Bukan Kelas Tambahan Tapi Perhatian Tambahan

SEKOLAH DAN IBU BAPA BERPISAH TIADA

July 11, 20256 min read

LANGKAH AWAL KE ARAH PEMBAHARUAN

Apabila saya berpindah ke Sekolah B, banyak cabaran yang saya hadapi untuk meningkatkan prestasi sekolah, terutamanya dari segi akademik.  Oleh kerana saya mula bertugas pada bulan Mac, sebahagian besar aktiviti dan program telahpun dijalankan sejak awal sesi persekolahan. 

Atas pertimbangan itu, saya tidak membuat perubahan secara drastik kerana khuatir akan menganggu perancangan awal yang telah disusun oleh pihak sekolah. Sebaliknya saya memilih pendekatan yang lebih berhati-hati dengan melakukan penambahbaikan dalaman.

Antara langkah awal yang diambil termasuklah menambahbaik sistem sedia ada, mempertingkatkan elemen keceriaan sekolah, memperkenalkan pembaharuan yang bersesuaian bagi memantapkan program sedia ada dan menerapkan nilai disiplin dalam kalangan warga sekolah.  


KEJAYAAN YANG MEMBUKA JALAN HARAPAN

Walaupun pada tahun pertama saya mengurus sekolah dari bulan Mac hingga Disember, saya bersyukur melihat keputusan peperiksaan awam bagi kohort pelajar pertama yang saya pimpin menunjukkan peningkatan yang menggalakkan. 

Pada tahun berikutnya pula, pencapaian PMR, SPM dan STPM menunjukkan peningkatan yang lebih memberangsangkan, baik dari segi peratus mahupun gred purata sekolah.

Kejayaan ini melonjakkan kedudukan (ranking) sekolah di peringkat kebangsaan dan sekali gus melayakkan sekolah ini menerima Anugerah Tawaran Baru Kepada Pengetua & Guru Besar di bawah Sub-NKRA Pendidikan. Pencapaian awal ini telah menyuntik keyakinan dalam diri saya dan guru-guru bahawa sekolah ini sebenarnya berpotensi besar untuk lebih maju.  

Keinginan untuk melihat sekolah ini terus cemerlang menyemarakkan lagi semangat guru untuk berusaha mengajar dengan lebih gigih.  Kejayaan ini juga merupakan satu faktor penting yang memudahkan urusan pentadbiran kerana guru-guru dan staf sekolah mula meletakkan keyakinan terhadap kepimpinan saya.

(Momen Indah – Lawatan PIBG  Ke Kampung Rundum 2019)


ANTARA REALITI DAN POTENSI

Dalam tempoh tiga tahun pertama saya bertugas di sekolah ini, saya masih merasakan diri seperti seekor burung yang masih terbang dengan sebelah sayap.  Sayap yang satu lagi lemah dan tidak mampu berfungsi sepenuhnya.  

Masalah yang membelenggu  masih  belum saya temui jalan penyelesaiannya.  Saya yakin prestasi sekolah ini boleh dipertingkatkan lagi sekiranya saya mampu mencari punca dan merungkai solusinya. Namun untuk itu, saya perlu melangkah lebih jauh daripada sekadar usaha  biasa.

Segalanya berpunca daripada satu keputusan iaitu sama ada saya mahu atau tidak. Jika saya benar-benar mahu, saya perlu menggerakkan satu jentera yang besar untuk memacu perubahan.  Tetapi jika tidak, saya harus akur dan terus berada dalam zon selesa, tanpa sebarang harapan untuk kemajuan.



APABILA KOMUNITI MENJADI KEKUATAN SEKOLAH

Apabila memikirkan visi sekolah yang perlu dicapai menjelang 2015, saya sedar saya tidak boleh sekadar berpeluk tubuh. 

Maka bersama Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) dan warga sekolah, saya memulakan langkah proaktif dengan mengadakan majlis permuafakatan meja bulat yang menghimpunkan semua lapisan masyarakat sekitar sekolah.  Majlis ini diadakan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2011 dan 2014.

Antara yang dijemput hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah, AJK PIBG, Ketua-Ketua Kampung, Pemimpin-Pemimpin Agama termasuk Ketua Gereja, Guru-Guru Besar dari daerah yang sama, wakil dari Jabatan Kesihatan Daerah dan Pegawai Perhubungan Sekolah dari PDRM.    

Di medan inilah, saya mengambil kesempatan menyuarakan isu-isu kritikal yang membelenggu sekolah agar sama-sama berbincang untuk mencari jalan penyelesaian. Di sini jugalah para jemputan meluahkan masalah mereka dan akhirnya kami bertekad untuk saling membantu dalam apa juga program yang melibatkan masa depan pelajar.

Benarlah, hasilnya sangat bermakna.  Apa yang selama ini terasa berat untuk diangkat, kini terasa lebih ringan dengan sokongan semua pihak.

Inilah sayap yang selama ini,  saya tercari-cari.  Dengan kedua-dua sayap yang kini kukuh, saya mampu terbang lebih tinggi, lebih yakin dan lebih kuat demi anak-anak sekolah ini.

