SEKOLAH BUKAN SATU-SATUNYA JAWAPAN
SEKOLAH : ANTARA HARAPAN DAN KEBIMBANGAN
Apabila kita digemparkan dengan pelbagai insiden yang berlaku di sekolah, tiada siapa pun menyangka perkara sedemikian boleh terjadi dalam kalangan pelajar di persekitaran yang selama ini kita anggap selamat. Kes pembunuhan sesama pelajar yang pernah berlaku di sekolah adalah antara insiden yang paling mengejutkan.
Rentetan kejadian ini mula menggugat keyakinan ibu bapa sehingga tanggapan bahawa sekolah ialah tempat yang paling selamat untuk anak-anak bertukar menjadi kebimbangan yang menghantui.
Masyarakat daripada pelbagai kaum dan lapisan mula tertanya-tanya - di manakah silapnya sehingga kejadian buruk boleh berlaku ketika pelajar masih lengkap berpakaian sekolah? Perasaan sedih dan marah bercampur baur.
Sedih kerana pelajar di bawah umur boleh terlibat dengan jenayah. Sedih kerana ada nyawa yang terkorban. Sedih kerana ada masa depan yang musnah sebelum sempat bersinar. Marah kerana perkara seperti ini sepatutnya tidak berlaku. Marah kerana mereka sepatutnya masih boleh diselamatkan daripada terjebak.
MEMBESARKAN ANAK, TUGAS SEBUAH KOMUNITI
Kita tidak mahu, ketika ada pihak yang sedang berduka, timbul pula suara yang saling menuding jari kepada pihak tertentu. Ada yang meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada sistem pendidikan, daripada sekolah hinggalah ke KPM. Hakikatnya, tidak adil jika hanya satu pihak sahaja dipersalahkan.
Terdapat pepatah Inggeris yang berbunyi, “It takes a village to raise a child.” Maksudnya, untuk membesarkan seorang anak dengan baik, ia memerlukan usaha bersama pelbagai pihak iaitu ibu bapa, pihak sekolah, pihak berkepentingan dan juga masyarakat sekeliling.
Sebagai seorang pendidik yang telah lama berhadapan dengan pelbagai ragam dan karenah pelajar, saya berpendapat bahawa tidak wajar mana-mana pihak dipersalahkan secara mutlak. Dalam saat sekolah berdepan dilema dan mangsa serta keluarga masih terkesan, kita tidak mahu timbul pula pelbagai cadangan daripada pihak yang bijak pandai tentang apa yang sepatutnya sekolah dan KPM lakukan.
Pada hemat saya, bukan reformasi yang diperlukan kerana asas yang sedia ada sebenarnya sudah memadai. Jika terlalu banyak perubahan diperkenalkan tanpa penelitian, sekolah mungkin akan menjadi semakin terbeban.
REALITI SEKOLAH YANG TIDAK DIFAHAMI RAMAI
Netizen yang tidak pernah mengajar di sekolah mungkin sukar memahami situasi dan cabaran sebenar yang dihadapi warga sekolah. Justeru, ada kalanya pandangan dan luahan mereka dilihat kurang realistik. Contohnya, ada yang mempersoalkan mengapa beg pelajar tidak diperiksa sebelum mereka memasuki kawasan sekolah.
Bayangkan sebuah sekolah dua sesi dengan jumlah pelajar melebihi 1,500 orang, dalam keadaan masa pengajaran dan pembelajaran yang sangat terhad. Untuk memeriksa beg pelajar satu persatu dalam situasi sebegini bukanlah tugas yang mudah, apatah lagi jika dicadangkan untuk dilakukan setiap hari.
Kita diseru mempertahankan masa instruksional, namun jika masa tersebut digunakan untuk kerja-kerja manual seperti ini, akhirnya pelajar juga yang akan kerugian.
Sebaliknya, tidaklah sukar jika ibu bapa/penjaga mengambil peranan memeriksa beg anak sebelum mereka melangkah ke sekolah. Tugas ini lebih praktikal kerana ibu bapa atau penjaga hanya perlu mengurus beberapa orang anak sahaja.
