.

Setiap Permulaan Baharu Membawa Harapan Baharu

October 17, 20254 min read

MENANTI PENGETUA BAHARU : ANTARA HARAPAN DAN KEBIMBANGAN

Pengetua di sekolah anda akan berpindah atau bersara tidak lama lagi? Adakah anda berasa sedih, gembira atau berdebar-debar menanti siapakah yang bakal menggantikan tempat beliau?

Biasanya, jika pengetua itu seorang yang baik dan disenangi ramai, kita akan berasa sedih kerana kehilangan seorang pemimpin yang dihormati.

Namun, jika pengetua tersebut tidak menunjukkan kepimpinan yang berkesan dan tidak membawa sebarang kemajuan kepada sekolah, mungkin ada yang berasa lega atau bahkan gembira dengan pemergiannya.🤣

Persoalannya, mengapa guru-guru sering berasa was-was dan takut-takut apabila memikirkan siapa pengetua baharu yang akan menggantikan tempat yang kosong itu?

Kebiasaannya, sebaik sahaja tersebar berita mengenai pertukaran atau persaraan pengetua, topik tentang siapa pengganti yang bakal menyusul akan menjadi perbualan hangat dalam kalangan guru-guru.

Maka muncullah ramai "tukang nujum" - masing-masing membuat andaian dan ramalan seolah-olah mereka lebih mengetahui siapa calon yang akan mengisi kekosongan tersebut. 🤣

SPEKULASI BERMULA

Semasa saya masih seorang guru biasa, saya sudah terbiasa mendengar perbualan guru-guru yang sibuk meneka siapa calon pengetua baharu yang akan menggantikan tempat sedia ada.

Biasanya, pelbagai khabar angin mula tersebar - ada yang mengatakan pengetua itu, ada pula yang menyebut pengetua ini yang akan masuk ke sekolah.

Yang menariknya, apabila sesuatu nama mula disebut-sebut, guru-guru pun akan segera menyelidik latar belakang calon tersebut. Mereka mahu tahu sama ada pengetua baharu itu seorang yang lemah lembut atau tegas orangnya.

Soalan yang kerap ditanya: “Dia jenis kuat bekerja atau sekadar memanaskan kerusi?” Pelbagai lagi tanggapan akan muncul, walaupun hakikatnya tiada sebarang pengesahan rasmi daripada mana-mana pihak.

Walaupun perkara ini sudah menjadi lumrah dalam budaya sekolah, tidak dapat dinafikan bahawa semua guru sebenarnya ternanti-nanti siapa yang bakal menerajui kepimpinan sekolah.

Biasanya, guru yang menjalankan tugas dengan baik dan berintegriti tidak terlalu memikirkan siapa pengetua baharu itu. Bagi mereka, siapapun yang datang, tanggungjawab tetap perlu dilaksanakan dengan penuh amanah.

Sebaliknya, guru yang sering culas, suka "curi tulang" dan mengajar sekadar melepaskan batuk di tangga, akan lebih risau. 🤣

Mereka bimbang sekiranya pengetua baharu itu seorang yang tegas dan berdisiplin, mereka perlu keluar daripada zon selesa dan mula menyesuaikan diri dengan suasana kerja yang lebih mencabar dan berstruktur.

.

(Ucapan Pengetua Dalam Majlis Rasmi Sekolah Tahun 2010)

PANDANGAN AWAL YANG DIPENGARUHI PERSEPSI

Apabila saya pula dipindahkan ke Sekolah B sebagai pengetua, saya dimaklumkan oleh salah seorang penolong kanan di sekolah itu bahawa sebahagian guru telah mendapatkan latar belakang saya dari sekolah lama.

Mereka menghubungi rakan-rakan guru yang mereka kenali di sekolah lama saya dan bertanyakan tentang cara saya bekerja.

Antara yang paling saya ingat ialah satu tanggapan yang tersebar - “Pengetua baharu itu tegas orangnya dan tidak suka memberi markah prestasi yang tinggi.”

