
KEMBARA KE SYURGA ALAM
JIUZHAIGOU : SYURGA ALAM YANG DIIKTIRAF DUNIA
Dikenali sebagai Raja Landskap Air dan Syurga di Bumi, Jiuzhaigou (Lembah Sembilan Kampung) bukanlah sebuah destinasi pelancongan yang asing. Terletak di bahagian utara Wilayah Sichuan, di barat daya China, kawasan ini berada tidak jauh dari ibu kota wilayahnya, Chengdu, yang terkenal di seluruh dunia sebagai habitat panda gergasi.
Jiuzhaigou merupakan destinasi yang wajib dikunjungi kerana keindahan alam semula jadinya telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Semulajadi Dunia UNESCO. Apabila berada di sini, rasanya seolah-olah kita sedang melangkah masuk ke dalam sebuah lukisan landskap yang hidup. Air di Jiuzhaigou merupakan jiwa kepada tempat ini - jernih, berwarna-warni dan memukau pandangan.
EMPAT MUSIM, EMPAT WAJAH JIUZHAIGOU
Tidak kira pada musim apa anda berkunjung, Jiuzhaigou sentiasa menyajikan pesona yang berbeza, justeru setiap lawatan membawa pengalaman yang unik dan memikat hati. Jika di negara kita pemandangan sesuatu tempat lazimnya hampir sama sepanjang tahun, di negara yang mengalami empat musim, panorama alam sentiasa berubah mengikut peredaran musim.
Tiada satu musim pun yang boleh dianggap lebih indah daripada yang lain, kerana setiap musim hadir dengan warna, suasana dan keistimewaannya yang tersendiri - semuanya tetap mempesona mata yang memandang.
Walaupun musim luruh, sekitar bulan September hingga awal November sering dianggap sebagai musim kemuncak kunjungan pelancong, aku memilih untuk melawat pada musim panas, iaitu antara bulan Jun hingga Ogos. Pada waktu itu, cuacanya sederhana sejuk dan selesa - sekitar 20 hingga 25 darjah Celsius pada waktu siang, manakala pada waktu malam suhunya turun hingga kira-kira 10 darjah Celsius.
Aku sengaja mengelakkan musim sejuk kerana bimbang tidak dapat menahan kesejukan yang melampau, apatah lagi perlu mengenakan pakaian yang tebal sepanjang masa.
Menyedari Juizhaiguo terletak kira-kira 2,000 meter dari aras laut, aku telah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk berjalan jauh demi menikmati keindahan tasiknya yang berkilauan, air terjunnya yang memukau serta dedaun yang berwarna-warni.
Boleh dikatakan aku bersiar-siar di sepanjang kawasan Rize Valley dan Shuzheng Valley selama lebih daripada empat jam. Setiap langkah seakan-akan membuka tirai kepada pemandangan baharu yang mempesona, masing-masing dengan keunikan tersendiri. Aku benar-benar kagum menyaksikan keindahan alam yang cukup luar biasa.
Berikut adalah antara tempat yang wajib dilawati:
1. Tasik Lima Bunga
Tasik ini dianggap sebagai inti keindahan Jiuzhaigou. Tidak kira pada musim apa, ia merupakan pemandangan paling indah di lembah ini. Terdapat 12 platform yang disediakan untuk pengunjung menikmati pemandangan sambil mengambil gambar.
Tasik ini digelar “Roh Berwarna Jiuzhaigou” kerana warnanya berubah sepanjang tahun, yakni hijau pada musim bunga, biru cerah pada musim panas dan warna api yang menawan pada musim luruh. Keunikan warna airnya yang terang dan memukau disebabkan oleh pemendapan travertin di dasar tasik, pelbagai jenis alga dan batang pokok purba yang telah terkapur di dasar air.

(Tasik Lima Bunga – Roh Berwarna Jiuzhaiguo)
2. Air Terjun Pearl Shoal
Tidak jauh dari Tasik Lima Bunga, terdapat air terjun yang sangat menakjubkan. Bermula dari aras atas, air mengalir ke kawasan luas batu karang berbatu cetek (shoals) sehinggaa ke tebing setinggi 40 meter, di mana air terjun ini akhirnya memperlihatkan alirannya yang sangat luar biasa.
Pengunjung biasanya akan berkumpul di tangga bersebelahan air terjun untuk menyaksikan keindahannya. Aliran airnya mungkin tidak bergemuruh walaupun saiz air terjunnya luas, aliran airnya tenang dan damai, menghasilkan pemandangan yang sungguh menenangkan jiwa.

