SEKOLAH DUA SESI : REALITI, CABARAN DAN HARAPAN SEORANG PENTADBIR SEKOLAH
SEKOLAH SATU SESI: PENDIRIAN LAMA ATAU KEPERLUAN BAHARU?
Apakah pendirian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) suatu ketika dahulu apabila masih terdapat sekolah-sekolah yang beroperasi dalam dua sesi? Usaha untuk mengubah sekolah dua sesi kepada satu sesi sememangnya amat dialu-alukan oleh para pentadbir di sekolah-sekolah yang terlibat.
Namun, sepanjang tempoh saya bertugas sebagai pentadbir sekolah di sekolah dua sesi, dari tahun 2011 hingga 2021, iaitu di sekolah terakhir saya, hasrat tersebut masih belum menjadi kenyataan.
Kini, apabila KPM baru-baru ini mengumumkan bahawa kemasukan murid Tahun 1 bagi tahun 2027 akan bermula pada usia enam tahun, cadangan ini secara umumnya disambut baik oleh pelbagai pihak. Sudah tentu, langkah ini akan mewujudkan keperluan yang lebih besar untuk menampung pertambahan murid Tahun 1 pada tahun tersebut.
Walau bagaimanapun, apabila timbul cadangan untuk menukar sekolah satu sesi kepada dua sesi bagi menampung pertambahan murid ini, keadaan tersebut seolah-olah bercanggah dengan pendirian asal KPM yang sebelum ini berhasrat menjadikan semua sekolah beroperasi dalam satu sesi.
DARI PENGALAMAN PELAJAR KE PERSPEKTIF PENTADBIR
Sewaktu saya masih seorang pelajar, saya pernah mengikuti persekolahan dua sesi ketika berada di Tingkatan 1 dan Tingkatan 2. Pada waktu itu, sebagai seorang pelajar, saya tidak melihat perbezaan yang ketara antara sesi pagi dan sesi petang. Cuma, ada kalanya saya berasa risau apabila tiba waktu pulang kerana bas sekolah kadangkala lewat datang mengambil pelajar, menyebabkan waktu senja berlarutan hingga hari mulai gelap.
Dari perspektif pentadbir sekolah pula, saya pernah bertugas di sebuah sekolah menengah yang beroperasi dalam dua sesi dengan purata kira-kira 1,500 orang pelajar. Daripada jumlah tersebut, sekitar 1,000 orang mengikuti sesi pagi manakala selebihnya berada dalam sesi petang. Saya telah berkhidmat di sekolah tersebut selama hampir 10 tahun dan berdasarkan pengalaman itu, saya akan mengupas isu serta dilema yang berkaitan dengan sekolah dua sesi.
Walaupun sebelum ini saya pernah bertugas di sebuah sekolah yang mempunyai enrolmen besar, iaitu sekitar 1,300 orang pelajar, sekolah tersebut mampu beroperasi dalam satu sesi kerana mempunyai prasarana yang mencukupi. Pengalaman itu memberi peluang kepada saya untuk melihat dengan lebih jelas perbezaan dalam pengurusan sekolah berenrolmen besar yang dijalankan dalam satu sesi berbanding dua sesi.
CABARAN MENGURUS SEKOLAH DUA SESI
1. Masalah mengumpulkan guru daripada dua sesi untuk mesyuarat, taklimat atau aktiviti secara serentak
Di sekolah satu sesi, mesyuarat, taklimat atau aktiviti di peringkat sekolah lazimnya diadakan selepas waktu persekolahan, biasanya sekitar jam 2.00 atau 2.30 petang. Namun, keadaan ini sukar dilaksanakan di sekolah dua sesi. Guru-guru tidak dapat dikumpulkan serentak kerana sebahagian daripada mereka masih menjalankan tugas mengajar dalam sesi yang berbeza.
Oleh itu, pilihan yang ada ialah melaksanakannya pada hari Sabtu atau mengadakan mesyuarat secara berasingan bagi guru-guru sesi pagi dan sesi petang. Kedua-dua pilihan ini mempunyai kekangan tersendiri. Jika dilaksanakan pada hari Sabtu, guru-guru terpaksa kembali ke sekolah pada hari cuti. Jika diadakan secara berasingan pula, pihak pentadbir perlu mengendalikan mesyuarat yang sama sebanyak dua kali, sekali gus menambah beban tugas pentadbiran.
2. Masalah pengurusan bilik darjah
Oleh sebab pelajar sesi pagi dan sesi petang berkongsi bilik darjah yang sama, sering timbul isu berkaitan kebersihan dan keceriaan bilik darjah. Dalam keadaan tertentu, perkongsian ini juga boleh membuka ruang kepada masalah vandalisme kerana tiada rasa pemilikan yang jelas terhadap bilik darjah tersebut.
