PROFESIONALISME MELALUI TEGURAN DAN PENGHARGAAN
KESIAPSIAGAAN PEMBUKAAN SEKOLAH
Seperti biasa, apabila sesi persekolahan baharu dibuka, semua sekolah akan memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap optimum. Ketetapan juga dibuat bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) bermula sebaik sahaja loceng kedua berbunyi. Tiada lagi urusan mendaftar murid, menyusun meja dan kerusi, mengagihkan buku teks atau mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah.
Suasana pembukaan sekolah turut “diserikan” dengan lawatan pegawai-pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri. Bimbingan serta pemantauan akan dilaksanakan bagi memastikan sekolah benar-benar bersedia memulakan persekolahan. Lazimnya, prestasi sekolah dalam aspek ini direkodkan melalui instrumen khas yang disediakan.
Setelah hampir sebulan bercuti, guru dan murid kembali bersemangat untuk memulakan sesi baharu. Guru-guru lazimnya akan membuat persiapan pengajaran yang mencukupi, manakala murid pula hadir dengan motivasi baharu apabila ditempatkan di kelas masing-masing.
LAWATAN PEMANTAUAN OLEH PENGARAH PENDIDIKAN SABAH
Sekolah yang saya pimpin, SMK Kemabong, terpilih sebagai salah sebuah sekolah pilihan Pengarah Pendidikan Sabah untuk dijadikan pusat pemantauan pembukaan sekolah di Daerah Tenom. Pada 12 Januari 2015, hari pertama sesi persekolahan dibuka, Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip, disambut meriah di pintu pagar sekolah. Bersama beberapa orang pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri, beliau memulakan lawatan di sekitar kawasan sekolah termasuk bilik darjah dan bilik-bilik khas.
Ketika itu, Datuk Pengarah menyatakan hasrat untuk melawat bilik-bilik darjah bagi melihat pelaksanaan PdP. Saya pun mengiringi beliau ke Blok Akademik setinggi tiga tingkat dan kami berjalan perlahan-lahan sambil berbual santai. Semasa menaiki anak tangga, Datuk Pengarah tiba-tiba berbisik perlahan kepada saya, “Puan Pengetua, ada pokok di atas bumbung.” Dengan wajah yang mendongak ke atas serta jelingan mata yang ditunjukkan, saya turut menangkap kelibat “pokok” yang dimaksudkan oleh beliau.
Keesokan harinya, saya mengarahkan pekerja pembersihan mengambil tindakan segera untuk membersihkan “pokok” tersebut. Sejak peristiwa itu, saya lebih peka terhadap sebarang tumbuhan yang muncul di atas bangunan, khususnya di kawasan pancuran air. Begitu juga dengan pekerja pembersihan, selepas insiden tersebut, saya tidak lagi perlu memberi apa-apa arahan, seolah-olah itu sudah menjadi tugas mereka.

(Menyambut Ketibaan Pengarah Pendidikan Sabah)
PROFESIONALISME DALAM MENYAMPAIKAN TEGURAN
Perkara yang ingin diketengahkan di sini bukanlah soal kekhilafan saya yang tidak menyedari kewujudan “pokok” yang tumbuh di atas bumbung ataupun mencari dalih untuk menutup kelemahan sendiri.
Apa yang benar-benar meninggalkan kesan mendalam kepada saya ialah cara Datuk Pengarah memberi teguran. Beliau tidak menunjukkan rasa marah atau kecewa dan tidak menegur di hadapan khalayak ramai. Nada suaranya tidak meninggi walau sedikit pun. Sebaliknya, beliau memilih untuk berbisik perlahan dengan nada selamba - sekadar cukup untuk saya dengar. Teguran itu disampaikan khusus kepada saya sahaja kerana beliau tahu perkara seperti ini tidak perlu dijadikan tontonan umum.
Tindakan beliau membuatkan saya berasa sangat hormat dan teruja dengan profesionalisme yang ditunjukkan. Walaupun saya berasa malu kerana terlepas pandang keadaan persekitaran sekolah, beliau - seorang pelawat yang baru pertama kali menjejak kaki ke sekolah berjaya pula mengesan “pokok” itu hanya dari anak tangga. Tajam benar mata beliau.
Pada hemat saya, inilah ciri profesionalisme yang patut dicontohi oleh setiap pemimpin. Kita tidak perlu meninggikan suara atau menegur di khalayak umum, sedangkan sesuatu perkara boleh diselesaikan hanya dengan satu “bisikan” yang lembut namun penuh hikmah.
Sebagai manusia biasa, kita kadangkala beranggapan bahawa kita telah melakukan yang terbaik. Namun, akan sentiasa ada orang lain yang mampu menunjukkan kepada kita bahawa sebenarnya kita masih belum mencapai tahap terbaik yang sebenar. Bersedialah menerima kelemahan itu dan jadikannya sebagai ikhtibar.

