Bukan Kelas Tambahan Tapi Perhatian Tambahan

TUNAS ITU MEKAR DI BUMI GERSANG

July 03, 20256 min read

JIWA YANG TERTINGGAL DI PEDALAMAN

"Piji, bila kau nak pindah? e-GTukar dah keluar, pohon cepat-cepat," ujar ibu Piji dengan nada bimbang.

"Nantilah, mak. Tunggu batch SPM ni habis dulu. Kesian mereka kalau tiba-tiba guru Matematik mereka pindah tengah jalan," jawab Piji dengan tenang.

Tahun berikutnya...

"Piji, jangan lupa isi e-GTukar. Kali ni mak tak mahu dengar alasan. Kau sakit di sana, tiada siapa yang jaga," desak ibunya lagi.

"Ya la, mak. Nanti Piji isi," balasnya sambil tersenyum kecil, cuba menyembunyikan dilema di hati.

Beberapa hari kemudian, pertanyaan yang sama berulang.

"Sudah kau isi, Piji?"

Piji terdiam. Tidak tahu apa yang harus dijawab. Hakikatnya, dia memang belum berniat untuk berpindah. Setiap kali ibunya bertanya, hatinya semakin sesak, bukan kerana marah, tetapi kerana terlalu sayang untuk pergi.

Itulah Cikgu Hafizi Fazli Bakar, guru Matematik di SMK Kemabong, Tenom - sebuah sekolah menengah di pedalaman Sabah yang telah menjadi sebahagian besar daripada hidupnya sejak tahun 2010.

Tahun demi tahun, beliau mencari alasan untuk menangguhkan permohonan pertukaran - hingga akhirnya ibunya berhenti bertanya. Jiwa pendidiknya terlalu kental untuk meninggalkan anak perkampungan yang memandangnya lebih daripada seorang guru.

(Kelas bimbingan SPM Bersama Pelajar-Pelajar)


APABILA MATEMATIK MENJADI MISI HIDUP

Walaupun Matematik sering dianggap sebagai “killer subject”, bagi Cikgu Hafizi, ia bukan  penghalang kejayaan. Beliau bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi menanam harapan - walaupun di tanah yang kelihatan gersang.

Setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan, hatinya diuji. Ada yang gagal, malah tidak kurang yang hanya memperoleh markah satu digit. Namun begitu, beliau tidak mudah putus asa. Bagi Cikgu Hafizi, kegagalan bukan noktah, tetapi isyarat untuk mencari pendekatan baharu.

Beliau percaya bahawa setiap pelajar mempunyai potensi tersendiri, cuma belum ditemukan kunci yang tepat. Dengan semangat yang tidak pernah luntur, beliau mencabar pelajar-pelajarnya dengan kata-kata motivasi seperti "The limit is yourself", demi  membangkitkan azam dan keyakinan dalam diri mereka.

Malahan, setiap tahun Cikgu Hafizi sendiri menduduki kertas Matematik SPM secara persendirian. Bukan kerana perlu, tetapi kerana mahu menyelami cara pemikiran pelajar, memahami perubahan format dan trend soalan  dan menjadi guru Matematik yang lebih berkesan.

(Membimbing Pelajar Di Pantri Bilik Guru)


CIKGU, WARDEN, SAHABAT

Sebagai warden asrama, kehadiran Cikgu Hafizi bukan sekadar memantau disiplin. Hampir setiap hari, baik waktu subuh atau lewat malam, beliau berada di bilik belajar, sabar membimbing pelajar yang bergelut dengan Matematik.

Pelajar-pelajar sangat menyenangi cara beliau mengajar. Bukan sahaja kerana ilmunya, tetapi kerana sikap penyabar dan penyayang yang terpancar dalam setiap butir kata dan pendekatannya. 

Pelajar yang lemah dalam Matematik terasa kuat semangatnya hanya kerana satu perkara, mereka tahu ada seorang guru yang tidak pernah putus asa terhadap mereka.

Tidak sekali dua beliau terlupa makan kerana terlalu asyik mengajar. Malah, walaupun tidak sihat, beliau tetap hadir ke kelas - berdegil untuk tidak meninggalkan pelajarnya tanpa bimbingan.

Guru bujang ini tidak pernah berkira. Masa, tenaga dan wangnya dicurahkan sepenuh hati demi anak-anak petani di pedalaman yang dahagakan ilmu.

Di mata dunia, mungkin Cikgu Hafizi hanyalah seorang guru biasa. Tetapi di mata pelajar-pelajarnya, dialah penyelamat yang mengubah persepsi mereka terhadap subjek yang paling digeruni.

(Membimbing Pelajar-Pelajar Asrama Pada Waktu Malam)


DARI PEDALAMAN KE PUNCAK KEJAYAAN

Kejayaan paling membanggakan dalam kerjaya Cikgu Hafizi tercatat pada tahun 2017, apabila beliau berjaya menghasilkan keputusan Matematik Tambahan terbaik dalam SPM di Daerah Tenom.

Namun, bagi Cikgu Hafizi, kejayaan ini bukan keajaiban tetapi hasil daripada pengorbanan, kepercayaan dan kerja keras yang konsisten. Pelajar-pelajar di sekolahnya tidak berkemampuan menghadiri tuisyen swasta. Segala ilmu, latihan dan keyakinan datang daripada seorang guru bernama Hafizi.

Pencapaian itu membuka laluan ke universiti, membolehkan pelajar-pelajarnya memilih jurusan sains tulin seperti kejuruteraan dan perubatan. Cikgu Hafizi tidak sekadar mengajar angka, tetapi mengubah nasib.