(Majlis Permuafakatan PIBG Bersama Pemimpin Masyarakat Tahun 2014)


MERENTAS KAMPUNG, MERAPATKAN JURANG

Majlis permuafakatan ini menjadi  titik tolak kepada pelaksanaan pelbagai program susulan yang berjaya menyelesaikan isu-isu kritikal yang dihadapi oleh sekolah, khususnya masalah  kehadiran pelajar.  

PIBG sekolah mula menjadi sangat aktif, dipimpin oleh Yang DiPertua (YDP) yang berkaliber dan berdedikasi. Yang paling menggembirakan ialah mereka menjadi sebahagian daripada warga sekolah yang sangat prihatin dan ingin memainkan peranan dalam melihat sekolah ini terus berjaya. 

Sepanjang hampir satu dekad saya di sekolah ini, di bawah kepimpinan dua orang YDP PIBG yang sangat komited, saya berpeluang menjelajah hampir seluruh kampung tempat tinggal pelajar-pelajar saya.

Hasilnya hubungan di antara pentadbir sekolah, guru-guru dan ibu bapa semakin kukuh.  Inilah antara faktor utama yang memudahkan usaha menangani isu disiplin pelajar secara lebih berkesan dan berhemah.

(Barisan AJK PIBG Sekolah Sesi 2019/2020)


MENJALIN SINERGI BERSAMA IBU BAPA

Saya juga berasa amat teruja setiap kali berpeluang memasuki kampung-kampung apabila majlis permuafakatan diadakan di kawasan mereka. ibu bapa tampil membentuk jawatankuasa mereka sendiri dan melaksanakan peranan masing-masing dengan begitu efisyen.

Mereka merancang dan menyediakan segala kemudahan.  Kami dari pihak sekolah hadir sebagai tetamu dan ini benar-benar menyentuh hati.  

Pengalaman berada dalam persekitaran seperti ini telah mengajar saya tentang erti kehidupan yang sukar dan ia mematangkan saya  dalam mengurus hubungan dua hala dengan masyarakat.  

Namun yang paling bermakna, permuafakatan ini berjaya mengubah persepsi ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak. Peratus kehadiran pelajar yang meningkat ini membuktikan ibu bapa mula menyedari bahawa pendidikan adalah kunci masa depan dan anak-anak mereka wajar mendapat peluang terbaik untuk mencapainya.

(Lawatan PIBG Ke Kampung Tilis 2018)


PENGHARGAAN KEPADA PIBG

Sebenarnya, AJK PIBG yang aktif serta kepimpinan yang proaktif mampu memberi impak yang sangat besar terhadap kemajuan sesebuah sekolah. Bagi memastikan PIBG yang lebih mantap, ahli jawatankuasa PIBG dipilih daripada setiap mukim.

Komunikasi yang baik di antara AJK PIBG dan ibu bapa di setiap mukim adalah antara sebab peningkatan peratus kehadiran ibu bapa dalam setiap program sekolah. Ia membuktikan kemampuan dan kepimpinan PIBG dalam memainkan peranannya sebagai agen perubahan.

Hubungan baik di antara PIBG dan pihak pentadbir sekolah turut memudahkan penyelesaian isu yang melibatkan pelajar dan ibu bapa. 

Saya juga berasa teruja melihat peranan aktif PIBG dalam usaha menyelesaikan kes-kes yang melibatkan salah faham atau pertikaian di antara ibu bapa dan guru. Ini jelas menunjukkan betapa tinggi kepercayaan dan penghormatan masyarakat setempat terhadap kepimpinan PIBG di sekolah. 

Walaupun sekolah ini terletak di kawasan luar bandar dan rata-rata ibu bapa adalah kurang berkemampuan, namun saya amat berbangga melihat PIBG yang begitu rajin mencari sumber kewangan sehingga berjaya mewujudkan kedudukan kewangan yang kukuh.

Saya amat berterima kasih kepada semua AJK PIBG kerana berpeluang untuk bekerjasama secara erat dengan mereka. Sesungguhnya, mereka telah menjadi teman sejati saya dalam menghadapi pelbagai cabaran.

(Gotong Royong Memasang Paip Graviti)


REFLEKSI

Tidak semua masalah dapat diselesaikan sendiri oleh Pentadbir Sekolah. Ada masanya, sekolah memerlukan bantuan daripada pemegang taruh yang lain untuk sama-sama mencari penyelesaian. 

Meminta bantuan bukan bermaksud kita lemah, tetapi menunjukkan keterbukaan dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan.

Mendekatkan sekolah kepada masyarakat luar akan mewujudkan hubungan kerjasama yang erat, sekali gus menghasilkan impak yang luar biasa kepada perkembangan murid dan kemajuan sekolah.

Pentadbir sekolah dan guru-guru juga perlu berfikir di luar kotak dan keluar dari zon selesa untuk menangani cabaran dan masalah yang timbul di sekolah. Pendekatan yang kreatif dan berani amat diperlukan demi kebaikan bersama.

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan.  Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Lian Fee Choo

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan. Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Back to Blog