(Air Terjun Pearl Shoal Yang Menakjubkan)
3. Tasik Shuzheng (Shuzheng Lakes)
Tasik ini ibarat sebuah palet dengan 19 buah tasik kecil. Ia terkenal dengan pemandangan unik di mana pokok-pokok dan air bergabung secara harmoni. Tasik-tasik ini menyerupai seuntai mutiara yang berselerak di antara pergunungan dan setiap tasik menampilkan warna yang berbeza-beza, justeru menambahkan keindahan panorama alam.
Maka tidak menghairankan tempat ini menyediakan latar belakang yang menarik bagi mereka yang berminat dengan fotografi. Pengunjung boleh menyewa pakaian tradisi Tibet untuk memperlihatkan kesepaduan budaya tempatan dengan alam sekitarnya yang asli. Malahan aku sempat melihat beberapa pasangan muda yang mengabadikan gambar perkahwinan di sekitar tasik ini.

(Panaroma Yang Menyerupai Tirai Lukisan)
4. Huanglong
Huanglong merupakan Tapak Warisan UNESCO yang terletak di Sichuan. Terletak di daerah Sonpan dengan ketinggian lebih 3,000 meter, kawasan pergunungan ini terkenal dengan Empat Keajaiban : gabungan kolam, gunung, gaung dan hutan. Justeru ia digelar “Syurga di Bumi.”
Kolam bertingkat berwarna-warni dan air terjun keemasan di sini mempunyai keunikan tersendiri. Walaupun sangat berbeza dengan Jiuzhaigou, keindahannya tetap menakjubkan. Disebabkan ketinggiannya yang melebihi 3,000 meter, pengunjung perlu memastikan tahap kecergasan fizikal untuk berjalan dan mendaki kawasan pergunungan ini. Malah, ada yang terpaksa menggunakan “oxygen can” kerana menghadapi kesukaran bernafas pada altitud yang tinggi.

(Huanglong – Syurga di Bumi)
5. Gunung Emei & Patung Buddha Gergasi
Gunung Emei dan Patung Buddha Gergasi Leshan setinggi 71 meter merupakan tapak Warisan Dunia UNESCO yang bersebelahan di Sichuan. Kedua-duanya terkenal dari aspek spiritual dan keindahan alam yang luar biasa. Pembinaan patung ini dimulakan oleh Biarawan Hai Tong yang mempercayai bahawa ia akan menenangkan arus sungai yang berbahaya. Patung ini mengambil masa 90 tahun untuk disiapkan.
Patung Buddha yang dibina pada abad ke-8 (zaman Dinasti Tang) ini merupakan patung batu pra-moden tertinggi di dunia. Ia diukir jauh ke dalam batu pasir merah yang terletak di persimpangan Sungai Min dan Sungai Dadu. Pengunjung boleh menyaksikannya melalui laluan tebing atau dari bot di sungai, menawarkan perspektif yang berbeza dan mengagumkan dari setiap sudut.

(Patung Buddha Setinggi 71 meter)
6. Chengdu
Bandar Chengdu ialah ibu negeri Wilayah Sichuan. Terdapat beberapa daya tarikan moden di bandar ini, termasuk Jambatan Anshun, yang merupakan jambatan purba dari zaman Dinasti Yuan, yang diberi nafas baharu. Pada waktu malam, kawasan sekitar jambatan ini berseri-seri dengan cahaya berwarna-warni yang memukau mata pengunjung.
Chengdu juga terkenal dengan panda gergasinya dan ia digelar sebagai “Kampung Halaman Panda Gergasi.” Selain itu, bandar ini turut tersohor dengan masakan pedasnya, terutama hot pot serta persembahan budaya berbentuk Opera Sichuan yang mempamerkan aksi pertukaran wajah (face-changing) yang menakjubkan.

(Persembahan Opera – “Face Changing”)
Berbeza dengan kawasan lain yang suhunya sederhana sejuk, Chengdu agak panas ketika aku berkunjung ke tempat ini. Aku meluangkan sedikit masa mengunjungi Pusat Penyelidikan Pembiakan Panda Gergasi Chengdu. Aku benar-benar teruja melihat panda kerana ini adalah pengalaman pertama. Sangkaanku bahawa hanya pengunjung luar yang teruja melihat panda ternyata meleset, penduduk tempatan juga sama-sama kagum dan teruja menyaksikan haiwan ikonik ini.

(Haiwan Ikonik Yang Comel dan Melucukan)
REFLEKSI PERJALANAN
Secara jujurnya, aku memperoleh pelbagai pengalaman pertama semasa mengunjungi beberapa lokasi di Wilayah Sichuan. Rata-rata pengunjung yang pernah menjejakkan kaki ke sini memberikan skor 5 bintang, disebabkan keunikan alam semula jadinya, peluang memerhati habitat panda serta menyaksikan persembahan budaya yang memukau.
Perjalanan ini bukan sekadar melihat pemandangan indah, tetapi juga menguji kesabaran, kekuatan fizikal dan ketahanan mental. Ia mengajar aku bahawa keindahan sebenar memerlukan usaha untuk dicapai dan setiap langkah membawa pengalaman yang unik dan bermakna.
Akhirnya, lawatan ini mengingatkan aku bahawa setiap perjalanan adalah lebih daripada destinasi - ia adalah proses refleksi, penghargaan dan pembelajaran tentang diri sendiri dan dunia di sekeliling kita.
