PERANCANGAN STRATEGIK SEKOLAH : BUDAYA KERJA YANG MENGUBAH WAJAH SEKOLAH
LANGKAH AWAL TRANSFORMASI SEKOLAH
Visi Sekolah untuk menjadi Sekolah Cemerlang di Peringkat Daerah Tenom menjelang tahun 2015 telah terjawab pada tahun 2014, setahun lebih awal – berkat pegangan kukuh warga sekolah terhadap Perancangan Strategik yang digerakkan bermula tahun 2012.
Gred Purata Sekolah (GPS) bagi SPM di SMK Kemabong (SMKK) dari 2011 sehingga 2021 menunjukkan perkembangan positif dan dinamik. Ia menandakan semakin ramai pelajar mencapai keputusan cemerlang dari segi kuantiti dan kualiti.
Kejayaan ini lahir daripada usaha gigih serta komitmen padu seluruh warga sekolah iaitu guru, pelajar, staf sokongan, sehinggalah kepada ibu bapa dan masyarakat setempat.
Sejak saya mula memimpin SMKK pada tahun 2011, saya sedar bahawa transformasi akademik memerlukan perancangan strategik yang tersusun. Maka lahirlah Pelan Strategik Sekolah 2012–2016, yang kemudiannya disambung dengan Pelan Strategik 2017–2021.
Walaupun saya telah meninggalkan SMKK pada tahun 2020, kecemerlangan SPM tahun 2020 hingga 2024 tetap diteruskan di bawah kepimpinan baharu - bukti bahawa budaya kecemerlangan telah berjaya berakar kukuh di SMKK.

(Blok Akademik Sekolah)
PSS: LEBIH DARIPADA SEKADAR DOKUMEN RASMI
Setiap tiga atau lima tahun, sekolah lazimnya akan mula sibuk menyediakan Perancangan Strategik Sekolah (PSS) yang baharu. Namun, sejauh manakah kepentingannya? Bolehkah sesebuah sekolah beroperasi tanpa PSS?
Sehingga kini, setiap peserta kursus NPQEL (National Professional Qualification for Educational Leaders) diwajibkan mengikuti sesi latihan berkaitan PSS sebagai persediaan menjadi pentadbir sekolah. Sebagai bakal pengetua, mereka perlu menguasai ilmu dan kemahiran untuk memimpin guru-guru menyediakan serta melaksanakan strategi yang dirancang.
Penyediaan PSS bukan tugas mudah. Ia menuntut kerjasama seluruh warga sekolah – bermula dengan mesyuarat, perbincangan hingga ke bengkel berperingkat sebelum dokumen lengkap disiapkan dan dibukukan untuk digunakan.
Lebih daripada sekadar dokumen rasmi, PSS perlu difahami, dihayati dan dilaksanakan dengan komitmen tinggi. Pelan Taktikal dan Pelan Operasi yang digubal menjadi panduan tindakan. Apabila dibudayakan dengan betul, PSS membantu sistem kerja sekolah menjadi lebih teratur, berfokus dan berimpak.
DARIPADA BEBAN KEPADA BUDAYA KERJA STRATEGIK
Tidak dapat dinafikan bahawa penyediaan Perancangan Strategik Sekolah (PSS) merupakan tanggungjawab besar bagi pihak sekolah. Namun, kebanyakan sekolah kini sudah memiliki PSS masing-masing. Apabila PSS dibudayakan dengan baik, ia menjadi amalan rutin dan tidak lagi dianggap sebagai beban.
Ada pentadbir sekolah bukan sahaja berjaya menyediakan PSS dan melaksanakan program seperti yang dirancang dalam Pelan Operasi, malah melangkah lebih jauh dengan menilai keberkesanan PSS pada setiap akhir tahun. Langkah ini membolehkan impak terhadap prestasi sekolah dikenal pasti dan ditambah baik.
Tidak hairanlah, sekolah yang mengamalkan pendekatan ini lazimnya memiliki sistem pengurusan yang lancar serta pencapaian yang konsisten kerana berada di landasan betul.
PERANAN PENTADBIR DALAM KEPIMPINAN STRATEGIK
Semasa saya memimpin SMKK, saya mula menggerakkan guru dan staf sokongan untuk menyediakan Perancangan Strategik Sekolah (PSS) bagi semua bidang pengurusan sekolah.
Memandangkan kebanyakan guru belum sepenuhnya mahir dalam penyediaan PSS, langkah pertama yang diambil ialah menganjurkan Bengkel PSS bagi memberi pendedahan awal dan kefahaman yang menyeluruh.
Setelah itu, proses penyediaan PSS digerakkan secara terancang. Bagi memastikan dokumen ini siap dalam tempoh yang ditetapkan, pelaksanaannya perlu sentiasa dipantau dan dikemaskini dari semasa ke semasa.
Tanggungjawab ini tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada guru atau staf sokongan. Pentadbir sekolah harus memimpin dan membimbing proses ini hingga selesai, kerana tanpa kefahaman mendalam tentang PSS, pentadbir tidak akan dapat menggerakkan sekolah ke arah matlamat strategik yang ditetapkan.