(Pelajar Bersalaman Dengan Pengarah Pendidikan Sabah)
PENGIKTIRAFAN TERHADAP GURU BERKUALITI
Seterusnya, ketika Datuk Pengarah berjalan di koridor bagi meninjau sesi PdP di bilik-bilik darjah, beliau tiba-tiba berhenti di sebuah kelas. Sesuatu telah menarik perhatian beliau - aura guru yang sedang mengajar di hadapan kelas. Guru wanita tersebut mengajar dengan penuh kesungguhan, kelihatan ceria, yakin dan berpakaian kemas serta menarik. Malah, Datuk Pengarah mengambil masa hampir lima minit berdiri di belakang kelas hanya untuk memerhati cara guru itu mengajar.
Sebaik sahaja lawatan ke kelas itu selesai, Datuk Pengarah terus memberi komen kepada rombongan bahawa inilah contoh guru yang sepatutnya berada di dalam kelas. Aura positif, semangat mengajar yang tinggi, penampilan yang kemas dan menarik, raut wajah ceria serta suara yang lunak adalah ciri-ciri yang mencerminkan profesionalisme seorang guru. Beliau memuji guru tersebut dan memberikan kata-kata semangat agar terus mengajar dengan cemerlang.
Ternyata, pandangan Datuk Pengarah tidak silap sama sekali. Guru yang menjadi perhatiannya itu benar-benar memiliki semua ciri positif yang ditekankan oleh beliau. Ia bukan lakonan atau dibuat-buat semata-mata kerana kehadiran pelawat ke sekolah. Guru tersebut sememangnya terkenal sebagai seorang yang sangat berdedikasi, mengambil berat subjek yang diajar - walaupun bukan opsyennya - dan sentiasa tampil kemas serta menarik. Beliau juga sering memperoleh keputusan cemerlang dalam subjek yang diajarnya.
Dalam kesempatan itu, Datuk Pengarah turut membetulkan tali leher beberapa orang pelajar lelaki di kelas-kelas yang dilawatinya. Keprihatinan beliau begitu terserlah dan sudah pasti ia meninggalkan kesan yang mendalam terhadap para pelajar.
SENI MENEGUR DAN MENGHARGAI DALAM KEPIMPINAN
Jelaslah bahawa Datuk Pengarah ini bukan calang-calang orangnya. Beliau bukan sahaja mempunyai penglihatan yang tajam, tetapi turut memiliki daya pemerhatian yang tinggi. Dari jauh, beliau dapat “menangkap” perkara yang ingin diperhatikan dengan lebih teliti. Hal ini menunjukkan bahawa lawatan beliau bukanlah sekadar lawatan rutin atas nama “pemantauan”, tetapi suatu pemerhatian yang sangat bermakna dan berfokus.
Pendekata, dalam insiden pertama, Datuk Pengarah memilih untuk menegur perkara yang kurang baik secara halus dan tertutup kepada pentadbir sekolah, manakala dalam insiden kedua - perkara yang baik pula diangkat dan dipuji di hadapan rombongan. Tindakan mulia ini memberikan pengajaran penting kepada kita bahawa seorang pemimpin tertinggi dalam sesebuah organisasi mampu mencerminkan profesionalisme, ketinggian peribadi dan mutu kepimpinan melalui cara beliau membuat keputusan serta menyampaikan teguran.
Walaupun lawatan pemantauan seperti itu lazimnya dianggap sebagai satu bentuk “tekanan” kepada pentadbir dan para guru kerana bimbang akan ditemui kelemahan di sekolah, hakikatnya, setiap lawatan sebegitu mampu membawa impak positif kepada warga sekolah. Pihak sekolah hendaklah sentiasa berfikiran terbuka dan bersedia menerima kehadiran pelawat.
REFLEKSI
Pengalaman menerima kunjungan Pengarah Pendidikan Sabah membuka mata saya tentang makna sebenar kepimpinan berhemah. Teguran halus beliau mengenai “pokok” di atas bumbung mengajar saya bahawa pemimpin yang berwibawa tidak perlu meninggikan suara atau memalukan sesiapa untuk menyampaikan mesej. Sikap beliau yang memilih untuk menegur secara peribadi menunjukkan betapa pentingnya menjaga maruah orang lain dalam melaksanakan amanah.
Pada masa yang sama, kemampuan beliau mengesan potensi dan kualiti baik seorang guru lalu memuji serta menjadikannya teladan di hadapan rombongan memperlihatkan nilai kepimpinan yang menghargai usaha dan profesionalisme orang bawahan. Lawatan tersebut mengingatkan saya bahawa pemimpin yang baik ialah pemimpin yang seimbang - tegas dan berani tetapi beradab, kritis tetapi adil dan mampu melihat kekurangan tanpa mengabaikan kebaikan.
Ia juga menyedarkan saya bahawa setiap lawatan, teguran dan pujian sebenarnya ruang untuk penambahbaikan, bukan ancaman. Sebagai warga sekolah, kita harus sentiasa bersedia belajar daripada pemerhatian pihak luar, kerana sering kali merekalah yang mampu melihat apa yang terlepas dari mata kita.
Nota : Blog seterusnya akan disiarkan setiap dua minggu.
