DI SEBALIK PINTU PAGAR SEKOLAH : REALITI SEORANG PENGETUA
TINDAKAN YANG MENGUNDANG PERSEPSI NEGATIF
Sebuah kain rentang yang memohon Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil tindakan terhadap seorang pengetua yang didakwa bermasalah kerana “menghalau murid hadir ke sekolah dan menafikan hak murid untuk belajar” telah menjadi tular baru-baru ini.
Tindakan Pengetua SMK Sungai Rambai, Melaka, yang menutup pintu pagar sekolah tepat jam 7.30 pagi bagi menangani masalah ponteng dan kelewatan hadir ke sekolah turut mencetuskan kontroversi dan pelbagai reaksi negatif daripada netizen.
Adakah tindakan pengetua tersebut dianggap kejam atau tidak munasabah? Mungkin dari sudut pandang sesetengah pihak, tindakan itu dilihat keterlaluan. Namun, dari perspektif seorang pendidik, apatah lagi seorang pentadbir sekolah yang berdepan isu disiplin berpanjangan, tindakan sedemikian sebenarnya bukan sesuatu yang mengejutkan apabila pelbagai usaha penyelesaian sebelum ini tidak mendatangkan hasil.
Mungkin juga kerana selama ini pintu pagar sekolah sentiasa terbuka, maka tindakan menutupnya secara tiba-tiba telah menimbulkan persepsi yang kurang tepat dan disalahertikan oleh masyarakat.
SEKOLAH TIDAK MAMPU BERGERAK SENDIRI
Saya membaca berita tersebut dengan penuh prihatin dan amat memahami situasi yang dihadapi oleh pengetua berkenaan. Namun, saya bukan berniat untuk membela atau menagih simpati bagi pihak beliau. Saya juga tidak bermaksud untuk mengiyakan mahupun menolak sepenuhnya tindakan yang diambil itu.
Sebagai seorang pengetua yang telah mentadbir sekolah hampir 20 tahun, malah pernah berdepan isu yang sama selama hampir satu dekad, saya cukup memahami cabaran dan tekanan yang sedang beliau lalui. Isu ketidakhadiran murid merupakan antara masalah paling besar di sekolah dan amat sukar diselesaikan sekiranya tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada ibu bapa.
Hakikatnya, prestasi akademik yang rendah sering berkait secara langsung dengan peratus kehadiran. Apabila pencapaian murid merosot, pihak sekolah akan dipertanggungjawabkan. Justeru sama ada mahu atau tidak, ia menjadi kewajipan pihak sekolah untuk mencari pelbagai pendekatan bagi memastikan murid hadir ke sekolah.
Namun, tugas ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana membentuk ibu bapa yang benar-benar menghargai pendidikan anak-anak adakalanya ibarat “mengharap hujan di musim kemarau.” Sekolah mampu membimbing, tetapi pendidikan sebenar tetap bermula dari rumah.
ISU KEHADIRAN YANG TIDAK PERNAH BERAKHIR
Lazimnya, murid yang ponteng sekolah terdiri daripada kelompok yang sama. Mereka mungkin hadir hanya dua atau tiga hari dalam seminggu. Walaupun pelbagai tindakan telah diambil, termasuk program ziarah cakna serta sesi perbincangan bersama ibu bapa, masalah tersebut tidak menunjukkan perubahan positif.
Terlintas dalam fikiran ketika saya sendiri mengetuai sebuah sekolah di luar bandar dan merasai pengalaman menangani isu kehadiran murid pada setiap hari. Ditambah pula dengan masalah murid yang hadir lewat ke sekolah, kedua-dua isu ini sahaja sudah cukup membuatkan guru-guru sibuk mengurus murid bermasalah sehingga menjejaskan masa yang sepatutnya dimanfaatkan untuk proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Sepanjang 10 tahun saya mentadbir sekolah tersebut, selama itulah juga saya berdepan dengan isu kehadiran murid. Masalah ini seakan-akan satu lingkaran yang tidak pernah berakhir, walaupun sekolah berjaya meningkatkan peratus kehadiran dari semasa ke semasa. Namun, masalah yang sama boleh berulang kembali pada bila-bila masa.
Jika ditanya sama ada penat atau tidak menghadapi situasi ini, jawapannya sudah tentu penat. Namun, pihak sekolah tidak mempunyai banyak pilihan selain terus berusaha kerana kehadiran murid ke sekolah merupakan asas utama kepada proses pendidikan.
PUNCA SEBENAR KETIDAKHADIRAN MURID
Kita sebenarnya perlu meneliti punca akar yang menyebabkan masalah kehadiran murid. Hasil pemerhatian dan siasatan terhadap murid-murid yang sering tidak hadir atau lewat ke sekolah mendapati bahawa antara faktor utama ialah :
a. Tidur lewat
b. Bebas melepak sehingga lewat malam
c. Bermain permainan komputer secara berlebihan
d. Melayari telefon bimbit sehingga larut malam tanpa kawalan
Jika dilihat secara rasional, keempat-empat persoalan ini sebenarnya lebih dekat dengan peranan ibu bapa berbanding pihak sekolah. Ini kerana masalah tersebut bermula dari rumah, iaitu kurangnya kawalan ibu bapa atau penjaga terhadap rutin dan aktiviti harian anak-anak.
