SYAFARINAH HARUN : Kejayaan ini bukan milik saya seorang. Ia milik seluruh sekolah.
DETIK BERSEJARAH DI SMK KEMABONG
Debaran menunggu keputusan SPM 2017 pada ketika itu begitu terasa, kerana di situlah tertumpunya harapan tinggi terhadap seorang pelajar berpotensi yang dijangka mampu mencipta sejarah sebagai pelajar straight A’s pertama di SMK Kemabong. Debarannya ibarat menantikan kelahiran cahaya mata pertama - penuh harapan, namun tidak pasti rupa dan bentuknya.
Sebaik sahaja keputusan diumumkan, kegembiraan dan kepuasan yang tidak terhingga menyelubungi seluruh warga di sekolah tersebut. Impian yang sekian lama dinanti akhirnya menjadi kenyataan. Sejarah tercipta apabila pelajar bernama Syafarinah Harun berjaya memperoleh straight A’s dengan pencapaian 10A.
Beliau merupakan pelajar pertama di sekolah itu yang memperoleh 10A. Yang lebih membanggakan, beliau adalah satu-satunya pelajar yang mendapat keputusan 10A di seluruh Daerah Tenom pada tahun itu. Melihat namanya dan nama sekolah - lengkap dengan lencana sekolah terpampang di baris teratas senarai pelajar cemerlang daerah menghadirkan rasa bangga yang sukar diungkap dengan kata-kata.
Meskipun pada awalnya Syafarinah merasakan agak sukar untuk meraih 10A, namun dengan keyakinan dan dorongan para guru, serta bimbingan berterusan, beliau memaksa dirinya untuk belajar bersungguh-sungguh. Usaha gigihnya itu akhirnya membuahkan hasil yang membanggakan.

(Aktiviti flying fox di Pusat Kokurikulum Negeri)
MENCIPTA SATU, MENANTI BERTAHUN
“Cikgu-cikgu sekalian, pada tahun ini kita mempunyai seorang pelajar Tingkatan 2 yang sangat berpotensi. Lihat sahaja markah yang dicapainya dalam setiap subjek - hampir semuanya mencecah 90% ke atas. Kita perlu ‘menjaga’ pelajar ini sebaik mungkin kerana dia berpotensi untuk menjadi pelajar straight A’s dalam SPM, tiga tahun dari sekarang.”
“Sekiranya kita gagal melahirkan pelajar straight A’s kali ini, mungkin kita terpaksa menunggu beberapa tahun lagi untuk mendapatkan semula pelajar berpotensi seperti Syafarinah.”
Itulah antara kata-kata yang pernah saya sampaikan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum pada tahun 2014. Ketika itu, analisis pencapaian setiap peperiksaan menunjukkan konsistensi luar biasa dalam prestasi pelajar ini.
Mungkin bagi sesetengah sekolah, melahirkan pelajar straight A’s bukanlah sesuatu yang luar biasa atau membanggakan. Mereka melahirkan puluhan, malah ratusan pelajar cemerlang setiap tahun - sudah menjadi perkara biasa bagi mereka.
Namun hakikat itu tidak berlaku di sekolah yang saya pimpin. Bukan niat saya mencari kelemahan dalam kalangan pelajar, jauh sekali untuk mencari alasan bagi mempertahankan kegagalan mencapai kecemerlangan. Tetapi hanya mereka yang pernah mengajar di sekolah seperti ini akan benar-benar memahami apa yang saya maksudkan.

(Pemandangan di Muslim Cultural Heritage Centre, London)
DI SEBALIK 10A : USAHA, STRATEGI DAN DOA
Kebiasaannya, pelajar seperti Syafarinah - walaupun dikenal pasti sebagai pelajar berpotensi, tidak semestinya melalui jalan mudah untuk mencapai 10A. Hakikatnya, pelajar cemerlang juga lazimnya memiliki satu atau dua titik kelemahan dalam subjek tertentu. Jika kelemahan ini tidak ditangani dengan berkesan, ia boleh menjadi penghalang utama untuk mencapai keputusan straight A’s.
Bagi Syafarinah, subjek yang paling merisaukan ialah Bahasa Inggeris. Dalam peperiksaan peringkat sekolah, beliau hanya mampu mencapai gred B atau C. Justeru, pihak sekolah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan beliau mendapat bantuan secukupnya agar prestasi Bahasa Inggerisnya seiring dengan subjek-subjek lain.
Jika kebanyakan pelajar hanya mempunyai seorang guru Bahasa Inggeris, Syafarinah beruntung kerana mendapat bimbingan daripada dua orang guru bagi subjek tersebut. Beliau diberi lebih banyak pendedahan dalam aspek pembacaan, penulisan serta latihan menjawab soalan - kesemuanya disusun secara khusus untuk memperkukuh penguasaannya dalam Bahasa Inggeris.
Syukur, pendekatan ini membuahkan hasil. Keputusan 10A akhirnya menjadi milik Syafarinah dan kejayaan itu turut menjadi kebanggaan seluruh warga sekolah. Walaupun nama yang tertera pada sijil SPM hanyalah satu, kemanisannya dirasai oleh seluruh komuniti sekolah dan penduduk setempat.

