.

TUGAS SAMPINGAN – LALUAN MEMBINA KEWIBAWAAN GURU

April 24, 20266 min read

KEPELBAGAIAN TUGAS SEORANG PENDIDIK

Seorang pendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu di bilik darjah. Di sebalik peranan utama sebagai guru, mereka turut memikul pelbagai tanggungjawab tambahan yang menuntut komitmen dan kebijaksanaan dalam mengurus masa.

Antaranya termasuklah tugas sebagai Ketua Panitia, Setiausaha Sukan, Bendahari Koperasi, Ketua Warden, Guru Pusat Sumber dan pelbagai lagi jawatan yang menyokong kelancaran operasi sekolah.

Selain itu, guru juga sering diberi tugas-tugas ad-hoc mengikut keperluan semasa seperti menjadi pengacara majlis, ketua jawatankuasa makanan, setiausaha program atau penyelaras aktiviti khas. Walaupun nampak remeh bagi sesetengah pihak, tugas-tugas sebegini menuntut perancangan rapi, kemahiran komunikasi yang baik serta daya kepimpinan yang tinggi.

Pendek kata, tugas seorang pendidik amat rencam dan pelbagai. Namun, di sebalik kesibukan itu tersembunyi nilai yang besar - setiap tugasan yang digalas membantu membentuk jati diri, kepimpinan dan ketahanan mental guru. Ia melatih mereka menjadi individu yang serba boleh, fleksibel dan mampu menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi.

.

(Bertugas Sebagai Jurulatih di Padang)

TUGAS SAMPINGAN : LATIHAN KEPIMPINAN SEORANG GURU

Ada guru yang dilantik sebagai guru terlatih seawal usia 24 tahun. Ini bermakna, jika dia terus berkhidmat hingga umur persaraan wajib 60 tahun, dia akan menempuh 36 tahun dalam dunia pendidikan - satu perjalanan yang panjang dan penuh pengalaman.

Dalam tempoh ini, kejayaan seorang guru tidak hanya diukur melalui kecekapan mengajar di bilik darjah, tetapi juga melalui kesediaannya memikul pelbagai tanggungjawab tambahan di sekolah.

Seorang guru yang ingin berjaya dalam kerjayanya perlu melihat tugas-tugas sampingan sebagai peluang pembelajaran dan latihan kepimpinan, bukan sebagai beban. Setiap jawatan dan peranan memberi ruang kepada guru untuk mengasah kemahiran komunikasi, pengurusan masa, kepimpinan serta kebijaksanaan membuat keputusan.

Kita tidak mahu melihat situasi di mana seorang guru yang telah berkhidmat lebih 20 tahun masih kekal di takuk lama - tidak menambah kemahiran, tidak berani mencuba tanggungjawab baharu dan terlalu selesa dengan rutin harian.

Sebaliknya, ada guru muda yang baru berkhidmat lima tahun, tetapi sudah memahami pelbagai selok-belok pengurusan sekolah. Mereka ini biasanya berani menyahut cabaran, bersikap positif dan tidak gentar menerima tugasan berat. Mereka belajar daripada pengalaman sebenar - belajar mengurus manusia, masa dan emosi. Tidak hairanlah ada yang mampu memegang jawatan penting meskipun masih muda.

Pepatah Inggeris ada menyebut, “The new broom sweeps better than the old broom.” Maksudnya, semangat dan keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu sering kali membawa hasil yang lebih baik. Namun, semangat ini tidak seharusnya pudar apabila usia dan pengalaman meningkat.

.

(Tugas Menjadi Mudah Kerana Adanya Guru Pembimbing)

TANGGUNGJAWAB HARI INI, PEMIMPIN ESOK

Pentadbir sekolah lazimnya meneliti pelbagai faktor sebelum melakukan agihan tugas dalam kalangan guru. Proses ini bukan dilakukan secara sewenang-wenangnya, sebaliknya berpandukan kebolehan, minat, kemahiran serta tahap keupayaan individu, agar setiap tenaga dimanfaatkan secara optimum untuk kepentingan sekolah.

Apabila tugas yang diberikan selaras dengan minat dan kebolehan guru, maka potensi dirinya akan lebih terserlah. Guru tersebut dapat menunjukkan inisiatif dan kepimpinan semula jadi dalam tugasan yang diamanahkan. Dari sinilah muncul benih pemimpin - seseorang yang bukan hanya cekap bekerja, tetapi juga mampu membimbing dan memotivasi orang lain.

Guru yang menunjukkan sikap terbuka, proaktif dan bertanggungjawab terhadap tugasan yang diterima biasanya akan lebih menonjol dalam kalangan rakan sejawat. Sikap positif sebegini menjadi asas penting bagi pembentukan pemimpin pelapis sekolah. Tidak hairanlah mengapa guru yang rajin belajar dan sanggup memikul amanah sering kali menjadi pilihan untuk dinaikkan sebagai Penolong Kanan, Ketua Bidang atau akhirnya Pentadbir Sekolah.

.

