Seperjuangan Tanpa Noktah : Kisah Kepimpinan dan Kesetiaan di SMK Kemabong
PERTEMUAN YANG MEMBUKA TAKDIR
“Puan Lian, bolehkah sekolah kami menjemput puan untuk mengendalikan satu bengkel Perancangan Strategik?” Soalan ini diajukan secara sipu-sipu oleh seorang Penolong Kanan Pentadbiran ketika kami bertemu dalam satu program sekolah peringkat daerah.
Saya menjawab ringkas, “Boleh, cikgu. Atur sahaja tarikhnya.”
Namun tidak lama selepas itu, saya dipindahkan ke Sekolah B, terletak hampir 40 kilometer dari Pekan Tenom. Sejak perpindahan itu, saya tidak lagi mendengar khabar daripada Penolong Kanan tersebut - sama ada jemputan itu masih relevan atau sudah dilupakan.
Tidak pernah saya sangka pertemuan ringkas pada hari itu sebenarnya membawa petanda bahawa saya bukan hanya diperlukan untuk satu dua jam, tetapi mungkin untuk tempoh bertahun-tahun.
Penolong Kanan itu ialah Puan Frances Stanis Angap, seorang wanita gigih yang telah mencurahkan khidmat dan baktinya di SMK Kemabong selama hampir dua dekad.
Pada Mac 2011, atas ketentuan Tuhan Yang Maha Esa, saya ditempatkan di sekolah yang sama. Rupa-rupanya, jemputan bengkel itu bukan sekadar satu ajakan biasa – tetapi satu panggilan takdir yang lebih besar.
Saya hadir bukan sebagai penceramah semata-mata, tetapi sebagai peneraju utama dalam membangunkan Perancangan Strategik untuk sekolah ini – sebuah sekolah yang saya pimpin sendiri.
Ternyata benar kata-kata Puan Frances. Sekolah ini memang sangat memerlukan satu hala tuju yang jelas melalui Perancangan Strategik yang menyeluruh merangkumi semua bidang pengurusan. Sayangnya, ketika itu mereka tidak tahu di mana harus bermula.
(Bersama Puan Frances Dalam Satu Majlis Sekolah Tahun 2013)
VISI BAHARU, SEMANGAT BAHARU
Oleh kerana saya memulakan tugas di sekolah ini pada bulan Mac, saya tidak bercadang untuk melakukan sebarang perubahan besar secara tergesa-gesa memandangkan kebanyakan program telah pun dirancang dan dilaksanakan mengikut takwim tahunan.
Namun, dalam dua minggu pertama saya mengambil peluang untuk melakukan environmental scanning – meneliti setiap aspek pengurusan dan pentadbiran, kualiti pengajaran dan pembelajaran, keselamatan dan kebersihan sekolah, disiplin murid serta mengenali ragam guru dan anggota kumpulan sokongan.
Saya ingin memahami denyut nadi sebenar sekolah ini sebelum menetapkan hala tuju kepimpinan saya.
Salah satu perkara yang menarik perhatian saya ialah visi sekolah. Saya mendapati bahawa visi tersebut sudah tidak lagi relevan – barangkali telah digubal sejak era 90-an dan tidak mencerminkan keperluan serta aspirasi pendidikan masa kini.
Saya mula melontarkan idea untuk menggubal visi dan misi baharu – sesuatu yang lebih mencabar, segar dan mampu menyuntik semangat kepada seluruh warga sekolah. Setelah melalui beberapa siri perbincangan, akhirnya visi baharu yang dipilih ialah :
“SMK Kemabong Akan Menjadi Sekolah Terbaik Di Daerah Tenom Menjelang 2015.”
Puan Frances, Penolong Kanan Pentadbiran, pada mulanya agak ragu-ragu. Beliau mencadangkan agar visi tersebut diubah kepada : “SMK Kemabong akan menjadi antara sekolah terbaik di daerah Tenom menjelang 2015,” kerana melihat kepada realiti semasa prestasi sekolah yang masih jauh daripada sasaran.
Saya memahami kebimbangannya dan memang benar kerisauannya berasas. Namun bagi saya, visi bukanlah cerminan kepada keadaan semasa – ia adalah impian masa depan yang harus dikejar.
Visi yang terlalu selamat akan menjadikan warga sekolah berpuas hati dengan sedikit pencapaian. Sebaliknya, visi yang berani akan menggerakkan seluruh sistem ke arah perubahan yang bermakna.
Akhirnya, visi tersebut diterima pakai dan diangkat sebagai tekad seluruh warga sekolah. Sejak itu, tidak ada sesiapa lagi menoleh ke belakang. Semangat untuk mengejar kejayaan mula membara dan menyatukan usaha semua pihak ke arah satu matlamat bersama.
(Visi dan Misi Sekolah 2011 – 2015)
PERANCANGAN STRATEGIK : DARI KERTAS KE AKSI
Sejak itu, saya dan Puan Frances berganding bahu menggerakkan jentera sekolah untuk menjayakan bengkel Perancangan Strategik. Selepas beberapa siri bengkel dan perbincangan intensif, akhirnya sekolah berjaya menghasilkan sebuah dokumen Perancangan Strategik Sekolah (PSS) yang sejajar dengan visi serta misi yang telah digubal.
Bermula dari situ, segala strategi yang dikenal pasti dalam PSS dimasukkan ke dalam Takwim Sekolah. Setiap program disusun dan dilaksanakan berasaskan konsep PDCA – Plan, Do, Check, Act.
Ia bermula dengan sesi perancangan seperti mesyuarat dan taklimat, diikuti dengan penubuhan jawatankuasa, pelaksanaan program, pemantauan rapi dan akhirnya proses penilaian untuk tujuan penambahbaikan berterusan.
