ISYARAT PERIUK TUA

TEGAS KERANA SAYANG

June 05, 20255 min read

ANTARA AMANAH DAN TANGGAPAN

"Cikgu Joe, tahun ini cikgu dilantik sebagai Ketua Guru Disiplin.  Semoga cikgu akan menjalankan amanah ini dengan cemerlang, " ujar Pengetua Sekolah dengan penuh harapan.  

Tergamam seketika, Cikgu Joe seolah-olah tidak percaya jawatan berat itu kini berada di bahunya. Kerisauan mula menyelubungi hatinya – mampukah dia memikul tanggungjawab yang begitu mencabar? 

Cuba kita renung sejenak. Apakah sebenarnya ciri-ciri seseorang guru yang dilantik sebagai Ketua Guru Disiplin?  Adakah kerana dia seorang yang tegas, kurang bercakap, sentiasa berwajah serius, berjalan dengan tegap atau berbadan besar dan tinggi orangnya?  

Sekilas pandang, mungkin faktor luaran inilah yang membentuk persepsi umum terhadap kelayakan seseorang yang memegang jawatan tersebut. 

Aku masih ingat Ketua Guru Disiplin aku sewaktu di Tingkatan 6.  Wajahnya serius, auranya menggerunkan dan tutur katanya penuh dengan ketegasan. Namun begitu, apakah benar ciri-ciri luaran semata-mata yang menjadi penentu?  Atau adakah sebab-sebab lain yang tersirat? 

Cuba anda bayangkan Ketua Guru Disiplin di sekolah anda. Mungkin di situ terletaknya jawapan yang sebenar.


BISIKAN JIWA KETUA GURU DISIPLIN

Boleh dikatakan jawatan ini tidak popular di sekolah.  Jika diberi pilihan, ramai guru mahu mengelakkan diri daripada jawatan ini.  Elok lagi jadi Guru Biasiswa atau Guru Pusat Sumber.  

Aku ‘tabik hormat’ guru-guru yang berani menerima jawatan ini.  Bukan sahaja dia perlu menyusahkan diri mengurus hal ehwal disiplin pelajar, tetapi dia juga perlu berhadapan dengan pelbagai kerenah ibu bapa.  

Menjadi Ketua Guru Disiplin bukan tugas yang mudah.  Guru ini terlebih dahulu perlu mempamerkan disiplin yang tinggi.  Jika guru itu merokok, bagaimana mungkin dia menegur pelajar yang berbuat demikian?  Jika penampilannya tidak kemas, tegurannya terhadap pelajar yang selekeh tentu sukar di terima. 

Malah guru ini juga harus bersedia untuk dibenci oleh sebahagian pelajar.  Dalam sesetengah kes, harta bendanya seperti kenderaan mungkin menjadi sasaran akibat ketegasannya. 

(Ketua Guru Disiplin Yang Disegani Pelajar - Tahun 2018)


MEMBINA KEADILAN DALAM CATATAN

Di sekolah A, aku pernah dilantik sebagai Ketua Guru Disiplin. Terlintas di hatiku, "Tiadakah guru lelaki yang layak?"  Namun, mungkin pengetua melihat sesuatu dalam diriku yang aku sendiri belum menyedarinya. 

Pada awalnya aku menolak jawatan ini kerana aku ragu-ragu akan kemampuanku.  Tetapi pengetua pada ketika itu menjawab, “cikgulah yang paling layak, tiada orang lain.” Selepas mendengar kata-kata itu, aku pasrah dan dengan ikhlas menerima tanggungjawab berat ini.

Dengan tekad yang positif, aku mula merancang dan memulakan sistem merit dan demerit (MDM)  yang telah aku pelajari daripada sekolah sebelumnya.  

Guru-guru semua sedia maklum bahawa hukuman berbentuk fizikal dan emosi bukanlah penyelesaian kepada masalah disiplin. Teguran melalui kata-kata sering kali tidak mencukupi, malahan menjerumuskan pelajar ke dalam lingkaran kesalahan yang sama. 

Aku yakin sistem MDM ini adalah kunci yang tepat, asalkan dilaksanakan dengan betul.  Garis panduan penggunaan yang sistematik untuk semua guru perlu diwujudkan agar tindakan yang diambil adalah adil  dan konsisten terhadap semua jenis kesalahan.  

Merit diberi kepada pelajar yang menunjukkan sahsiah yang baik, manakala demerit dikenakan kepada pelajar yang melanggar Peraturan Sekolah.  Semua rekod MDM, tidak kira besar atau kecil sesuatu amalan baik atau perlanggaran disiplin perlu dicatatkan dengan lengkap. 

(Pelancaran Program Jom Ke Sekolah Bersama PDRM Tahun 2019)


KERTAS YANG MEMBELA KEBENARAN

Sejak itu, sistem MDM benar-benar sudah sebati dalam diriku.  Setiap kali aku berpindah ke sekolah baharu atau dinaikkan ke jawatan pentadbiran, sistem ini aku bawa bersama - bagai senjata ampuh yang melindungi aku dalam pelbagai situasi mencabar.  