(Kejayaan Yang Dikecapi Kerana Adanya Guru Pembimbing)

NILAI ILMU DALAM KEPIMPINAN

Pernah satu ketika, sewaktu aku menjawat jawatan sebagai Pentadbir Sekolah, aku melakukan pemantauan bilik darjah seperti biasa. Namun, sesuatu yang ganjil berlaku pada hari itu. Aku mendapati terdapat dua buah kelas tanpa guru.

Dengan sedikit kehairanan, aku bertanya kepada Ketua Kelas, “Subjek apa sekarang?”

Dengan nada yakin, Ketua Kelas menjawab, “Kami tiada subjek sekarang, cikgu.”

Aku agak terkejut dengan jawapan itu. Beberapa langkah ke hadapan, aku menjenguk satu lagi kelas yang turut berada tanpa guru. Aku segera kembali ke pejabat dan menyemak Jadual Waktu Mengajar Guru bagi memastikan punca sebenar.

Benar seperti yang dikatakan pelajar tadi — jadual waktu itu memang kosong tanpa subjek dan tanpa guru. Aku kemudian memanggil guru yang bertanggungjawab menyediakan jadual waktu untuk berbincang mencari penyelesaian.

Guru tersebut menjelaskan, “Jadual waktu itu diproses oleh sistem komputer, cikgu. Sistem tak dapat masukkan subjek di masa itu sebab kekurangan guru.”

Aku mendengar dengan tenang. Mujurlah aku pernah berpengalaman menyediakan jadual waktu ketika menjadi guru dahulu. Berdasarkan pengalaman itu, aku membimbing guru berkenaan untuk menyesuaikan jadual dengan lebih baik agar semua masa pembelajaran terisi.

Di sinilah letaknya peranan seorang pemimpin - bukan untuk menyalahkan, tetapi untuk membimbing dan melengkapkan kekurangan orang lain. Pengalaman ini mengingatkan aku bahawa ilmu dan pengalaman lalu amat berharga. Seorang pemimpin yang berilmu tidak mudah terperdaya atau menuding jari, sebaliknya mampu menilai situasi dengan adil dan bertindak secara bijaksana.

Dalam dunia pendidikan, kepimpinan yang berkesan bukan sekadar berasaskan jawatan, tetapi berakar daripada pengalaman, empati dan kebijaksanaan menggunakan ilmu pada saat yang diperlukan.

。

(Guru Juga Mengurus Keceriaan Sekolah)

NILAI TERSEMBUNYI DI SEBALIK AMANAH

Justeru, ilmu yang kita pelajari hari ini sebenarnya merupakan bekalan berharga untuk masa hadapan. Kita tidak akan tahu bila dan di mana ilmu itu akan benar-benar berguna sehinggalah tiba saat ia diperlukan. Setiap kemahiran, setiap pengalaman, bahkan setiap cabaran yang pernah kita tempuhi, suatu hari nanti akan menjadi jawapan kepada masalah yang datang tanpa diduga

Oleh itu, guru-guru sewajarnya berlapang dada, berfikiran positif dan yakin terhadap kemampuan diri setiap kali diberi amanah baharu. Sesetengah tugasan mungkin kelihatan berat atau di luar bidang kebiasaan, namun di situlah terletak peluang untuk belajar dan berkembang.

Aku sendiri sering menerima maklum balas positif daripada bekas guru-guru yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiranku dan kemudian berpindah ke sekolah lain. Seorang daripada mereka pernah berkata,

“Pengalaman yang saya peroleh ketika menjadi Ketua Panitia dahulu sangat membantu. Sekarang apabila saya dilantik semula memegang jawatan yang sama di sekolah baharu, saya tidak perlu lagi merujuk ke sana sini untuk mengurus panitia.”

Kata-kata itu benar-benar menyentuh hati. Tugas-tugas sampingan ini mengajar kita berfikir secara strategik, berkomunikasi dengan lebih berkesan dan mengurus emosi dengan bijak. Ia menjadikan kita lebih matang dalam membuat keputusan dan lebih empati terhadap orang lain.

REFLEKSI

Tugas seorang guru tidak pernah terhenti setakat mengajar di bilik darjah. Di sebalik peranan mengajar, mereka turut memikul pelbagai tanggungjawab tambahan yang membentuk kemahiran kepimpinan, kecekapan mengurus dan kematangan berfikir.

Setiap tugasan, sama ada besar atau kecil, adalah medan pembelajaran yang memperkaya pengalaman dan mengasah kebijaksanaan.

Melalui pengalaman memimpin, mengurus dan membimbing orang lain, guru belajar menjadi insan yang lebih tabah dan berdaya tahan. Ilmu yang diperoleh hari ini mungkin tampak kecil, tetapi suatu hari nanti akan menjadi bekalan penting apabila amanah lebih besar menanti.

Seorang guru yang berani mencuba, terbuka menerima cabaran dan sentiasa belajar daripada pengalaman akan berkembang menjadi pendidik yang berwibawa serta pemimpin yang dihormati.

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan. Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Lian Fee Choo

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan. Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Back to Blog