Sepanjang sedekad bekerjasama dengan Puan Frances, saya menyaksikan sendiri betapa beliau benar-benar memahami keperluan dan keutamaan seorang pentadbir sekolah. Saya amat bersyukur kerana beliau bukan sahaja cekap dalam mengurus aspek pentadbiran, malah mampu memimpin bidang kurikulum dengan sangat berkesan.
Lama-kelamaan, bimbingan saya kepadanya semakin minimum – bukan kerana saya mengabaikan, tetapi kerana beliau seorang yang proaktif dan mampu bergerak sendiri tanpa perlu diarahkan.
Bahkan, saya dengan yakin menurunkan kuasa kepadanya untuk mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat yang berada di bawah bidang kuasanya.
Sejujurnya, saya tidak pernah merasa risau. Saya tahu setiap tugas yang diamanahkan kepadanya akan dilaksanakan dengan penuh ketelitian dan kesungguhan.
(Program Luar Sekolah di Kem Malanggang Kiulu Tahun 2018)
DI SAAT SAYA HAMPIR TEWAS
Mengurus sebuah sekolah yang sarat dengan cabaran bukanlah tugas mudah. Ada kalanya, saya sendiri pernah merasa lemah dan hampir patah semangat. Dalam saat-saat sebegitu, insan yang paling dekat dan sentiasa ada untuk saya ialah Puan Frances.
Beliaulah tempat saya meluahkan rasa, berkongsi beban dan mencari kekuatan. Tidak hanya di waktu bekerja, kadangkala saya menghubunginya melalui WhatsApp di luar waktu pejabat - dan setiap mesej saya pasti dibaca dan dibalas dengan cepat dan penuh prihatin.
Inilah salah satu kelebihan besar yang ada pada Puan Frances. Tidak kira hari mahupun waktu, apabila saya memerlukan pandangan atau sokongan, beliau sentiasa bersedia membantu. Sentiasa ada. Sentiasa hadir.
Benar, pelajar dan guru sering mendapatkan dorongan daripada pentadbir sekolah. Tetapi apabila seorang pentadbir pula kehilangan motivasi, siapa pula yang akan menjadi penyuntik semangatnya?
Di sinilah Puan Frances memainkan peranannya dengan begitu tulus. Apabila beliau menyedari saya hampir berputus asa, beliau tidak teragak-agak menegur dengan lembut tetapi tegas. Kata-katanya masih terngiang dalam ingatan saya :
“Puan tidak boleh putus asa. Kalau puan putus asa, apalagi kami……”
Kata-kata itulah yang kembali mengangkat saya saat semangat saya hampir tenggelam. Itulah kekuatan Puan Frances - bukan sahaja dalam melaksanakan tanggungjawab, tetapi juga dalam menyuntik harapan.
Hubungan kami tidak hanya terbatas pada skop rasmi antara seorang pengetua dan penolong kanan. Kami adalah rakan seperjuangan, malah lebih daripada itu - kami adalah sahabat sejati.
Kami saling menyokong, saling memahami dan saling menguatkan dalam setiap cabaran yang mendatang. Syukurlah, minda, usaha dan semangat kami sehaluan - demi satu impian yang sama iatu membangunkan sekolah ini menjadi kebanggaan bersama.
(Kelas Bimbingan Bahasa Melayu Bersama Pelajar)
PERPISAHAN YANG SARAT MAKNA
Namun, ketika saya menerima berita pertukaran ke Pejabat Pendidikan Daerah Tenom, reaksi Puan Frances bukanlah seperti yang saya jangkakan.
Pada awalnya, mungkin beliau ingin mengucapkan tahniah, tetapi suasana bertukar menjadi hening dan sebak. Belum sempat sepatah kata terluah, air matanya lebih dahulu mengalir - tanpa mampu ditahan.
Saya mengerti pemergian saya bukan sekadar perpindahan jawatan. Ia adalah pemisahan dua rakan seperjuangan yang telah melalui begitu banyak kisah - suka dan duka, pahit dan manis, jatuh dan bangun - demi mengangkat martabat sekolah yang kami cintai ini.
Namun, saya percaya, meskipun secara fizikal saya tidak lagi berada di sisi beliau, semangat, nilai kerja dan aura positif yang pernah kami bina bersama tetap hidup dalam dirinya.
Saya juga yakin, Puan Frances akan terus “menjaga” sekolah ini dengan penuh dedikasi, biarpun pengetua telah bertukar sebanyak dua kali - dan mungkin akan bertukar lagi menjelang hujung tahun ini.
Terima kasih, Puan Frances, saya titipkan penghargaan ini dengan setulus rasa, seikhlas jiwa.
(Menanam Pokok Sebagai Simbolik Perpisahan Tahun 2021)
REFLEKSI
Kisah ini menggambarkan betapa pentingnya hubungan kepercayaan, keserasian dan sokongan antara pemimpin sekolah dan pasukan kepimpinannya dalam menjayakan transformasi sesebuah institusi pendidikan.
Kejayaan bukan hanya terletak pada strategi yang dirancang di atas kertas, tetapi juga pada keikhlasan hati, kesatuan matlamat dan kecekalan menghadapi cabaran bersama.
Dalam perjalanan memimpin, seorang pemimpin juga memerlukan sandaran dan dalam kisah ini, Puan Frances bukan sekadar pembantu, tetapi sahabat seperjuangan yang menjadi sumber kekuatan ketika semangat mula pudar.
Persahabatan yang tulus dan perjuangan yang seiring telah menjadi asas kukuh kepada kecemerlangan sekolah, yang kesannya mungkin akan dikenang jauh melangkaui tempoh perkhidmatan.