Rentetan Fasa Kehidupan
Jack Ma pernah berkata :
“Apabila anda berumur 20–30 tahun, cari ketua yang baik. Ketua yang baik adalah lebih baik daripada syarikat yang baik.
Apabila anda berumur 30–40 tahun, cuba lakukan sesuatu untuk diri sendiri.
Apabila anda berumur 40–50 tahun, lakukan sesuatu yang anda mahir.
Apabila anda berumur 50–60 tahun, fokus untuk membantu orang muda.
Apabila anda berumur 60 tahun ke atas, luangkan masa bersama cucu-cucu anda.”
Kata-kata Jack Ma tepat mencerminkan perjalanan hidup saya - sebuah perjalanan yang dibentuk oleh proses kematangan diri, cabaran, dan pencapaian bermakna.
FASA PERTAMA : UMUR 20–30 TAHUN
BELAJAR DARIPADA SEORANG KETUA YANG HEBAT
Dalam fasa pertama kehidupan, saya bermula sebagai seorang guru biasa dan saya rajin bekerja.
Saya berasa amat bertuah kerana dipimpin oleh seorang ketua yang hebat dan serba berkebolehan.
Beliau merupakan ketua saya yang pertama.
Banyak yang saya pelajari daripadanya, terutama sekali ketegasan dalam menjalankan tugas.
Beliau sentiasa mendorong kami melangkaui batas kemampuan kami. Ternyata dalam usaha itu, beliau banyak menurunkan kemahiran dan pengetahuan yang tidak terfikir dalam jangkauan saya.
Saya amat berterima kasih kepada beliau. Kerana beliau, saya berjaya membina asas kepimpinan yang baik walaupun pada ketika itu saya tidak pernah terfikir akan menjadi seorang pemimpin.
Ada sesetengah guru enggan ditempatkan ke sekolah beliau kerana tahu akan ketegasannya, tetapi kini saya melihat pengalaman itu sebagai salah satu rahmat terbesar dalam kerjaya awal saya.
(Guru kelas pada tahun 1991)
FASA KEDUA : UMUR 30–40 TAHUN
MEREBUT PELUANG
Dalam fasa ini, saya mula benar-benar memahami bagaimana untuk mengurus sebuah sekolah.
Peluang datang silih berganti dan saya sedar bahawa segala-galanya terserah kepada saya sama ada mahu merebut atau melepaskan peluang-peluang tersebut.
Tidak lama kemudian, saya dilantik sebagai Penolong Kanan.
Jawatan ini membekalkan saya pengetahuan dan pengalaman yang tidak ternilai harganya.
Saya belajar bagaimana mengurus manusia, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan yang penting.
Dari situ, saya menjadi lebih berdikari, lebih tabah, dan lebih yakin dengan kebolehan sendiri.
(Bertugas sebagai Guru Kanan HEM tahun 1994)
FASA KETIGA : UMUR 40–50 TAHUN
MELAKUKAN APA YANG SAYA MAHIR
Dalam fasa ini, saya dilantik sebagai Pengetua Sekolah – satu jawatan yang tidak pernah saya bayangkan akan saya pikul.
Namun saya sedar saya sebenarnya mempunyai bakat dalam bidang ini. Tidak dapat dinafikan, banyak cabaran dan dugaan yang ditempuhi, tetapi kunci kejayaan adalah untuk tidak berputus asa dan sentiasa berusaha memperbaiki diri.
Komitmen untuk terus berjaya menjadikan saya seorang pemimpin yang lebih baik dan efektif.
Segala pengalaman yang dikumpul sepanjang perjalanan telah membentuk siapa diri saya. Ia menyemarakkan lagi semangat saya untuk terus mengejar kecemerlangan.
Saya juga menjadi lebih matang dalam cara saya berfikir, membuat keputusan dan menghadapi cabaran.
(Bersama PK Pentadbiran dan PK Hal Ehwal Murid pada tahun 2010)
FASA KEEMPAT : UMUR 50–60 TAHUN
MEMBIMBING ORANG LAIN
Dalam fasa ini, saya menjalankan tugas sebagai Pengetua Cemerlang dan selepas itu sebagai Pegawai SIPartners+ (School Improvement Partners) di Pejabat Pendidikan Daerah.
