusun sebelum mereka berdepan dengan tuntutan pembelajaran yang lebih kompleks di peringkat menengah.
Saya yakin seluruh warga pendidik menyambut baik pelaksanaan Matriks Pembelajaran Malaysia ini. Kita tidak mahu lagi melihat situasi di mana murid-murid dilepaskan begitu sahaja ke sekolah menengah tanpa penguasaan asas yang kukuh. Sekolah seharusnya menjadi tempat membina keyakinan dan potensi, bukannya medan yang membuatkan murid semakin tertinggal.
RUMUSAN
Secara keseluruhannya, penguasaan asas literasi seperti membaca dan menulis merupakan tunjang penting dalam perjalanan pendidikan seorang murid. Kelemahan dalam kemahiran asas ini bukan sahaja menjejaskan pembelajaran mereka di sekolah menengah, malah boleh membataskan peluang mereka pada masa hadapan.
Justeru, kerjasama erat di antara ibu bapa, guru dan pihak sekolah amat diperlukan bagi memastikan setiap murid mendapat bimbingan yang sewajarnya sejak di peringkat awal dan tiada lagi yang tercicir daripada arus pendidikan.
Apabila murid mempunyai asas literasi yang kukuh, proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah menengah akan menjadi lebih lancar, dan murid juga dapat mengembangkan potensi diri berdasarkan minat serta keupayaan masing-masing. Seiring dengan itu, pepatah Bahasa Inggeris yang berbunyi “Every child matters” wajar dijadikan pegangan utama dalam setiap institusi pendidikan.
