APABILA KUDA BERBICARA TENTANG KEHIDUPAN
KUDA DALAM BUDAYA CINA : METAFORA KEBIJAKSANAAN DAN PENGAJARAN HIDUP
Terdapat beberapa pepatah klasik yang berkaitan dengan kuda dalam penceritaan masyarakat Cina zaman dahulu. Sejak sekian lama, kuda menempah tempat yang istimewa dalam budaya Cina sebagai simbol kekuatan, kelajuan dan ketahanan yang luar biasa.
Melalui pelbagai pepatah dan kisah lama, kuda sering digunakan sebagai lambang kebijaksanaan hidup, pembentukan perwatakan serta tingkah laku manusia. Setiap perumpamaan bukan sekadar gambaran fizikal seekor kuda, tetapi menyimpan makna mendalam tentang usaha, kesetiaan, kesabaran dan perjuangan.
Dalam kalendar Cina, Kuda (马 / 馬 – Ma) merupakan salah satu daripada 12 haiwan zodiak Cina. Ia membawa simbolisme yang sangat kuat serta positif. Tahun 2026 mengikut kalendar Cina adalah bersamaan dengan tahun kuda.
Dalam kalendar Cina, kuda merupakan simbol tenaga, kebebasan, ketahanan dan kejayaan. Ia melambangkan semangat yang dinamik, kerja keras serta keupayaan untuk terus mara tanpa mudah mengalah. Kuda juga sering dikaitkan dengan kemajuan pantas, keberanian, kepimpinan dan kesetiaan, menjadikannya simbol individu yang berani mengambil risiko, cekal menghadapi cabaran dan gigih mengejar kejayaan dalam kehidupan.

(Zodiak Cina Menggunakan 12 Haiwan)
MAKNA KUDA DALAM TRADISI DAN KEBIJAKSANAAN CINA
Kisah-kisah tentang kuda ini terselit rapi dalam cerita kuno dan warisan nilai budaya masyarakat Cina, menjadikannya simbol yang penuh dengan pengajaran serta renungan tentang kehidupan. Berikut merupakan pepatah menarik yang menggunakan simbol kuda :
Kuda seribu batu itu banyak, tetapi Bole amat jarang diketemui
Pepatah ini bermaksud, banyak kuda mampu berlari seribu batu, namun yang mengenali nilainya seperti Bole sangat sukar ditemui. Bole merujuk kepada tokoh legenda Cina yang terkenal sebagai penilai kuda hebat, yakni kiasan kepada orang yang mampu mengenal bakat dan potensi sebenar seseorang.
Saya terbaca kisah Yang Berhormat Tuan Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Kewangan Malaysia. Kisah ini berkaitan dengan kemurahan hati seorang penyampai berita terkenal, Fei Chong Ming, bersama isterinya, Cheah Keng Sin, yang telah mengubah haluan hidup YB Tuan Liew apabila mereka membiayai pengajian universiti sebanyak RM200,000 ketika keluarganya tidak mempunyai sebarang kemampuan lain.
Sejak di bangku sekolah, seawal usia 12 tahun, YB Tuan Liew telah mula menjaja tiket loteri dari kedai ke kedai demi menampung kehidupan keluarganya. Pada suatu hari, beliau bertemu dengan pasangan suami isteri tersebut. Perbualan demi perbualan tercetus, didorong oleh minat luar biasa YB Tuan Liew dalam bidang politik yang menarik perhatian mereka.
Menurut YB Tuan Liew, beliau tidak mempunyai sebarang hubungan darah dengan pasangan berkenaan. Namun begitu, kesediaan mereka menghulurkan bantuan ikhlas itulah yang akhirnya mengubah haluan hidup beliau. Dalam konteks ini, pasangan suami isteri tersebut wajar dianggap sebagai ‘Bole’ iaitu insan berhati mulia yang jarang ditemui dan yang berupaya mengenal pasti bakat serta potensi luar biasa dalam diri seseorang.
Mencari kuda sedangkan sudah menunggang kuda
Pepatah ini merujuk kepada sikap tamak, iaitu seseorang yang sudah memiliki sesuatu yang baik sama ada peluang, pekerjaan, pasangan atau kedudukan, namun tidak berpuas hati dan masih sibuk mencari yang lain dengan harapan mendapat sesuatu yang lebih baik. Ia juga membawa maksud tidak menghargai apa yang sudah ada.
