Peluang Bukan Hanya Membuka Pintu Kejayaan, Tetapi Membina Keyakinan
KESEDARAN DIRI PELAJAR SEBAGAI KUNCI KEJAYAAN
Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Tidak ketinggalan, guru juga mahukan yang terbaik untuk pelajar-pelajar mereka.
Jika seseorang pelajar mempunyai kesedaran untuk melakukan yang terbaik demi dirinya, dia pasti akan berjaya dalam pelajarannya. Ibu bapa dan guru-guru juga tidak akan menghadapi banyak masalah mendidik pelajar seperti ini.
Namun, situasi yang ideal seperti ini tidak berlaku di semua tempat. Ia bergantung kepada latar belakang sosio-ekonomi, tempat tinggal, persekitaran, pengaruh rakan sebaya, media sosial dan pelbagai faktor lain.
Semua faktor ini merupakan cabaran besar kepada para guru dalam usaha mereka mendidik pelajar yang datang daripada pelbagai latar belakang.
FASA PERKEMBANGAN PELAJAR MENGIKUT TINGKATAN
Sepanjang 3 dekad saya bertugas di sekolah menengah, saya mendapati bahawa pelajar-pelajar melalui beberapa fasa pertumbuhan yang berbeza. Pelajar Tingkatan 1 kelihatan lebih naif, masih bersikap nakal dan terbawa-bawa perangai keanak-anakan semasa dari sekolah rendah.
Pelajar Tingkatan 2 dan 3 pula berada dalam fasa yang agak mencabar kerana pada tahap inilah kenakalan mereka memuncak. Mereka baru sahaja memasuki alam remaja dan mudah terpengaruh dengan unsur-unsur negatif di sekeliling mereka.
Manakala pelajar Tingkatan 4 dan 5 biasanya menunjukkan tahap kesedaran yang lebih baik. Dari segi fisiologi dan emosi, mereka lebih stabil. Masalah disiplin dalam kalangan mereka juga tidak begitu ketara kerana pelajar pada peringkat ini sudah mengenal erti "malu". Justeru, mereka tidak mahu dimalukan oleh rakan-rakan sebaya mereka.
Dari segi pencapaian akademik, terdapat pelajar yang sentiasa cemerlang dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Namun, ada juga yang menunjukkan prestasi cemerlang di peringkat menengah rendah tetapi mula merosot apabila berada di peringkat menengah atas.
Sebaliknya, terdapat juga pelajar yang tidak menonjol di peringkat menengah rendah, tetapi beransur-ansur menunjukkan pencapaian cemerlang di peringkat menengah atas.
Senario seperti ini amat menarik dan pastinya terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada perubahan tersebut.

(Bakat Terpendam Yang Menyerlah Apabila Diberikan Peluang)
PERANAN KESEDARAN DIRI DALAM KEJAYAAN AKADEMIK
Saya ingin mengkongsikan cerita seorang pelajar yang tidak begitu menonjol sewaktu berada di Tingkatan 1 – 3. Pelajar ini tidak menunjukkan minat untuk belajar, selalu tidak menyiapkan latihan dan ada kalanya tertidur di dalam kelas.
Namun jika dilihat semula pencapaian akademik pelajar ini di sekolah rendah, dia sebenarnya seorang pelajar yang berpotensi cemerlang.
Kesedaran untuk belajar hanya timbul setelah dia mendapat keputusan yang lemah dalam PT3 dan tidak melayakkannya ke aliran sains. Pelajar ini berasa kecewa dan sedih kerana rakan-rakannya yang lain dapat memasuki aliran sains.
Namun begitu, satu kekuatan pelajar ini ialah dia tidak mahu mengalah. Dia berusaha berjumpa pengetua dan guru-gurunya untuk merayu agar diberikan peluang menyertai aliran sains.
Akhirnya pengetua sekolah membenarkannya memasuki aliran sains dengan syarat dia perlu menandatangani satu perjanjian bertulis. Dalam perjanjian itu, pelajar ini dikehendaki menunjukkan pencapaian yang baik dalam ujian pertama dan peperiksaan penggal pertama.
Sejak itu, pelajar ini mula belajar bersungguh-sungguh. Salah satu syarat dalam perjanjian tersebut turut menyatakan bahawa sekiranya prestasinya tidak mencapai tahap yang ditetapkan, dia secara sukarela akan dipindahkan ke aliran kemanusiaan.
