.

PESONA HAINAN : DARI HAIKOU KE SANYA, DARI LEGENDA KE KEAJAIBAN

May 08, 20265 min read

PANGGILAN KE HAINAN : PERCUTIAN SINGKAT KE ‘HAWAII CHINA’

Apabila seorang rakan rapat bertanya, “Mahukah ikut melancong ke Hainan?” Aku tidak memerlukan masa yang panjang untuk memberikan jawapan. Peluang sebegitu jarang datang dua kali. Tambahan pula, tempoh lawatan ini hanya lima hari tiga malam - cukup singkat untuk sebuah percutian yang menyegarkan minda.

Cuaca di Hainan juga sangat menyenangkan, tidak terlalu sejuk dan tidak pula terlalu panas. Sepanjang kunjungan kami, suhu sekitar 16 hingga 24 darjah Celsius - suasana yang cukup selesa untuk berjalan-jalan dan menikmati keindahan pulau tersebut.

Walaupun jadual penerbangan sedikit mencabar - penerbangan pergi pada jam 10.35 malam dan penerbangan pulang seawal 3.00 pagi - namun ia tidak menghalang keterujaan kami. Tambahan pula, pakej pelancongan yang ditawarkan sangat berbaloi, hanya sekitar RM1680. Penginapan yang disediakan sekurang-kurangnya hotel bertaraf empat bintang, manakala hidangan makanannya juga menarik dan memuaskan.

Hainan ialah sebuah pulau yang tidak begitu besar, dengan keluasan kira-kira 35,000 kilometer persegi. Ia merupakan pulau kedua terbesar di China selepas Taiwan. Terletak di bahagian paling selatan negara itu, Hainan sering digelar “Hawaii China” kerana iklim tropikanya yang nyaman serta pantai-pantainya yang panjang dan mempesona.

Pulau ini dihuni oleh kira-kira 10 juta penduduk. Pesawat kami akhirnya mendarat di Haikou, sebuah bandar yang agak usang kerana sarat dengan sejarah, namun kini telah berkembang menjadi bandar moden. Haikou juga merupakan ibu kota Wilayah Hainan dan pintu masuk utama bagi para pengunjung yang ingin mengenali pulau ini.

PESONA HAINAN: DARI HAIKOU KE SANYA

Di Hainan, aku berpeluang berjalan-jalan di Haikou Qilou Old Street, menikmati hembusan angin sejuk di tepi pantai, merasai makanan tempatan yang lazat serta membeli-belah pelbagai barangan menarik. Disebabkan Hainan merupakan sebuah pulau yang dikelilingi pantai, pokok kelapa menjadi pemandangan yang biasa di sini. Tidak hairanlah banyak produk tempatan berasaskan kelapa dijual di Hainan seperti gula-gula kelapa, minuman susu kelapa, kopi bersusu kelapa, biskut kelapa dan pelbagai lagi hasil olahan yang memikat selera.

Setibanya di Sanya, sebuah bandar yang diklasifikasikan sebagai bandar peringkat wilayah (menurut konteks Negara China), aku berpeluang mencuba satu lagi pengalaman menarik yang termasuk dalam pakej pelancongan - Helicopter Tour. Aku sempat menaiki helikopter untuk melihat pemandangan sekitar Haitang Bay dari udara. Walaupun hanya berada di udara selama kira-kira satu minit, pengalaman menaiki helikopter buat pertama kali dalam hidup benar-benar mengujakan dan sukar dilupakan.

Seterusnya, aku berpeluang menyaksikan sebuah pertunjukan kebudayaan yang sangat mengagumkan di Sanya Romance Park. Persembahan ini mempamerkan gabungan sejarah dan seni yang menghidupkan kisah silam Hainan dengan begitu dramatik. Bagi aku, pertunjukan ini layak diberikan penarafan lima bintang kerana menampilkan gabungan muzik, tarian dan kesan visual yang sangat memukau, seolah-olah membawa penonton merentasi perjalanan sejarah pulau tersebut.

(Bersiar-siar di Haikou Qilou Old Street)

DUA IKON SANYA : GUANYIN NANSHAN DAN BUKIT LUHUITOU

Salah satu tempat yang menarik ramai pelancong di Hainan ialah Nanshan Cultural Tourism Zone, di mana patung Guanyin setinggi 108 meter berdiri megah di tengah lautan. Patung ini merupakan salah satu mercu tanda paling terkenal di pulau tersebut. Walaupun kawasan ini menawarkan suasana yang berunsur spiritual, ia tetap menjadi tumpuan para pelancong yang ingin menyaksikan sendiri keunikan seni bina serta keindahan persekitarannya.

