Hadiah Misteri Sempena Hari Guru
Hadiah Yang Tidak Pernah Terjawab
Perasaan kecewa dan duka yang menyelubungi diri selepas menerima hadiah misteri daripada kau lenyap begitu sahaja sejak kau berpindah ke Sekolah B. Mungkin dengan perpisahan itu, aku tidak lagi dihantui persoalan tentang mengapa itu hadiah yang kau pilih untuk aku.
Siapa sangka, selepas beberapa tahun kau berpindah ke Sekolah B, aku pula ditukarkan ke sekolah yang sama dengan kau, kebetulan Pengetua Sekolah itu bersara. Jauh sekali niat aku ke sekolah B untuk membalas dendam. Tidak terlintas langsung di kepala aku yang kau sebenarnya pun berada di sekolah tersebut.
Imbas semula di Sekolah A, sewaktu kau bersama aku, sebuah sampul putih besar yang tertera nama aku di atasnya adalah hadiah yang aku terima sempena sambutan Hari Guru. Dalam Permainan Bertukar Hadiah (Gift Exchange) adalah menjadi kebiasaan untuk tidak mendedahkan identiti si pemberi. Lazimnya si pemberi disyaratkan mendapatkan hadiah pada harga yang ditetapkan oleh penganjur.
Namun, seperti biasa, permainan ini ada kalanya mengundang rasa terkilan, apatah lagi apabila kita menghadiahkan sesuatu yang lebih mahal dan bermakna, tetapi menerima sesuatu yang kelihatan murah dan seolah-olah dibeli di Kedai RM2.00.

(Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah Tahun 2017)
Menerima Tanpa Memahami
Dalam keseronokan para guru bertukar hadiah yang dibaluti dengan kertas hadiah dan reben yang berwarna-warni, ternyata hadiah yang aku terima lain daripada yang lain. Sampul besar berwarna putih. Hati aku berasa berat untuk membukanya kerana bentuk sampul yang kelihatan ganjil dari luar.
Dalam budaya masyarakat Cina, sampul berwarna putih sering dikaitkan dengan kematian. Agaknya apakah maksud hadiah ini daripada seorang guru kepada pentadbir sekolah? Akhirnya misteri terbongkar apabila hadiah itu merupakan sebilah pisau toreh. Bermacam-macam tanggapan berligar-ligar di dalam otak aku, namun aku tenangkan diri dan berfikir, “bukankah ini satu permainan sahaja? Perlukah aku serius? Perlukah aku marah dan kecewa?”
Misteri selanjutnya terungkai apabaila aku mengetahui siapa guru yang menghadiahkan aku pisau toreh itu. Bermacam-macam andaian bermain di fikiran. Adakah guru itu mahu aku masuk hutan dan menoreh getah? Ataupun dia memang mempunyai banyak pisau toreh di rumah? Entahlah, hanya dia memiliki jawapannya.
Namun, aku memilih untuk tidak terus berteka-teki. Aku juga tidak merasakan perlu untuk menghebohkan perkara itu. Walaupun secara jujur aku tidak suka hadiah tersebut, aku tidak memanggil guru itu untuk memberi penjelasan. Aku rasa, tiada gunanya mengetahui maksud sebenar di sebalik pemberian itu. Mungkin ada niat tertentu, mungkin juga tiada apa-apa. Kadangkala, membiarkan sesuatu misteri kekal misteri adalah jalan yang paling tenang.

(Kumpulan koir guru-guru membuat persembahan sempena Hari Guru Peringkat Daerah Tahun 2017)
Reda Dalam Pertemuan Semula
Di Sekolah B, guru itu sekali lagi berada di bawah pentadbiran aku. “Memang kau kena kali ini. Ini peluang aku, siap kau”. Mungkin itu yang difikirkan oleh sesetengah orang, reaksi yang bukanlah luar biasa jika melihat sejarah antara kami. Persoalannya, adakah aku benar-benar mahu mengenakan guru itu sepuas-puasnya?
Hakikatnya aku tidak pernah berbuat demikian. Malah jauh di sudut hati, aku sudah lama memaafkan guru tersebut. Aku berfikir secara rasional, mungkin dia marah kerana teguran atau tindakan yang pernah aku ambil terhadapnya suatu ketika dahulu. Mungkin juga dia tidak senang dengan gaya pentadbiran aku. Ataupun dia sekadar berasa terbeban berada di bawah pentadbiran aku.
Akhirnya dia memohon pindah, permohonannya untuk pindah aku sokong sepenuhnya. Sedikit demi sedikit, memori tentang hadiah pisau toreh itu pudar dari ingatan. Yang tinggal hanyalah pengajaran tentang nilai kesabaran dan kemaafan.
Profesionalisme Mengatasi Dendam
Di Sekolah B, aku bertugas hampir 10 tahun dan selama itulah dia ada bersama aku. Aku melihat guru itu menunjukkan prestasi kerja yang jauh lebih baik daripada sebelumnya. Aku tidak menganggap guru itu musuh semata-mata kerana peristiwa yang lalu. Aku melayan guru itu dengan baik dan adil seperti mana aku melayan guru-guru yang lain.
Kata-kata arwah ibu aku masih terngiang-ngiang di telinga, “kita mesti sentiasa berbaik dengan semua orang.”
Malahan aku pernah mencalonkan guru itu sebagai salah seorang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC). Adakah aku sudah tidak waras? Tidak sama sekali, aku yakin walaupun peristiwa lampau mungkin pahit, ia tidak seharusnya menjejaskan tanggapan aku terhadap prestasi kerja guru tersebut.
Bisikan Hikmah di Sebalik Cerita
Sepanjang aku di Sekolah B, aku tidak pernah mengungkit kisah hadiah “bisa” itu kepada guru tersebut. Aku juga tidak menuntut agar dia meminta maaf. Apa yang aku tahu, jika dia layak diberikan APC atas perkhidmatannya yang cemerlang, aku wajar memberi pengiktirafan itu walaupun aku pernah terguris oleh “pisau toreh” itu.
Aku belajar untuk berfikir jauh dan menghindarkan diri dari membiarkan emosi mengaburi penilaian terhadap seseorang. Jika kita mampu memaafkan kesilapan dan kelemahan orang lain, pasti lebih mudah untuk kita melihat kebaikan dan potensi dalam diri mereka.
Selepas aku bersara, aku berkesempatan berjumpa dengan salah seorang guru sewaktu pernah bersama-sama aku di Sekolah A. Nun di utara Semenanjung, guru yang telah berpindah hampir 20 tahun ke kampung asal secara tiba-tiba bertanya tentang peristiwa pisau toreh itu. Mungkin dia ingin tahu kesudahan cerita pisau toreh itu…….
REFLEKSI
Kita perlu belajar untuk tidak membawa beban emosi negatif ke merata tempat kerana ia bukan sahaja membebankan minda, malah menjejaskan kesihatan fizikal dan mental. Sebaiknya, kita melatih diri untuk melepaskan apa yang mengganggu jiwa agar fikiran kita sentiasa tenang dan jernih. Apabila kita memilih untuk berfikiran positif, kita membuka ruang dalam minda dan hati untuk melihat kebaikan dalam diri orang lain walaupun mereka mungkin tidak sempurna seperti yang kita harapkan.