Disebabkan asas pembelajarannya agak lemah, pelajar ini menghadapi kesukaran untuk mengikuti pembelajaran dalam aliran sains. Oleh itu, dia mengambil inisiatif mencari guru tuisyen sendiri dan mula menunjukkan kemajuan positif dalam pelajarannya.
Apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, pelajar ini berjaya memperoleh A+ untuk Matematik, Fizik, Kimia serta A untuk Matematik Tambahan dan Biologi.
Jelaslah bahawa keinginannya untuk berada dalam aliran sains bukan sekadar angan-angan - dia telah membuktikan kemampuannya dengan kejayaan yang cemerlang dalam subjek sains tulin.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada Pengetua, guru-guru subjek dan guru-guru tuisyen yang telah mendidik pelajar ini untuk berusaha yang terbaik untuk dirinya.

(Pasukan Inovasi Melangkah Lebih Jauh Apabila Diberikan Peluang)
PERJANJIAN YANG MENGUBAH NASIB
Rupa-rupanya perjanjian yang ditandatangani ketika pelajar itu memasuki aliran sains telah menjadi peringatan yang kuat kepadanya untuk belajar secara serius. Semudah itu sahaja - ibu bapanya tidak perlu melakukan apa-apa kerana pelajar ini berusaha atas kemahuannya sendiri.
Kadangkala, ibu bapa tidak seharusnya terlalu memanjakan anak sehingga anak itu tidak tahu berdikari. Ada baiknya juga jika anak-anak sendiri menyedari kesilapan mereka dan mencari jalan untuk memperbetulkan keadaan.
Oleh itu, apabila seorang anak menghadapi kesukaran, dia akan terdorong untuk berusaha sendiri tanpa dipaksa oleh guru atau ibu bapanya. Akauntabiliti yang tinggi ini membentuk nilai tanggungjawab dalam dirinya.
Saya suka berkongsi cerita ini kerana pelajar yang saya ceritakan tadi sebenarnya ialah anak saya sendiri. Perjanjian yang ditandatanganinya dengan pihak sekolah itu adalah dokumen perjanjian yang saya sendiri wujudkan ketika pernah menjadi pengetua di sekolah tersebut.
Perjanjian itu memang digunakan untuk kes-kes serupa, di mana saya akan meminta pelajar dan ibu bapa menandatangani dokumen ini bagi memastikan komitmen pelajar terhadap pembelajaran dalam aliran sains.
Iktibarnya, kita sebagai pendidik seharusnya membuka ruang dan peluang kepada pelajar untuk belajar dalam aliran sains walaupun mereka tidak memenuhi syarat kelayakan asal - dengan syarat mereka bersedia mematuhi segala terma dalam perjanjian itu.
Bak kata orang, kita akan menuai apa yang kita semai. Saya sendiri tidak menyangka bahawa perjanjian yang saya hasilkan lebih sedekad yang lalu akhirnya menjadi penyelamat kepada anak sendiri.
Saya bersyukur kerana perjanjian itu masih digunakan di sekolah tersebut. Saya juga tidak tahu berapa ramai pelajar yang telah "diselamatkan" dan mendapat peluang belajar di aliran sains kerana akur kepada perjanjian itu.
REFLEKSI
Pengalaman saya sebagai pendidik selama tiga dekad memberi peluang untuk melihat sendiri pelbagai fasa perkembangan pelajar di sekolah menengah. Setiap peringkat umur datang dengan cabaran dan potensi tersendiri.
Apa yang paling memberi kesan ialah melihat bagaimana sesetengah pelajar mampu berubah apabila diberi peluang dan kepercayaan.
Kisah anak saya sendiri menjadi bukti bahawa kesedaran dalaman, disertai sedikit dorongan dan sistem sokongan seperti perjanjian bertulis, mampu mencetuskan perubahan besar dalam diri pelajar.
Tindakan kecil yang bersifat tegas tetapi penuh harapan seperti ini boleh menjadi pemangkin kejayaan, bukan sahaja untuk anak saya, tetapi juga ramai pelajar lain yang pernah diberi peluang yang sama.
Sebagai pendidik kita tidak seharusnya melihat kepada pencapaian semasa seseorang pelajar, potensi dan kesungguhan yang timbul daripada sesuatu kegagalan juga perlu diambilkira.
Kita perlu mencipta ruang untuk mereka membuktikan kemampuan diri. Saya bersyukur kerana benih yang ditanam dahulu telah membuahkan hasil, bukan sahaja untuk orang lain, malah untuk anak saya sendiri.