Ia bukan sekadar rekod. Ia menjadi bukti. Ia menjadi benteng ketika gelombang emosi ibu bapa datang menerjah tanpa amaran.

Sudah menjadi lumrah, adakalanya ibu bapa hadir ke sekolah dalam keadaan marah dan kecewa. Mereka lebih cenderung membela anak mereka tanpa mengetahui keseluruhan cerita. 

Namun, aku tidak perlu meninggikan suara atau bertikam lidah mempertahankan guru-guru yang telah mengambil tindakan terhadap anak-anak mereka. Cukuplah aku membuka satu helaian rekod.

“Encik boleh baca semua rekod MDM anak encik di dalam muka surat ini. Setiap catatan adalah hasil pemerhatian dan tindakan guru-guru yang mengajar anak encik,” aku hulurkan rekod itu dengan tenang.

Aku perhati raut wajah bapa itu berubah. Pandangannya tertumpu lama pada deretan kesalahan yang tertulis. Perlahan-lahan, emosinya reda. 

Dia menarik nafas panjang, lalu berkata dengan nada yang jauh lebih lembut, “Saya tahu apa yang perlu saya lakukan apabila anak saya pulang ke rumah nanti. Terima kasih cikgu kerana menunjukkan segalanya.”

Sudah terang, lagi tersuluh. Catatan MDM ini membantu ibu bapa melihat perkembangan sahsiah anak-anak mereka secara jelas dan berfakta. 

Ini membuka ruang untuk kerjasama lebih erat di antara pihak sekolah dan ibu bapa dalam mendidik anak-anak, bukan hanya dari aspek akademik tetapi juga dari sudut pembentukan akhlak dan peribadi.


BUKU MERAH, CEMIN DIRI

Dari sisi pelajar pula, mereka dididik agar mampu mengurus disiplin diri dengan baik. Sistem ini mengajar pelajar tentang akibat setiap tindakan, baik atau buruk, sekali gus memupuk rasa tanggungjawab dalam diri mereka. 

Aku bersyukur kerana sistem ini berjaya membantu mengawal disiplin pelajar secara berkesan. Guru tidak lagi perlu memarahi atau menjatuhkan hukuman kepada pelajar, cukup sekadar mencatat kesalahan atau pujian dalam rekod MDM. 

Untuk membezakan rekod ini, aku memilih kulit buku berwarna merah menyala - yang kemudiannya dikenali sebagai Buku Merah, satu simbol ketegasan dan ketelusan dalam mendidik. Lama-kelamaan, istilah itu menjadi sinonim dengan usaha memupuk disiplin secara sistematik dan berhemah.

(Buku Merah Untuk Setiap Kelas)


MEMIMPIN DENGAN SISTEM, MENYELARAS DENGAN BIJAKSANA

Sistem ini mungkin kelihatan mudah untuk dilaksanakan, namun hakikatnya ia tidak akan berjaya tanpa kerjasama padu dan persefahaman daripada seluruh warga guru. Pernah beberapa buah sekolah melakukan lawatan penandarasan ke sekolah kami untuk mempelajari pelaksanaan sistem ini daripada guru disiplin. 

Mereka tertarik dan membawa pulang sistem tersebut ke sekolah masing-masing. Namun, setelah beberapa bulan, pelaksanaannya mula longgar dan akhirnya gagal diteruskan dengan baik.

Diakui bahawa sistem ini bukanlah satu-satunya kaedah terbaik untuk mengawal disiplin pelajar. Setiap sekolah mempunyai konteks dan cabaran tersendiri. Justeru, terpulang kepada kebijaksanaan pentadbir untuk memilih pendekatan yang paling sesuai. 

Namun begitu, aku yakin sistem MDM ini mampu menjadi instrumen yang berkesan. Apabila dilaksanakan dengan penuh integriti dan konsisten, sistem ini mampu menjadi tonggak utama dalam mewujudkan suasana sekolah yang harmoni, berdisiplin dan berwibawa.

(Tahniah! Anda Berjaya Kerana Disiplin Yang Tinggi)


REFLEKSI

Kita perlu menghargai peranan dan cabaran yang dihadapi oleh Ketua Guru Disiplin dalam menjaga tata tertib dan sahsiah pelajar di sekolah. 

Tugas ini bukan sekadar mematuhi peraturan, tetapi memerlukan kesabaran, ketegasan dan kebijaksanaan dalam mengurus pelbagai situasi yang melibatkan pelajar, guru dan ibu bapa.

Kejayaan sesuatu sistem disiplin seperti MDM tidak bergantung kepada kaedah semata-mata, tetapi lebih kepada keikhlasan dan kerjasama semua pihak di sekolah. 

Ia mengingatkan kita bahawa setiap perubahan dan usaha untuk memperbaiki disiplin memerlukan kesungguhan, ketabahan dan kreativiti. 

Sistem yang baik akan memberi impak positif bukan sahaja kepada pelajar, tetapi juga kepada suasana pembelajaran dan perkembangan sekolah secara menyeluruh. 

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan.  Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Lian Fee Choo

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan. Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Back to Blog