(Visi Sekolah Berjaya Dicapai Dengan Pengiktirafan - Anugerah Sekolah Cemerlang)
PERANCANGAN STRATEGIK DISESUAIKAN MENGIKUT KONTEKS SEKOLAH
Mengapakah PSS penting? Bagi sekolah berprestasi rendah, PSS menjadi panduan utama untuk merancang transformasi yang berkesan. Melalui proses sumbangsaran, isu-isu strategik dapat dikenal pasti dan ditangani dengan strategi pelaksanaan yang terancang.
Berdasarkan data yang dikumpul, sasaran sekolah boleh dirangka mengikut tempoh masa tertentu. Dengan adanya strategi yang jelas, program dan aktiviti dapat diatur bagi memastikan pelaksanaannya berjalan seperti dirancang.
PSS juga relevan kerana ia berpaksikan punca masalah sebenar dan dirancang mengikut keperluan serta konteks sekolah. Oleh itu, setiap PSS berbeza antara sekolah, bergantung pada tahap pencapaian pelajar, kualiti guru, prasarana dan cabaran setempat.
Pendek kata, setiap sekolah perlu membina PSS sendiri - bukan meniru dari sekolah lain.
KEJAYAAAN MELALUI PENGHAYATAN PSS
Saya amat berterima kasih kepada semua guru dan staf sokongan di SMKK kerana berjaya menghasilkan PSS yang lengkap dan dilaksanakan dengan berkesan. Mereka benar-benar menghayati PSS dan pelbagai strategi yang digerakkan telah membuahkan hasil yang membanggakan.
Sekolah mencapai sasaran terutama dalam bidang akademik. Menariknya, hasil positif mula kelihatan seawal tahun kedua pelaksanaan PSS - bukti komitmen dan kesepakatan warga sekolah.
Saya masih jelas mengingati seorang guru yang bertanya, “Puan, sasaran kita telah dicapai lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan. Adakah sasaran untuk tahun berikutnya perlu diubah?”
Secara tidak langsung, persoalan itu merujuk kepada keperluan menyemak semula keseluruhan sasaran dalam PSS berdasarkan pencapaian semasa. Pencapaian awal bukan petanda sasaran perlu disemak semula, sebaliknya mencerminkan kejayaan dan keupayaan sekolah mengatasi sasaran lebih awal daripada yang ditetapkan.
Hakikat ini membuktikan kekuatan PSS sebagai satu pelan strategik yang berkesan, bukan sahaja dalam menetapkan hala tuju yang jelas, malah dalam menyemai keyakinan, menyuntik motivasi dan menggalakkan warga sekolah untuk terus melangkah maju.

(Barisan Kepimpinan Sekolah Tahun 2019)
USAHA BERSAMA, KEJAYAAN BERSAMA
Pokoknya, PSS banyak membantu SMKK merangka tindakan secara sistematik bagi menangani isu-isu lama yang membelenggu sekolah. Melalui pelaksanaan PSS, guru semakin yakin bahawa program yang dirancang berasaskan data dan isu sebenar mampu mempercepatkan proses penyelesaian masalah.
Memandangkan PSS merupakan hasil usaha bersama, kejayaannya juga milik bersama. Kita tidak mahu program atau aktiviti dijalankan secara ad hoc, spontan atau sekadar meniru idea sekolah lain. PSS memastikan setiap langkah yang diambil berasaskan perancangan yang terarah, berimpak serta mengikut acuan sekolah sendiri.

(Visi Sekolah Menjadi Realiti)
REFLEKSI
Pembudayaan Perancangan Strategik Sekolah boleh diumpamakan seperti pepatah, “Jangan berikan saya ikan, tetapi ajarlah saya memancing.” Apabila guru diajar menyediakan dan menggunakan PSS, mereka memiliki ilmu serta kemahiran untuk menyelesaikan isu secara bijaksana tanpa bergantung sepenuhnya kepada arahan orang lain.
Kejayaan pelaksanaan PSS juga amat bergantung kepada kepimpinan pentadbir sekolah. PSS hanya akan berkesan jika pentadbir memahami konsepnya, mampu meyakinkan warga sekolah, serta memimpin penyediaan dan pelaksanaannya secara sistematik.
Apabila dilaksanakan dengan betul, sekolah akan mencapai hasil yang dihasratkan. Kejayaan ini membina keyakinan guru bahawa usaha mereka membuahkan hasil dan seterusnya menjadi pendorong untuk melaksanakan program yang lebih berkualiti. Keyakinan itu juga mencerminkan kepercayaan terhadap kepimpinan sekolah.