Apabila berlaku kerosakan atau gangguan dalam kelas, sering wujud situasi tuduh-menuduh antara pelajar sesi pagi dan sesi petang. Keadaan ini menjadikan usaha memupuk rasa tanggungjawab terhadap bilik darjah semakin mencabar. Selain itu, guru-guru kelas juga kadangkala menghadapi kesukaran untuk mengurus bilik darjah sekiranya tidak mendapat kerjasama yang baik daripada guru kelas bagi sesi yang satu lagi.
3. Masalah mengurus aktiviti kokurikulum
Aktiviti kokurikulum turut menjadi cabaran kerana kekurangan ruang yang sesuai untuk pelajar berkumpul. Bilik darjah tidak mencukupi kerana digunakan oleh pelajar sesi lain. Bagi pelajar sesi pagi, aktiviti kokurikulum lazimnya dijalankan pada waktu petang. Oleh itu, guru-guru sesi pagi dan petang perlu saling bertoleransi, kerana kebisingan daripada aktiviti kokurikulum boleh mengganggu pengajaran dan pembelajaran murid sesi petang.
Adakalanya, pelajar sesi petang yang mewakili sekolah atau daerah terpaksa mengorbankan sebahagian waktu pembelajaran mereka kerana perlu menghadiri latihan sukan atau permainan yang diadakan pada sebelah petang.
4. Masalah disiplin dalam kalangan pelajar sesi petang
Tidak dapat dinafikan bahawa masalah disiplin wujud dalam kalangan pelajar, sama ada sesi pagi atau petang. Namun, pelajar sesi petang lebih mudah terdedah kepada masalah disiplin kerana mereka yang datang awal ke sekolah kadangkala perlu menunggu tempoh masa yang agak lama sebelum pelajar sesi pagi bersurai.
Ketiadaan ruang menunggu yang selamat turut memberi peluang kepada sesetengah pelajar untuk ponteng sekolah atau terlibat dalam masalah disiplin di luar sekolah, terutamanya pelajar di kawasan sekolah luar bandar.
5. Kekurangan bilik atau ruang untuk program sekolah
Pelajar Tingkatan 5 yang bakal menghadapi SPM biasanya memerlukan kelas tambahan bagi persediaan peperiksaan. Kekurangan bilik darjah menyebabkan kesukaran untuk mengadakan kelas tambahan pada masa yang sesuai.
Guru sesi pagi yang ingin menggunakan makmal sains atau makmal komputer pada waktu petang perlu memastikan kemudahan tersebut tidak digunakan oleh guru sesi petang bagi mengelakkan pertindihan. Malah, adakalanya guru sesi pagi dan petang terpaksa bersaing untuk menggunakan padang sekolah atau dewan sekolah bagi melaksanakan aktiviti yang telah dirancang.
6. Kesukaran melaksanakan program sekolah berskala besar
Apabila program berskala besar seperti Sambutan Hari Guru atau Hari Karnival Sekolah dianjurkan, pentadbir sekolah menghadapi cabaran untuk mengurus pergerakan pelajar serta menyediakan ruang yang mencukupi untuk berkumpul.
Saiz dewan sekolah yang standard biasanya tidak mampu menampung lebih daripada 1,000 orang pelajar. Akibatnya, pelajar terpaksa duduk berhimpit atau berada di luar dewan, menyebabkan mereka kurang selesa semasa program berlangsung.
PENUTUP : CABARAN DAN HARAPAN PENTADBIR SEKOLAH DUA SESI
Begitulah antara beberapa masalah yang wujud apabila sesebuah sekolah melaksanakan dua sesi. Walaupun harapan tinggi untuk semua sekolah beroperasi dalam satu sesi, realitinya, enrolmen pelajar yang besar dan ruang sekolah yang terhad menyukarkan pelaksanaan sekolah satu sesi. Semua isu yang dibincangkan di atas, secara langsung atau tidak langsung, memberi kesan terhadap pencapaian akademik dan disiplin pelajar.
Bagi seorang pentadbir sekolah dua sesi, tanggungjawab yang dipikul seolah-olah seperti mengurus dua buah sekolah serentak. Lebih banyak masa dan perhatian perlu diberikan kepada warga sekolah, termasuk pengurusan pelajar asrama sekiranya sekolah itu mempunyai asrama. Oleh itu, tidak menghairankan sekiranya seorang pentadbir lebih selesa bertugas di sekolah satu sesi kerana tidak perlu berdepan dengan pelbagai cabaran seperti yang telah dibincangkan.
Sedar atau tidak, saya telah melalui pengalaman ini hampir 10 tahun di sekolah sedemikian. Namun, saya amat bersyukur kerana dikurniakan pasukan guru yang rajin dan komited, ditambah dengan ibu bapa yang memahami situasi serta cabaran sekolah. Diharapkan agar sekolah baharu dapat diwujudkan di daerah yang mempunyai populasi murid yang ramai bagi meringankan beban warga sekolah dan memastikan pelajar dapat mengikuti pembelajaran dalam persekitaran yang lebih kondusif.
