.

SOKONGAN YANG MENYUBURKAN POTENSI

July 31, 20265 min read

KEKUATAN DAN KESEIMBANGAN KECEMERLANGAN SEKOLAH

Apakah kekuatan sebenar sesebuah sekolah? Ada sekolah yang menonjol dalam bidang akademik, tidak kurang pula yang gah dalam bidang kokurikulum. Namun, bagi seorang pentadbir sekolah, memastikan kedua-dua bidang ini bergerak seiring bukanlah tugas yang mudah.

Tidak dapat dinafikan bahawa kecemerlangan sesebuah sekolah bergantung kepada tenaga pengajarnya. Guru-guru yang berwibawa, berpengalaman, bersemangat serta komited dalam tugas merupakan tonggak utama yang menggerakkan kejayaan akademik dan kokurikulum. Kesungguhan mereka menentukan sejauh mana pelajar dapat menyerlahkan potensi diri.

Dalam bidang kokurikulum, pelbagai aktiviti dapat diketengahkan bagi mencungkil bakat pelajar. Ada sekolah yang unggul dalam bidang sukan dan permainan, manakala ada pula yang menyerlah dalam aktiviti ko-akademik seperti perbahasan, pidato, berpantun dan choral speaking.

Di sekolah luar bandar, pelajar lazimnya lebih cenderung kepada sukan dan permainan kerana sifat fizikal mereka yang cergas serta tahan lasak. Sementara itu, pelajar di bandar turut menunjukkan keaktifan dalam bidang yang sama, didorong oleh kemudahan prasarana sukan serta bimbingan jurulatih yang berkualiti.

Dalam masa yang sama, pelajar bandar sering menonjol dalam aktiviti ko-akademik dan unit beruniform. Pendedahan yang luas terhadap maklumat, kemahiran komunikasi serta penguasaan bahasa menjadi kelebihan utama mereka dalam aktiviti yang memerlukan intelek dan keyakinan diri yang tinggi.

Akhirnya, kekuatan sesebuah sekolah bukan hanya diukur melalui bilangan anugerah atau kejuaraan, tetapi sejauh mana sekolah itu mampu melahirkan pelajar yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kepimpinan.

AKADEMIK DIUJI, KOKURIKULUM MENYINAR

Begitulah keadaannya ketika saya berada di Sekolah B. Dari sudut prestasi akademik, guru-guru perlu berhempas pulas memastikan pelajar memberi tumpuan dalam pembelajaran. Ramai antara mereka kurang berminat terhadap akademik atau mempunyai asas pembelajaran yang agak lemah, menyebabkan usaha pengajaran memerlukan kesabaran dan strategi yang pelbagai.

Namun begitu, apabila dilihat dari sudut kokurikulum - terutamanya dalam bidang sukan dan permainan, situasinya jauh berbeza. Guru-guru tidak perlu bersusah payah memujuk pelajar untuk turun berlatih. Mereka begitu bersemangat dan berminat, seolah-olah sukan menjadi ruang untuk mereka menonjolkan potensi dan kekuatan diri.

Tidak hairanlah ramai pelajar Sekolah B berjaya dipilih mewakili daerah dan negeri dalam pelbagai pertandingan sukan dan permainan. Di situlah terletaknya kelebihan dan kebanggaan sekolah ini - melahirkan pelajar yang bukan sahaja cergas fizikalnya, tetapi juga berjiwa kental dan berdaya saing.

MENONJOLKAN POTENSI PELAJAR LUAR BANDAR

Saya sering tertanya-tanya tentang nasib pelajar-pelajar yang cemerlang dalam akademik tetapi lemah dalam aktiviti kokurikulum. Justeru, saya mengajak guru-guru yang berminat dalam aktiviti ko-akademik untuk membuka ruang dan mencari peluang bagi pelajar-pelajar yang mempunyai potensi tersendiri.

Syukur, ada dalam kalangan guru yang berani menyahut cabaran itu. Mereka bertekad mahu membuktikan bahawa pelajar-pelajar di luar bandar juga mampu menyerlah dan bersaing. Salah satu aktiviti yang paling menonjol ialah aktiviti berteraskan STEM dan Inovasi.

Hasil kesungguhan dan komitmen tinggi para guru, pelajar-pelajar pernah beberapa kali mewakili negeri dalam pertandingan inovasi. Lebih membanggakan, sekumpulan pelajar berjaya muncul sebagai juara kebangsaan dalam Pertandingan Young Innovate Challenge (YIC).

Siapa sangka, pelajar-pelajar luar bandar yang selama ini dianggap kekurangan sumber dan pendedahan, sebenarnya mampu mencetuskan idea bernas, membina model dan mempersembahkan hasil inovasi mereka di hadapan panel juri profesional.