(Menerima Sijil Bagi Pencapaian Terbaik Matematik Tambahan Peringkat Daerah 2017)


JANJI DI UMS, BUKTI DI KAMPUNG SENDIRI

Ekin Arot - nama yang membawa makna besar di kampung asalnya di Ulu Tomani, dahulu hanyalah seorang pelajar pemalu yang sangat takut pada subjek Matematik. 

Berkat kesabaran dan dorongan yang tak pernah luntur, Cikgu Hafizi membimbing Ekin sehingga pelajar itu memperoleh gred A dalam Matematik PMR dan SPM. Masih segar dalam ingatan Ekin akan satu nasihat yang diberikan oleh Cikgu Hafizi :

“Ekin, kamu belajarlah sungguh-sungguh. Jadi jurutera dan baliklah ke kampung kamu. Bina jalan raya di kampung kamu sendiri. Kamu pasti akan buat yang terbaik, kerana itu jalan kamu sendiri.”

Nasihat itu tidak jatuh sia-sia. Kini, Ekin telah pun menjejak realiti itu, bekerja di syarikat pembinaan dan berpeluang membina jalan untuk masyarakatnya. Lebih membanggakan, Ekin merupakan jurutera pertama daripada suku kaum Murut di Daerah Kemabong - satu pencapaian yang bukan sahaja membanggakan sekolah, tetapi seluruh komuniti.

Beberapa tahun sebelumnya, selepas tamat Tingkatan 3, Cikgu Hafizi pernah membawa Ekin melawat Universiti Malaysia Sabah. Ekin, yang terpegun melihat keindahan kampus itu bertekad :

“Cikgu, empat tahun dari sekarang saya akan jadi pelajar di universiti ini.” Dan Ekin menepati janjinya.

Di sebalik kejayaan yang dikecapi hari ini, berdiri teguh seorang guru bernama Cikgu Hafizi, yang bukan sahaja mengajar Matematik, tetapi meletakkan nilai, mimpi dan arah pada hidup seorang anak kampung.

(Menghadiri Konvokesyen di UMS, Bersama Ekin Tahun 2019)


BUKAN SEKADAR INOVASI, TAPI INSPIRASI

Cikgu Hafizi juga sangat aktif membimbing pelajar dalam bidang inovasi dan kreativiti. Melalui bimbingan ini, pelajar-pelajarnya bukan sahaja berpeluang menyertai pertandingan, malah dapat menjejakkan kaki ke bandar-bandar besar.

Sebahagian besar pelajar dari pedalaman belum pernah melihat lautan, menaiki lif atau eskalator, apatah lagi menyaksikan sendiri bangunan pencakar langit. Ada antara mereka yang belum pernah sampai ke Kota Kinabalu.

Ada yang pertama kali menaiki kapal terbang, menginap di hotel dan berdepan dengan suasana pertandingan bertaraf kebangsaan, bersemuka dengan pelajar-pelajar dari bandar yang fasih berbahasa Inggeris dan jauh lebih berpengalaman. 

Tetapi Cikgu Hafizi sentiasa yakin bahawa peluang adalah milik mereka yang berani mencuba. Bersama pelajar-pelajarnya, beliau telah menyertai pelbagai pertandingan inovasi di dalam dan luar Sabah. 

Kemuncak kejayaan itu tercapai apabila sebuah pasukan yang dibimbing beliau berjaya merangkul gelaran johan di peringkat kebangsaan – satu pencapaian membanggakan bukan hanya untuk sekolah, tetapi untuk seluruh komuniti luar bandar.

Kegagalan pernah dilalui, tetapi beliau percaya setiap pertandingan adalah madrasah kehidupan yang mengajar nilai ketekunan, keberanian dan harapan.

(Johan Kebangsaan Young Innovators Challenge Tahun 2019)


SORAKAN ITU TANDA CINTA

Di peringkat sekolah pula, nama Cikgu Hafizi sangat dekat di hati pelajar. Setiap kali beliau diumumkan sebagai penerima anugerah, dewan sekolah bergema dengan sorakan dan tepukan yang luar biasa – tanda kasih, hormat dan penghargaan pelajar terhadap seorang guru yang sentiasa mengutamakan mereka lebih daripada kepentingan dirinya sendiri.

Di mata rakan sekerja, Cikgu Hafizi disenangi kerana sikapnya yang rendah hati dan sedia membantu. Beliau juga disegani oleh para ibu bapa di Daerah Kemabong yang melihat beliau sebagai guru yang benar-benar membawa perubahan kepada pendidikan anak-anak mereka.

Bagi pihak pentadbir sekolah, Cikgu Hafizi adalah aset yang tidak ternilai.

Biarpun ibunya pernah merayu agar beliau berpindah ke Kota Kinabalu, permintaan itu masih belum mampu ditunaikan. Jiwa pendidik dalam dirinya masih utuh di sekolah pedalaman kerana di situlah tempatnya beliau menabur bakti, membentuk harapan dan membina masa depan generasi yang dahagakan ilmu.

Nota :  Kisah inspirasi ini dikarang sekitar bulan Februari 2022. Justeru, segala peristiwa yang dinyatakan dalam naratif ini merujuk kepada situasi dan latar masa sebelum tahun tersebut. Untuk tatapan di blog ini, ia telah diedit semula  tanpa mengubah maksud asal.

(Perkongsian Kisah Inspirasi “Cikgu Luar Biasa” Anjuran PPD Tenom Tahun 2022)

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan.  Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Lian Fee Choo

Seorang mantan Pengetua Sekolah yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam dunia pendidikan. Kini menikmati alam persaraan, beliau sering merenung kembali perjalanan kerjayanya yang penuh berliku serta pembelajaran berharga yang membentuk kehidupannya.

Back to Blog