Apabila mendengar perkara itu, saya hanya mampu tersenyum. Dalam hati, saya terfikir, "Ini mungkin datang daripada guru-guru yang bimbang dengan prestasi mereka sendiri.”

Logikkah seorang guru berasa risau tentang markah prestasi jika dia benar-benar menjalankan tugas dengan cemerlang?

Apa pun yang diperkatakan, saya tidak mengendahkan kata-kata negatif itu. Saya juga tidak merasa perlu untuk membetulkan persepsi mereka terhadap diri saya.

Saya percaya, lambat-laun mereka sendiri akan dapat menilai dan melihat sama ada benar atau tidak maklumat yang mereka terima dari sumber luar itu.

.

(Ucapan Pengetua Dalam Majlis Rasmi Sekolah Tahun 2018)

CAHAYA DARI KERUSI KEPIMPINAN

Apa pun yang diperkatakan, guru-guru sebenarnya tidak mempunyai kuasa atau kawalan terhadap siapa yang bakal menduduki kerusi sebagai pengetua baharu.

Ramalan dan perbualan yang timbul akhirnya hanya menjadi omong-omong kosong. Yang datang, tetap akan datang.

Memang tidak dinafikan, kehadiran seorang pengetua baharu memberi impak yang begitu besar kepada seluruh warga sekolah.

Justeru, kita tidak boleh menyalahkan guru semata-mata dalam hal ini. Tanggapan mereka ada asasnya kerana mereka cuma bimbang akan prestasi sekolah sekiranya dipimpin oleh seorang pengetua baharu.

.

(Sambutan Hari Keluarga Tahun 2017)

Fred M. Hechinger pernah berkata :

“Sepanjang kerjaya saya sebagai wartawan, saya tidak pernah melihat sekolah yang baik dipimpin oleh pengetua yang lemah atau sekolah yang lemah dipimpin oleh pengetua yang baik.”

“Saya telah melihat sekolah-sekolah yang tidak berjaya diubah menjadi sekolah cemerlang. Dan yang lebih menyedihkan, sekolah-sekolah terkemuka pula boleh merosot dengan cepat.”

“Dalam setiap kes, jatuh bangunnya sesebuah sekolah dengan mudah boleh dikaitkan dengan kualiti seorang pengetua.”

Kata-kata ini wajar menjadi peringatan kepada semua pengetua bahawa mereka ibarat lilin yang membawa cahaya baharu - menerangi jalan, memberi arah dan menjadi inspirasi buat seluruh warga sekolah.

Akhirnya, marilah kita sebagai pendidik sentiasa bersikap terbuka menerima perubahan, berlapang dada dalam menghadapi perbezaan dan bersedia untuk terus belajar dan berkembang demi kebaikan anak-anak didik kita.

.

(Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Sekolah Tahun 2017)

REFLEKSI

Pertukaran pengetua sering menjadi topik hangat dalam kalangan warga sekolah. Tanggapan awal, sama ada positif atau negatif, biasanya muncul sebelum pengetua baharu memulakan tugas.

Sebagai pemimpin, saya sedar bahawa reputasi dan prestasi kerja terdahulu boleh mempengaruhi penerimaan warga sekolah terhadap kehadiran seorang Pentadbir Sekolah.

Baik guru mahupun pengetua, kedua-duanya tidak perlu mempunyai tanggapan awal yang negatif di antara satu sama lain. Sebaliknya, berikan masa dan ruang untuk setiap individu membuktikan apa yang mampu mereka sumbangkan demi kemajuan sekolah.

Kita semua, tidak kira sama ada guru atau pengetua, perlu bersikap terbuka dan profesional. Jangan membuat penilaian awal tanpa mengenali satu sama lain.

Saya percaya persepsi boleh diperbetulkan melalui tindakan jika kedua-dua pihak mempunyai persefahaman dan matlamat yang sama untuk mencipta kecemerlangan sekolah.

Berikan ruang kepada orang baharu. Yang pasti setiap pertukaran membawa peluang baharu untuk berkembang, berkongsi pengalaman dan mencipta kejayaan bersama.

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan.  Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Lian Fee Choo

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan. Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Back to Blog