Seterusnya, Bukit Luhuitou juga merupakan mercu tanda yang terkenal di kota Sanya. Menurut kisah legenda tempatan, seorang bidadari telah jatuh cinta kepada seorang pemburu muda daripada suku kaum Li. Untuk menarik perhatian si pemburu, bidadari tersebut menjelmakan dirinya sebagai seekor rusa.

Dikisahkan pemburu itu mengejar rusa tersebut merentasi 99 buah gunung dan 99 buah sungai. Akhirnya, rusa itu terperangkap di tepi laut tanpa jalan untuk melarikan diri. Pada saat itu, rusa tersebut memusingkan kepalanya ke belakang.

Pemburu itu lalu melepaskan anak panahnya. Namun dalam sekelip mata, rusa tersebut berubah menjadi seorang gadis yang sangat cantik. Kedua-duanya akhirnya jatuh cinta dan berkahwin. Dari situlah tempat ini mendapat namanya, Luhuitou yang bermakna “Deer Looking Back”, sempena kisah legenda tersebut.

Dari puncak bukit ini, terutama pada waktu malam, pemandangan kota Sanya kelihatan begitu mempesona. Seluruh bandar bermandikan cahaya lampu, udara malamnya nyaman, dan dari kejauhan kelihatan Phoenix Island, sebuah kawasan pembangunan mewah yang pernah digelar sebagai “Dubai of the East.”

(Nanshan Cultural Tourism Zone)

WARISAN BUDAYA SUKU KAUM LI DAN MIAO

Lawatan ke Hainan terasa tidak lengkap tanpa singgah di Binglanggu Li and Miao Cultural Heritage Park. Salah satu tarikan istimewa di sini ialah beberapa buah rumah contoh yang dibina menggunakan tanah liat, yang mempamerkan cara hidup serta budaya tradisional masyarakat tempatan dahulu kala.

Di kawasan ini, para pelancong berpeluang menyaksikan wanita-wanita berusia antara 70 hingga 80 tahun yang masih mempunyai tatu tradisional pada wajah dan tubuh mereka. Mereka mempersembahkan pelbagai kemahiran warisan seperti menganyam, menenun, mewarnakan kain serta menghasilkan sulaman tangan yang halus.

Menurut kisah yang diceritakan, suku kaum Li mempunyai satu amalan unik. Apabila seorang gadis mencapai usia sekitar 14 tahun, iaitu apabila menginjak ke alam dewasa, mereka akan ditatu pada wajah. Dahulu, semakin banyak tatu yang dimiliki seseorang wanita, semakin tinggi nilai kecantikannya dan semakin menjadi perhatian para jejaka.

Corak tatu yang dilukis juga melambangkan identiti keluarga. Melalui tatu tersebut, mereka dapat mengenali asal-usul serta pertalian saudara-mara. Namun begitu, amalan tradisi ini semakin pudar seiring dengan perubahan zaman dan pengaruh kemodenan yang semakin kuat.

(Sajian Makanan Tradisional di Binglanggu Li and Miao Cultural Heritage Park)

PENUTUP : REZEKI TAK TERDUGA DI PULAU HAINAN

Disebabkan Hainan diiktiraf sebagai zon dagang bebas, terdapat pelbagai produk tempatan berkualiti tinggi yang ditawarkan kepada para pengunjung. Antaranya ialah minyak ikan yu yang dikatakan mampu membantu membersihkan pembuluh darah. Selain itu, terdapat juga sebuah taman bunga ros yang sangat luas iaitu Yalong Bay International Rose Valley.

Di sini, bunga ros bukan sekadar dinikmati keindahannya, malah dijadikan pelbagai produk seperti minyak wangi, minyak pati serta produk penjagaan wajah. Harga yang ditawarkan mungkin agak tinggi, namun kualiti produk yang dihasilkan sememangnya setimpal.

Aku sempat membeli beberapa produk tersebut. Lucunya, wang yang dibawa hampir kehabisan kerana pada awalnya aku tidak merancang untuk membeli banyak. Namun, satu kejutan yang tidak disangka berlaku apabila pemandu pelancong dari China, saudara Bobby yang mengetuai rombongan kami dengan rela hati membayar terlebih dahulu bagi pihak kami - jumlahnya pula bukan sedikit, mencecah ribuan.

Mungkin beliau tidak mahu kami pulang dengan rasa kecewa. Walaupun kami baru sahaja mengenalinya selama beberapa hari, beliau tetap mempercayai kami. Mujurlah urusan pembayaran tidak begitu sukar kerana semuanya boleh dilakukan melalui kod QR. Sebaik sahaja pulang ke tanah air, aku terus melunaskan bayaran tersebut menggunakan TnG.

Sesungguhnya kebaikan kecil seperti ini meninggalkan kenangan yang besar di hati. Semoga Tuhan memberkati beliau dan sentiasa mempermudahkan segala urusannya.

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan. Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Lian Fee Choo

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan. Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Back to Blog