Lebih mengagumkan, mereka perlu membuat persembahan dalam Bahasa Inggeris - bahasa yang jarang digunakan dalam kehidupan seharian mereka. Walaupun pada awalnya timbul rasa gementar dan kurang yakin, namun dengan latihan yang terancang dan sokongan berterusan daripada pihak sekolah, mereka berjaya menempuh cabaran tersebut.

Kejayaan ini menjadi penanda aras kepada sekolah untuk terus mencungkil bakat terpendam pelajar-pelajar luar bandar, terutama dalam bidang baharu yang belum diterokai. Ia membuktikan bahawa potensi besar boleh lahir di mana-mana, asalkan diberi peluang, bimbingan dan kepercayaan.

SOKONGAN YANG MENYUBURKAN KEJAYAAN

Mengenang semula momen indah kemenangan itu, satu perkara penting perlu ditekankan - guru-guru dan pelajar-pelajar sebenarnya amat memerlukan sokongan, sama ada dari aspek material mahupun moral, terutamanya daripada pihak pentadbir sekolah.

Lebih-lebih lagi apabila mereka berhadapan dengan risiko meneroka bidang baharu yang belum pasti hasilnya. Saya masih teringat ketika menghulurkan sekeping borang penyertaan untuk pertandingan YIC kepada seorang guru. Wajahnya jelas menunjukkan rasa cemas dan ragu, bimbang jika pelajar-pelajar tidak mampu mencapai tahap yang diharapkan.

“Cikgu cari sahaja pelajar-pelajar yang berminat, bimbing mereka dan biarkan mereka bertanding. Kalah atau menang bukan isunya, yang penting adalah penyertaan,” aku menenangkannya.

Pada peringkat awal, penyertaan pelajar hanyalah sekadar mencuba nasib. Namun, daripada setiap kekalahan, mereka belajar memperbaiki kelemahan dan memperkukuh kualiti persembahan. Berkat kesabaran dan kesungguhan guru-guru yang membimbing, akhirnya pelajar-pelajar mula selesa dengan dunia inovasi dan bersemangat untuk bersaing ke arah kemenangan.

Mereka berjaya membuktikan bahawa anak-anak petani juga mampu berdiri sama tinggi dengan anak-anak golongan profesional di sekolah bandar. Kejayaan itu bukan sahaja mengubah persepsi terhadap kemampuan pelajar luar bandar, tetapi juga menjadi bukti bahawa keyakinan dan sokongan yang mampan mampu menghasilkan kehebatan luar biasa.

SOKONGAN PENTADBIR: PEMANGKIN KEBERANIAN GURU

Oleh itu, sokongan dan galakan daripada pihak pentadbir sekolah amat penting untuk menarik minat guru-guru mencuba bidang yang belum pernah diceburi. Bayangkan jika seorang guru yang baharu bersemangat mahu membawa pelajar menyertai pertandingan disambut dengan satu pertanyaan daripada pentadbir sekolah, “Cikgu yakinkah boleh menang?”

Sudah tentu kata-kata sebegitu mampu mematahkan semangat. Guru tersebut mungkin berasa agak tertekan, lalu menarik balik hasratnya kerana bimbang akan gagal.

Lebih membimbangkan, kata-kata itu bukan hanya didengari oleh seorang guru, tetapi turut meninggalkan kesan kepada guru-guru lain. Akibatnya, ramai yang memilih untuk tidak mencuba, semata-mata kerana takut tidak mencapai kemenangan.

Namun, kemenangan tidak akan datang tanpa penyertaan. Penyertaanlah yang menjadi asas kepada kejayaan. Setiap langkah kecil menuju pertandingan ialah proses pembelajaran yang berharga, bukan sekadar soal menang atau kalah.

Jika peluang ini tidak diberikan, siapakah yang akhirnya rugi? Bakat pelajar-pelajar yang berpotensi akan terkubur begitu sahaja. Maka, tepuk dada tanya selera - adakah kita benar-benar memberi ruang untuk mereka berkembang?

REFLEKSI

Daripada keseluruhan pengalaman ini, jelaslah bahawa kejayaan sesebuah sekolah tidak hanya bergantung kepada kecemerlangan akademik semata-mata, tetapi juga kepada keberanian mencuba dan kesediaan memberi peluang. Sokongan padu daripada pentadbir mampu menyemarakkan semangat guru dan membuka ruang pelajar untuk menyerlahkan potensi mereka.

Kejayaan pelajar luar bandar dalam bidang inovasi membuktikan bahawa bakat tidak mengenal sempadan. Yang mereka perlukan hanyalah keyakinan, bimbingan dan dorongan. Maka, setiap kemenangan bermula dengan satu langkah kecil - langkah yang disokong oleh kepercayaan dan keikhlasan untuk melihat orang lain berjaya.

Lian Fee Choo

Lian Fee Choo

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan. Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Back to Blog