Walaupun begitu, terdapat juga ibu bapa yang tetap berjaya memastikan anak mereka hadir ke sekolah. Namun, kehadiran semata-mata tidak bermakna jika murid hadir dalam keadaan keletihan dan tidak bersedia untuk belajar. Seawal jam 7.30 pagi, ada murid yang sudah tertidur di dalam kelas dan tidak mampu memberi perhatian terhadap pengajaran guru.
Bayangkan jika keadaan ini berlaku setiap hari. Lama-kelamaan, mereka akan semakin ketinggalan dalam pelajaran. Keputusan ujian dan peperiksaan mula merosot, keyakinan diri semakin pudar dan akhirnya mereka mula hilang minat untuk meneruskan persekolahan. Inilah antara punca sebenar mengapa ada murid akhirnya tidak lagi mahu hadir ke sekolah.
DI SEBALIK STATISTIK KEHADIRAN SEKOLAH
Mungkin ada yang beranggapan bahawa kehadiran sekitar 88% hingga 90% sudah cukup tinggi. Namun, cuba bayangkan sebuah sekolah yang mempunyai 1,500 orang murid. Jika kadar kehadiran pada suatu hari hanyalah 90%, ini bermakna secara statistik seramai 150 orang murid tidak berada di sekolah. Jumlah ini sebenarnya sangat besar dan sudah tentu memberi kesan yang signifikan terhadap prestasi akademik serta suasana pembelajaran di sekolah.
Saya tidak bermaksud untuk meletakkan sepenuhnya kesalahan kepada ibu bapa kerana saya percaya masih ramai ibu bapa yang prihatin terhadap pendidikan anak-anak mereka. Namun, apa yang menyedihkan ialah apabila saya sendiri pernah mendengar pengakuan beberapa ibu bapa yang secara terus terang mengatakan bahawa mereka tidak lagi mampu mengawal anak sendiri. Jika itulah jawapannya, apalah lagi yang mampu dilakukan oleh pihak sekolah?
Walaupun pihak sekolah telah berusaha menjalankan program ziarah cakna ke rumah murid, hakikatnya ada situasi yang perlu difahami oleh masyarakat. Tidak semua murid tinggal bersama ibu bapa kandung mereka. Ada yang dijaga oleh datuk dan nenek atau saudara-mara yang lain. Maka tidak hairanlah apabila ada penjaga yang mengakui mereka sukar mengawal anak orang lain kerana mereka hanyalah penjaga, bukannya ibu bapa sebenar.
KESIMPULAN : KETEGASAN DEMI MENYELAMATKAN MASA DEPAN MURID
Berbalik kepada tindakan Pengetua SMK Sungai Rambai, kita tidak seharusnya terus mengecam tindakan beliau tanpa memahami keseluruhan situasi yang dihadapi pihak sekolah. Sebaliknya, kita perlu meneliti faktor sebenar yang mendorong pihak sekolah mengambil langkah sedemikian. Mungkin itulah sahaja ruang yang masih ada atau jalan terakhir yang dirasakan mampu menyelamatkan keadaan di sekolah.
Saya amat memahami keputusan dan tindakan pengetua tersebut kerana apa yang lebih penting ialah niat di sebalik tindakan itu. Niat beliau bukan untuk menghukum, apatah lagi menghalau murid daripada mendapatkan pendidikan, tetapi untuk mengubah situasi yang semakin membimbangkan serta memberi peringatan kepada murid dan ibu bapa tentang pentingnya disiplin dan kehadiran ke sekolah.
Saya percaya tindakan menutup pintu pagar sekolah bukan bertujuan menghalang murid daripada belajar, sebaliknya sebagai satu bentuk ketegasan agar murid dan ibu bapa menyedari bahawa pihak sekolah tidak lagi mampu berkompromi terhadap isu ketidakhadiran dan kelewatan yang berlarutan.
Tambahan pula, perkara ini dikatakan telah dibincangkan bersama pihak PIBG dan dipersetujui secara bersama. Maka, tindakan yang diambil oleh pengetua tersebut bukanlah dibuat secara sewenang-wenangnya.
Apa yang lebih penting ialah semua pihak perlu melihat isu ini dengan hati yang terbuka dan fikiran yang rasional. Pendidikan anak-anak bukanlah tanggungjawab sekolah semata-mata, sebaliknya merupakan amanah bersama yang perlu dipikul oleh ibu bapa, guru, masyarakat dan murid itu sendiri, bak kata pepatah, “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.” Kejayaan dalam mendidik anak-anak hanya dapat dicapai melalui kerjasama dan persefahaman semua pihak.