Pada ketika ini, boleh dikatakan saya telah menjadi pemimpin yang cukup berpengalaman.
Saya masih ingat seorang guru pernah bertanya bagaimana saya boleh mengingati dengan jelas setiap rutin dan perincian kerja.
Jawapannya mudah – berkat pengalaman yang dikumpul bertahun-tahun dan kecintaan terhadap tugas.
Saya bukan sahaja sangat berbangga dengan apa yang telah saya kecapi pada tahap ini malahan juga berbesar hati apabila berpeluang membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada mereka di bawah pimpinan saya dan juga pemimpin-pemimpin dari sekolah yang lain.
Ia menjadi detik yang membanggakan apabila melihat orang lain berkembang dengan yakin dan akhirnya menjadi pemimpin sekolah yang lebih baik. Membantu membentuk generasi pemimpin seterusnya memberikan saya rasa kepuasan yang tidak terhingga.
(Menerima Anugerah Tokoh Pendidikan dari PPD Tenom tahun 2023)
FASA KELIMA : UMUR 60 TAHUN KE ATAS
MASA UNTUK KETENANGAN DAN MENGENANG LEGASI
Apabila mencecah usia 60 tahun, saya bersara secara wajib dan meninggalkan semua legasi yang telah dibina.
Dalam erti kata lain, fasa kehidupan ini adalah milik kita sepenuhnya – kita akhirnya boleh melakukan apa sahaja yang kita impikan selama ini.
Seperti kata Jack Ma, inilah masanya untuk menikmati hidup bersama cucu-cucu.
Pada pendapat saya, walaupun kita dituntut untuk menjalani hidup yang lebih tenang, kita sebenarnya masih boleh menyumbang sesuatu kepada organisasi luar atau masyarakat sekeliling.
Usia pada fasa ini memerlukan kita menjaga kesihatan dengan lebih baik.
Saya berhasrat untuk menikmati alam persaraan ini sepenuhnya dan meluangkan masa dengan perkara-perkara yang belum sempat saya laksanakan sebelum ini.
Mudah-mudahan, saya cukup sihat dan dianugerahkan umur yang panjang untuk menikmati saat-saat berharga ini bersama cucu-cucu saya.
(Bersiar-siar di Betong, Thailand pada Mei 2025)
RUMUSAN – PERJALANAN YANG MEMBENTUK DIRI SAYA
Kata-kata Jack Ma sememangnya ada kebenarannya. Sama ada secara kebetulan atau tidak, perjalanan hidup saya ternyata selari dengan fasa-fasa kehidupan yang dinyatakan.
Namun, tiada satu pun daripada fasa-fasa ini yang akan menjadi kenyataan sekiranya saya tidak memulakan langkah pertama saya di bawah bimbingan seorang ketua yang baik.
Walaupun anda berjaya melangkah ke fasa-fasa berikutnya tanpa bimbingan seorang ketua yang baik, yang pasti jalan yang anda lalui berkemungkinan lebih sukar dan lebih mencabar.
Hakikatnya - “apa yang tidak membunuh anda akan menjadikan anda lebih kuat.”
REFLEKSI
Bukan semua daripada kita bertuah dapat bekerja di bawah seorang ketua pertama yang hebat.
Justeru, tidak kira di mana anda bermula atau di mana fasa kehidupan yang sedang anda lalui, pasti ada sesuatu yang boleh dipelajari sama ada dari orang atasan kita, dari rakan sejawat kita atau pun dari sekadar seorang kerani sekolah.
Peluang datang sekali sahaja, rebutlah sepenuh hati.
Yang penting apabila kita berada di satu fasa kehidupan, buatlah yang terbaik kerana yang terbaik itulah yang akan memudahkan perjalanan kita ke fasa seterusnya.
Apabila kita sampai ke garisan penamat, kita akan menoleh kembali ke setiap fasa kehidupan.
Dari situlah terbit kepuasan sejati dan perkataan “kesal” tidak akan terwujud dalam diari kehidupan kita.