Ia berkisar kepada sebuah kisah kuno yang menceritakan seorang lelaki menunggang kuda sambil mencari kuda lain, tidak sedar bahawa apa yang dicarinya telah pun berada bersamanya. Dalam konteks kehidupan, pepatah ini menjadi peringatan supaya kita bersyukur, fokus dan bijak menilai keutamaan, sebelum tergesa-gesa mencari “kuda” lain sedangkan kita sebenarnya sudah berada di atas kuda yang baik.
Seekor kuda berada di hadapan
Ungkapan ini merujuk kepada keadaan apabila seseorang atau satu pihak tampil lebih menonjol, mendahului yang lain dari segi keupayaan, prestasi atau pencapaian. Ia sering digunakan untuk menggambarkan persaingan, sama ada dari segi kerjaya, pelajaran, kepimpinan atau kehidupan di mana ada individu yang lebih pantas atau lebih bersedia, muncul sebagai pendahulu.
Dalam epik Romance of the Three Kingdoms, Jeneral Xu Chu sering menerpa ke barisan hadapan, mendahului angkatan tenteranya ke medan tempur. Secara kiasan, pepatah ini mengingatkan bahawa kejayaan sering berpihak kepada mereka yang berusaha lebih awal, lebih konsisten dan berani mengambil langkah ke hadapan.
Melihat bunga sambil menunggang kuda
Pepatah ini bermaksud melakukan sesuatu dengan tergesa-gesa tetapi masih cuba menikmati keindahannya atau mengerjakan dua perkara sekaligus iaitu untuk tujuan utama dan satu lagi untuk keseronokan. Ia juga boleh membawa maksud menghargai keindahan hidup walaupun dalam perjalanan yang sibuk atau ketika mengejar sesuatu matlamat.
Pada zaman dahulu, para penunggang kuda hanya sempat menjeling pemandangan ketika melaluinya dengan pantas iaitu perbuatan melihat sesuatu secara sepintas lalu tanpa benar-benar menghayatinya. Dalam konteks lain, ia kadang-kadang digunakan untuk menggambarkan kebijaksanaan orang yang mampu menyeimbangkan kerja keras dengan keseronokan atau keindahan hidup.
Kuda tua yang tahu jalannya
Pepatah ini menjelaskan bahawa ‘pengalaman’ membawa kebijaksanaan dan kepakaran. Ia merujuk kepada orang yang sudah lama berkecimpung dalam sesuatu bidang atau kehidupan. Walaupun usia atau fizikal mungkin tidak sehebat golongan muda, pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki menjadikan mereka lebih bijak, cekap dan mampu menemui jalan penyelesaian yang tepat.
Dalam satu ekspedisi ketenteraan, ketika tentera negeri Qi kehilangan arah, Menteri Guan Zhong mencadangkan agar mereka mengikuti kuda-kuda tua dan hasilnya pasukan itu berjaya kembali dengan selamat. Dalam konteks kehidupan, ia mengingatkan kita bahawa pengalaman adalah aset berharga. Seseorang yang berpengalaman mampu menangani pelbagai situasi walaupun dalam keadaan yang sukar.
RUMUSAN
Dalam kalendar Cina, kuda melambangkan kejayaan, tenaga, kebebasan dan ketahanan. Ia memegang tempat istimewa dalam budaya Cina sebagai simbol yang menggalakkan manusia untuk bergerak pantas, bekerja keras dan berani mengejar impian. Pepatah seperti 马上成功 (ma shang cheng gong) membawa maksud kejayaan yang datang dengan pantas, melambangkan keberhasilan dan pencapaian.
Sempena Tahun Kuda 2026, kisah-kisah dan pepatah tentang kuda mengingatkan kita bahawa kejayaan dan pencapaian tidak datang secara mudah, sebaliknya melalui ketekunan, disiplin, dan semangat juang, sama seperti kuda yang berlari tanpa henti menempuh perjalanan yang panjang. Tahun Kuda ini mengajak kita mencontohi sifat berani, gigih dan setia pada matlamat, sambil menghargai setiap usaha yang membawa kejayaan.
Selamat Tahun Baru Cina 2026, Gong Xi Fa Cai. Moga semangat Tahun Kuda 🐎 membawa kita melangkah lebih jauh dengan keberanian, kebijaksanaan dan rezeki yang melimpah.