(Pemandangan dari Dublin Castle)
SYAFARINAH: MEMBUKA LALUAN, MENINGGALKAN JEJAK
Kejayaan seorang pelajar seperti Syafarinah, yang berasal daripada keluarga B40, merupakan satu pencapaian luar biasa yang sangat membanggakan.
Tidak lama selepas keputusan SPM diumumkan, Syafarinah ditawarkan biasiswa MARA untuk mengikuti Program International Baccalaureate (IB) dalam Aliran Sains (Kursus Perubatan) di Kolej MARA Banting, Selangor selama dua tahun, sebagai persediaan untuk pengajian perubatan di luar negara.
Selepas menamatkan program IB, Syafarinah menerima tawaran untuk menyertai Program Ijazah Perubatan Pra-siswazah RUMC, bagi mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Perubatan, Pembedahan dan Obstetrik. Dua setengah tahun pertama program ini berlangsung di Dublin, Ireland, di mana beliau memilih untuk melanjutkan pengajian di institusi terkemuka, Royal College of Surgeons in Ireland (RCSI).
Kejayaan Syafarinah telah menjadi inspirasi dan teladan kepada ramai pelajar lain di sekolah ini. Sesungguhnya, usaha gigih dan komitmen yang luar biasa tidak pernah mengecewakan.
Malah, kejayaan beliau turut membuka jalan kepada kejayaan-kejayaan seterusnya. Hasil daripada impak positif yang ditinggalkannya, sekolah ini berjaya melahirkan dua lagi pelajar straight A’s pada tahun-tahun berikutnya.
DARI DUBLIN KE PULAU PINANG: FASA TERAKHIR SEORANG PEJUANG
Kini, Syafarinah telah kembali dari Dublin untuk meneruskan latihan klinikal di RUMC Pulau Pinang, dan sedang berada di tahun akhir pengajian perubatan.
Sesungguhnya, laluan yang dipilih ini telah membentuk dirinya dengan cara yang tidak pernah dijangkakan - daripada cabaran yang ditempuhi sehinggalah membuat keputusan besar demi masa depan, pada usia yang masih muda.
Pengalaman bertemu pelbagai individu daripada latar belakang yang berbeza di luar negara, serta proses menyesuaikan diri dalam persekitaran baharu, benar-benar telah mengubah cara Syafarinah melihat dunia.
Dalam banyak hal, pengalaman ini menjadi kekuatan yang membantunya terus bertahan, walaupun semangatnya pernah pudar.
Menurut Syafarinah, beliau sendiri tidak pernah terbayang bahawa dirinya akan sampai sejauh ini, terutamanya dengan tahap penguasaan bahasa Inggerisnya yang terhad pada waktu itu. Namun, sepanjang perjalanan yang penuh dengan ujian dan pengalaman ini, beliau secara perlahan-lahan mula memahami erti sebenar bidang perubatan dan mengapa ia begitu bermakna dalam hidupnya.

(Di RCSI, Ireland pada Disember 2023)
GURU, KELUARGA DAN KOMUNITI : RANGKAIAN HARAPAN
Bagi setiap anak, tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa adalah tulang belakang kejayaan mereka. Begitu jugalah bagi Syafarinah, yang sentiasa mendapat sokongan tanpa syarat daripada ibu bapanya.
Mereka sentiasa berada di sisi, terutama sekali ketika melalui saat-saat sukar. Walaupun mereka mungkin tidak menyedari betapa besar peranan yang dimainkan, hakikatnya merekalah pendorong utama kejayaannya hingga ke hari ini.
Syafarinah juga tidak melupakan jasa dan sokongan luar biasa daripada seluruh komuniti sekolah - termasuk guru-guru, pengawal keselamatan, pekerja kantin, staf asrama, ibu bapa, rakan-rakan serta penduduk kampungnya sendiri - yang tidak pernah putus mendoakan dan mengharapkan kejayaannya. Berikut adalah kata-kata yang dititipkannya :
"Disebabkan dedikasi para gurulah, saya berada di tahap ini hari ini. Saya amat berterima kasih atas segala jasa dan bakti mereka dalam membantu kemajuan pelajaran saya. Terima kasih juga kepada Puan Pengetua, yang telah mengajar saya Bahasa Inggeris dan mempercayai saya ketika saya sendiri tidak yakin dengan diri sendiri."
"Puan Pengetualah yang menginspirasi saya untuk menetapkan cita-cita yang lebih tinggi. Apabila dikenang kembali, agak lucu juga - kini Bahasa Inggeris telah menjadi bahasa utama saya dalam kehidupan harian.
Saya akui masih banyak yang perlu diperbaiki, tetapi jika dibandingkan dengan dahulu, ketika saya hampir tidak boleh bertutur dalam bahasa itu, ia adalah satu langkah yang sangat besar. Terima kasih sekali lagi, dari lubuk hati saya yang paling dalam."

(Kini sedang menjalani latihan klinikal di RUMC Pulau Pinang)
REFLEKSI
Kisah Syafarinah adalah bukti bahawa latar belakang bukan penghalang untuk bermimpi besar. Berasal daripada keluarga B40, dia tidak bermula dengan kelebihan, tetapi dia bermula dengan kesungguhan.
Bukan semua orang mampu melihat potensi diri pada usia muda, namun apabila orang-orang di sekeliling percaya kepada kemampuan kita, itulah titik mula perubahan besar.
Refleksi ini bukan tentang Syafarinah seorang. Ia tentang kita semua. Kita mungkin berbeza kisah, tetapi harapan dan potensi tetap ada dalam diri setiap insan. Yang penting, jangan pernah meremehkan langkah kecil. Jangan malu meminta bantuan. Jangan berhenti hanya kerana jalan itu sukar.
Percayalah, usaha yang berterusan, walaupun perlahan, akan membawa kita ke tempat yang kita sendiri tidak pernah bayangkan. Yang penting, teruskan melangkah – pastinya yang “pipih akan datang melayang dan yang bulat akan datang menggolek.”