MENGESAN AWAL, MENCEGAH LEBIH BAIK
Di pihak sekolah, guru yang mengajar di kelas perlu sentiasa peka terhadap tingkah laku dan sikap pembelajaran pelajar. Tumpuan bukan hanya kepada pelajar yang mempunyai masalah disiplin, tetapi juga kepada mereka yang mula hilang minat untuk belajar. Pelajar seperti ini perlu diperhatikan dan dikesan lebih awal agar intervensi yang sesuai dapat dilaksanakan sebelum berlaku kejadian yang tidak diingini.
Pergerakan pelajar di dalam kawasan sekolah dan bilik darjah juga perlu dipantau sebaik mungkin. Mereka tidak seharusnya keluar atau berada di luar bilik darjah tanpa sebab yang munasabah.
Pada waktu rehat, pengawas perlu ditempatkan di beberapa lokasi strategik supaya sentiasa ada mata dan telinga yang memantau pergerakan pelajar. Guru dan pentadbir sekolah pula boleh melaksanakan pemeriksaan mengejut secara berkala sebagai peringatan agar pelajar sentiasa mematuhi disiplin.
Unit Bimbingan dan Kaunseling juga perlu lebih proaktif mempromosikan perkhidmatan mereka kepada pelajar. Perkhidmatan kaunseling, sama ada secara sukarela atau melalui rujukan, wajar diperkasakan supaya pelajar yang berdepan masalah mempunyai ruang yang selamat untuk meluahkan perasaan dan mendapatkan bimbingan.
Pendek kata, pemantauan yang rapi serta tindakan segera terhadap isu yang dikesan mampu membantu mencegah masalah disiplin daripada menjadi lebih serius.
TANGGUNGJAWAB BERSAMA MENDIDIK GENERASI MUDA
Seperti yang kita sedia maklum, pelajar menghabiskan lebih kurang 16 jam di rumah kerana berada di sekolah secara purata selama 8 jam. Justeru, tanggungjawab ibu bapa/penjaga amat penting dalam memastikan pemantauan terhadap gerak-geri anak-anak. Ibu bapa tidak boleh lepas tangan dalam hal ini, lebih-lebih lagi apabila ramai anak kini memiliki telefon bimbit, yang jika disalahgunakan boleh membawa kepada pelbagai masalah.
Masyarakat juga perlu memainkan peranan yang penting, khususnya mereka yang aktif di media sosial. Anak-anak muda kini banyak menghabiskan masa di platform tersebut. Oleh itu, masyarakat harus bertanggungjawab memastikan setiap mesej dan kandungan yang dikongsi tidak meracuni pemikiran generasi muda. Orang dewasa seharusnya menjadi teladan terbaik kepada anak-anak muda.
REFLEKSI
Isu-isu yang berlaku di sekolah hari ini membuka ruang renungan yang besar kepada semua pihak. Sekolah yang selama ini dianggap sebagai tempat paling selamat untuk membentuk masa depan anak-anak, kini berdepan dengan pelbagai cabaran yang tidak pernah dijangka. Kejadian-kejadian yang melibatkan pelajar bukan sahaja mengejutkan, malah menggugat keyakinan masyarakat terhadap keselamatan persekitaran pendidikan.
Namun, dalam keadaan emosi yang bercampur antara sedih dan marah, adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan kepada satu pihak sahaja. Sistem pendidikan, sekolah, ibu bapa, dan masyarakat masing-masing mempunyai peranan yang saling melengkapi.
Di sekolah, guru dan pentadbir berusaha sedaya upaya untuk memantau, membimbing dan mendidik pelajar dalam keterbatasan masa dan sumber. Namun, usaha ini akan menjadi lebih berkesan sekiranya disokong oleh ibu bapa yang lebih prihatin terhadap tingkah laku serta penggunaan teknologi anak-anak di rumah.
Pada masa yang sama, masyarakat juga tidak boleh bersikap lepas tangan. Setiap kandungan dan mesej yang tersebar di ruang digital memberi kesan kepada pemikiran generasi muda. Oleh itu, orang dewasa perlu menjadi contoh yang baik, bukan sekadar pemerhati.
Kesimpulannya, keselamatan dan pembentukan sahsiah pelajar hanya dapat dicapai melalui kerjasama yang jujur dan berterusan antara sekolah, ibu bapa dan masyarakat. Tanpa sinergi ini, sebarang usaha pembaharuan akan menjadi kurang berkesan dan hanya bersifat sementara.
